Kita Tidak Akan Sunyi Daripada Kesalahan, Dosa dan Kejahilan


Manusia sememangnya tidak pernah sunyi daripada segala kesalahan, kesilapan, dan dosa. Manusia bukan seperti nabi. Manusia itu tidak maksum seperti para anbiya. Para anbiya itu maksum dan suci daripada dosa. Sepertimana sabda Nabi Muhammad s.a.w:        
 
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَّطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: "Setiap bani Adam itu berbuat kesalahan, dan sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan ialah orang-orang yang bertaubat." (Riwayat al-Tirmidhi)

Kewajipan sebagai seorang muslim terhadap Allah s.w.t apabila berbuat kesalahan dan dosa ialah bertaubat. Bahkan kita dituntut bertaubat setiap hari dan setiap ketika. Dalam kitab Hidayatus Salikin karangan Syeikh Abd al-Samad al-Falimbani, terdapat tiga syarat taubat yang diletakkan oleh beliau iaitu:
  1. Meninggalkan maksiat
  2. Menyesal atas perbuatannya itu
  3. Bercita-cita bahawa tiada kembali kepada maksiat itu selama-lamanya.
Manakala sebagai saudara seagama, seharusnya dan secara umumnya daripada hadis di atas, kita dapat fahami bahawa manusia sememangnya tidak maksum dan sangat-sangat terbuka pintu ke atas manusia untuk melakukan dosa dan kesalahan. Sekiranya kita benar-benar memahami hadis ini, sepatutnya kita lebih mudah dalam menjaga lidah kita daripada menikam saudara kita dengan lisan kita.

Seperti yang dapat kita lihat hari ini, beradanya kita di zaman yang penuh fitnah ini, manusia lebih mudah mengangkat lidah untuk berkata-kata namun berat pula mengangkat akal untuk berfikir sebelum berbicara. Ini suatu bencana yang amat-amat membinasakan tamadun manusia.

Berhubung dengan hadis di atas dan keadaan kita di zaman ini, seharusnya kita:
  1. Tidak mengutuk, mencaci, dan menghina saudara kita. Kalau dah tahu memang manusia itu tidak sunyi daripada segala kesalahan, mengapa masih mahu membuka mulut dan terus mengutuk saudara kita?
  2. Tidak menyebarkan keaiban saudara kita sama ada secara rahsia atau terbuka. Kesalahan itu suatu perkara yang lain, tapi apabila kamu menyebarkan keaiban saudara kita, ia seolah-olah kamu menambah batu-bata di atas bahunya, kamu buat sebegitu semata-mata kamu mahukan saudara tersebut digelak dan dibenci oleh saudara yang lain sedangkan dia terseksa menampung batu-bata yang telah kamu tambah di atas bahunya.
  3. Tidak melakukan penambahan cerita daripada cerita asal, senang cakap, tokok-tambah cerita. Andaikan seseorang melakukan kesalahan, dan cerita tentangnya sampai ke pengetahuan kamu. Dan kamu pula sebarkan berita tersebut dan menokok tambah ke dalam cerita itu sesuatu perkara yang lebih memburukkan lagi saudara tersebut.
  4. Berdiam ialah langkah emas. Apabila sampai sahaja berita ke benak fikiran kita, langkah pertama yang berharga ialah diam. Diam tidak bermakna kita redha dengan kesalahan orang. Akan tetapi diam itu bermakna kita bersabar dalam melakukan sesuatu perkara. Hari ini berapa ramai manusia tergesa-gesa memberi komentar yang bukan-bukan, akhirnya berita yang sebenar bukan seperti yang dihebahkan, bahkan berlawanan daripada berita yang tersebar. Setelah itu, mana nak letak muka yang dah malu ini?
  5. Mengkaji berita sebenar. Kalau betul-betul mahu ambil peduli, ringan-ringankan akal untuk mengkaji berita. Pertimbangkan berita dari kedua-dua pihak (jika melibatkan lebih daripada satu pihak). Kaji sejarah dan punca. Oh, jika ada individu-individu sebegini, merekalah yang saya akan mengikuti segala informasi terlebih dahulu berbanding media yang kurang dipercayai.
Realiti hari ini kita sudah memasuki zaman teknologi, di mana zaman ini ramai manusia sudah mula malas berusaha dalam mengejar sesuatu perkara. Sehinggakan lidah lebih mudah diangkat berbanding tangan, bahkan akal pun tak mampu nak angkat (walaupun tak payah nak angkat akal pakai tangan) untuk berfikir lebih mendalam. Akhirnya, berlakulah fitnah yang terlalu berleluasa akibat daripada lidah (secara majoritinya). Maka, pada saya, beruntunglah orang-orang yang mampu mendiamkan diri mereka di saat ramai manusia bercakap pada perkara yang tidak berguna.

Perbanyakkanlah mengaji ilmu dan melazimi lidah kita dengan zikrullah. Kata Dhu al-Nun al-Misri,
"Manusia ialah musuh pada apa-apa yang mereka jahilkan."
Bermaksud ramai manusia menjadi musuh pada apa yang mereka tidak tahu. Oleh itu, ubat kepada kejahilan ialah belajar.

Selain itu, terdapat banyak lagi tatacara-tatacara lain sepertimana yang telah diungkapkan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabatnya. dan para ulama-ulama salaf dan khalaf. Apa yang saya utarakan di atas hanyalah langkah-langkah ringkas dalam mengharungi kehidupan di zaman yang penuh fitnah ini berdasarkan apa yang telah saya baca dan faham. Semua atas kurnia dan izin dari Allah Taala Yang Maha Esa dan Maha Agung.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah