Al-Kullabiyyah Aliran Kalam Sunni Sebelum Imam al-Ash’ari


Beberapa tahun sebelum terzahirnya keunggulan Imam al-Ash’ari, telah wujud dahulu sebuah aliran kalam Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang dikenali sebagai al-Kullabiyyah. Aliran al-Kullabiyyah diasaskan oleh Ibn Kullab (m. 240 H) berserta para pengikutnya, antara yang terkenal ialah al-Qalanisi (m. 255 H) dan al-Harith al-Muhasibi (m. 243 H). Mereka bersama-sama berusaha mempertahankan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah daripada ancaman aliran-aliran batil yang wujud di zaman mereka terutamanya Muktazilah. Al-Kullabiyyah membawa pendekatan yang seimbang antara akal dan nas, berbeza dengan Muktazilah yang terlalu mendaulatkan akal, serta berbeza juga dengan al-Hashawiyyah yang terlampau terikat dengan nas sehingga menolak akal.

Nama penuh Ibn Kullab ialah Abd Allah bin Sa’id bin Muhammad bin Kullab al-Qattan al-Basri. Beliau digelar sebagai Ibn Kullab kerana kepakarannya dalam perdebatan sehingga kehebatannya mampu menarik seteru perdebatannya sepertimana cangkuk (kullab) menarik sesuatu benda. Tidak dapat ditemukan maklumat yang jelas mengenai guru-gurunya, namun Ibn Kullab diketahui memiliki anak-anak murid dan para pengikut yang juga tidak kurang hebatnya. Antara muridnya ialah Abd al-Aziz al-Makki al-Kattani yang pernah membongkar kebatilan Muktazilah dalam majlis Khalifah al-Ma’mun; al-Husayn bin Fadl al-Bajali seorang ulama kalam, usul dan tafsir; dan al-Junayd al-Baghdadi tokoh besar sufi yang tidak asing lagi. Selain itu, antara pengikut utama Ibn Kullab ialah al-Qalanisi dan al-Harith al-Muhasibi, mengenai kedua-duanya akan dihuraikan sedikit kemudian. Di samping itu, Ibn Kullab juga mempunyai kitab hasil tulisannya sendiri, antaranya ialah Kitab al-Radd ‘ala al-Hashawiyyah. Ibn Kullab meninggal dunia kira-kira selepas tahun 240 H di Basrah.

Ibn Kullab telah banyak mengerahkan usaha membela dan mempertahankan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Di zaman beliau, aliran Muktazilah sedang mencapai zaman kegemilangan mereka di bawah pemerintahan Khalifah al-Ma’mun (m. 218 H) yang cenderung mengikut aliran batil itu. Dengan tunjang utama institusi khalifah lebih memihak kepada mereka, Muktazilah mengambil peluang ini untuk mempromosikan pemikiran mereka dengan lebih giat lagi. Majlis-majlis ilmu anjuran Khalifah al-Ma’mun telah diisi dan dikendalikan oleh tokoh-tokoh Muktazilah seperti Ahmad bin Abi Du’ad (m. 240 H), Bishr al-Marisi (m. 218 H) dan lain-lain. Doktrin khalq al-Quran pula dijadikan mazhab rasmi dan dipaksakan ke atas para ulama dalam peristiwa al-Mihnah, menyebabkan ramai fuqaha dan muhaddithin diseksa dengan begitu dahsyat sehingga ada yang terkorban. Walau bagaimanapun, tidak ramai ulama yang berani menyahut cabaran menentang Muktazilah secara bersemuka. Kebanyakan daripada mereka cenderung mengambil posisi bertahan, menjaga akidah Salaf al-Salih dengan berpegang teguh kepada nas sahaja, menjauhi ahli bidaah dan ilmu kalam. Sikap sebegini menyebabkan Muktazilah memandang remeh terhadap ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dan menganggap mereka lemah dan tidak mampu berhujah.

Di tengah-tengah suasana ini, Ibn Kullab tampil ke barisan hadapan untuk menentang Muktazilah secara habis-habisan. Beliau tampil dengan satu pembaharuan, iaitu memperkenalkan manhaj akidah beliau yang mengamalkan keseimbangan antara akal dan nas. Ibn Kullab tidak melihat sebarang kesalahan dalam mengamalkan manhaj akal selagimana ia dipraktikkan secara seimbang dan tidak melampau. Manhaj nas tidak sekali-kali diabaikan, dan manhaj akal pula berperanan tidak lebih daripada mendokong dan berkhidmat kepada nas. Bahkan, ia menjadi senjata yang ampuh dan setanding dengan Muktazilah yang juga bersenjatakan akal. Ibn Kullab juga berani terjun ke dalam ilmu kalam semata-mata untuk mempertahankan akidah Salaf al-Salih. Ketika itu, ilmu kalam masih lagi bercampur aduk dengan fahaman dan pemikiran batil, menyebabkan ramai ulama menentang dan menjauhi ilmu itu. Namun tidak bagi Ibn Kullab. Beliau berani mendalami ilmu kalam dan berusaha membersihkannya daripada pemikiran-pemikiran batil. Berkat usaha ini, Ibn Kullab dan jemaahnya menggunakan ilmu kalam yang murni untuk melawan Muktazilah yang juga bersenjatakan ilmu kalam versi mereka sendiri.

Maka, dengan pembawaan baharu ini, Ibn Kullab menentang Muktazilah dengan bersungguh-sungguh. Di mana sahaja ada halakah ilmu atau majlis perdebatan anjuran Muktazilah, Ibn Kullab akan menyertainya serta berdebat dengan tokoh-tokoh Muktazilah dalam majlis-majlis itu. Beliau mendedahkan kesilapan pemikiran mereka serta meruntuhkan hujah-hujah mereka sehingga membuatkan mereka diam terbungkam. Kehadiran Ibn Kullab meninggalkan kesan yang mendalam terhadap Muktazilah sehinggakan beliau sering menjadi sasaran tuduhan tidak berasas daripada Muktazilah, seperti tuduhan dahsyat bahawa Ibn Kullab penganut akidah triniti Kristian. Walau bagaimanapun, kemaraan Ibn Kullab serta para pengikutnya telah membuatkan Muktazilah mula memandang serius dan tidak lagi memandang rendah terhadap ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

Pembaharuan yang diperkenalkan oleh Ibn Kullab ini seterusnya membawa kepada terbentuknya aliran atau madrasah kalam beliau yang digelar al-Kullabiyyah. Dari sudut manhaj, al-Kullabiyyah meneruskan keseimbangan antara manhaj nas dan manhaj akal, berjalan di antara aliran literal nas seperti al-Mujassimah dan aliran ekstrim akal seperti Muktazilah. Manhaj al-Kullabiyyah juga memberi nafas baru buat akidah Salaf al-Salih serta menjadikannya terus relevan seiring dengan situasi semasa. Dari sudut akidah, hampir semua pendapat akidah mereka selari dengan pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah melainkan hanya pada beberapa isu sahaja. Menurut al-Bayyadi, perselisihan antara al-Kullabiyyah dan aliran al-Hanafiyyah al-Maturidiyyah tidak lebih daripada 10 permasalahan sahaja.

Antara pengikut utama al-Kullabiyyah ialah al-Qalanisi dan al-Harith al-Muhasibi. Kedua-dua tokoh ini seringkali disebut secara digandingkan bersama Ibn Kullab dalam kitab-kitab firaq, menunjukkan mereka merupakan antara ulama kalam terawal di zaman Salaf al-Salih, berteduh di bawah aliran al-Kullabiyyah. Tidak banyak maklumat mengenai al-Qalanisi, atau nama penuh beliau, Abu al-Abbas Ahmad bin Abd al-Rahman Khalid al-Qalanisi. Beliau salah seorang mutakallim Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang terawal. Selain berdebat dengan Muktazilah, al-Qalanisi juga prolifik dalam bidang penulisan. Menurut al-Baghdadi, jumlah penulisan al-Qalanisi mencapai sehingga 150 kitab. Al-Qalanisi dikatakan meninggal dunia pada tahun 255 H.

Seterusnya ialah al-Harith al-Muhasibi, seorang tokoh yang tidak asing lagi dalam lapangan tasawuf. Abu Abdullah al-Harith bin Asad al-Muhasibi lahir dan membesar di Basrah, dan kemudian beliau berhijrah pula ke Baghdad sewaktu usia mudanya. Beliau digelar sebagai al-Muhasibi kerana banyak muhasabah dirinya, atau menurut satu pendapat, kerana beliau memiliki batu-batu kerikil yang digunakan untuk berzikir. Kisah kewarakan beliau sangat banyak, antaranya diceritakan bahawa beliau tidak menerima harta pewarisan ayahnya yang berjumlah 70000 dirham dan tidak makan makanan daripada syubhah. Dalam bidang keilmuan, beliau juga meriwayatkan hadis-hadis, mempelajari ilmu al-Quran dan bahasa daripada tokoh-tokohnya yang terawal, serta mempunyai ramai anak murid. Penulisan beliau juga tidak kurang bilangannya, kebanyakannya berkisar tentang tasawuf. Antara kitab-kitabnya tentang ilmu kalam yang berhasil sampai ke tangan kita hari ini ialah al-‘Aql dan Fahm al-Quran. Al-Harith al-Muhasibi juga memiliki madrasah tasawuf beliau yang begitu unik kerana turut disadur dengan ruh manhaj kalam al-Kullabiyyah. Al-Harith al-Muhasibi akhirnya meninggal dunia pada tahun 243 H.

Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari juga merupakan salah seorang pengikut al-Kullabiyyah. Selepas beliau meninggalkan Muktazilah, Imam al-Ash’ari beralih kepada aliran al-Kullabiyyah. Oleh sebab itu, Imam al-Ash’ari banyak meriwayatkan dan menukilkan pendapat-pendapat Ibn Kullab dan alirannya al-Kullabiyyah. Ini memberitahu kita dua perkara: 

  1. Pendapat-pendapat al-Kullabiyyah selari dengan pendapat Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. 
  2. Manhaj al-Asha’irah merupakan penerusan daripada manhaj al-Kullabiyyah. 
Maka, dari sudut sejarah, aliran al-Kullabiyyah berperanan memulakan jejak langkah manhaj kalam Sunni, manakala al-Asha’irah pula yang bertanggungjawab meneruskan perkembangan manhaj tersebut sehingga ke hari ini.

Rujukan:
  1. Hasan Muharram al-Huwayni. 2014. Abd Allah bin Kullab Shaykh al-Ash’ari. Dlm. al-Tayyib, Ahmad (pnyt.), Abu al-Hasan al-Ash’ari Imam Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah Nahw Wasatiyyah Islamiyyah Jami’ah. al-Qahirah: Dar al-Quds al-‘Arabi.
  2. Al-Nashshar, Ali Sami. 1995. Nash’ah al-Fikr al-Falsafi fi al-Islam. al-Qahirah: Dar al-Ma’arif.
  3. Musa, Jalal Muhammad. 1982. Nash’ah al-Ash’ariyyah wa Tatawwaruha. Bayrut: Dar al-Kitab al-Lubnani.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah