Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Agama dan Falsafah merupakan sebuah buku terjemahan bagi al-Din wa al-Falsafah karangan Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti, tokoh ulama Syria yang terkenal. Buku tersebut diterjemahkan oleh Abdul Rauf Baharuddin dan diterbitkan oleh Nizamiyyah Publications. Dalam buku ini, al-Buti menolak dakwaan terhadap Islam yang dibuat oleh seorang yang hanya diperkenalkan dari awal hingga akhir buku ini sebagai 'ketua jabatan falsafah di sebuah universiti Arab.' Dengan bantuan nota kaki yang disediakan, dan sedikit carian di internet, saya mendapati bahawa individu yang dimaksudkan ialah Fuad Zakaria, seorang ahli falsafah Arab.

Al-Buti tidak memulakan buku ini dengan terus membalas hujah lawannya. Akan tetapi beliau memulakannya dengan topik punca kemunduran umat Islam. Bagi beliau, punca pokok bagi sekian banyak masalah yang melanda umat Islam ialah terhakisnya jati diri sebagai seorang Muslim. Jati diri yang beliau maksudkan ini ialah akidah dan pemikiran Islam yang telah terhakis dalam diri sebahagian Muslim sehingga sanggup menyerang agamanya sendiri dengan pelbagai dakwaan batil. Sepertinya al-Buti hendak merujuk kepada Fuad dalam situasi ini.

Seterusnya barulah al-Buti mula membalas hujah lawannya mengikut topik. Dalam setiap topik, al-Buti akan kemukakan dakwaan lawannya terlebih dahulu. Melaluinya kita dapat mengetahui bahawa pihak lawan cuba berpihak dan memenangkan falsafah terhadap agama. Antara dakwaannya:
  1. Iman tidak lebih sekadar taklid semata, tiada unsur akli atau ilmi. Malah falsafah lebih mengikut manhaj ilmiah.
  2. Nas agama (yakni al-Quran) seharusnya menjauhkan diri daripada sains dan ilmiah.
  3. Wahyu apabila diturunkan kepada nabi, maka unsur ketuhanannya akan hilang malah diganti dan diatasi oleh pengaruh manusiawi, mengakibatkan hilang kesuciannya. 
Kemudian, al-Buti mula menjawab dakwaan pihak lawannya. Beliau menolak, membahas, mempersoalkan, membawakan hujah dan dalil, seumpama beliau sedang bergaduh, berdebat dan berdialog dengan lawannya, penuh unsur dialektik. Daripada jawapan al-Buti, jelas beliau hendak memenangkan agama ke atas falsafah. Sehingga adakalanya beliau menyerang ilmu falsafah itu sendiri yang menurutnya tidak mahu tunduk kepada agama. Bagi peminat falsafah, buku ini bukan untuk anda kalau anda mudah koyak.

Pada saya, buku ini bukanlah sepenuhnya buku falsafah. Ini kerana al-Buti tidak mengulas banyak sudut teknikal bidang falsafah seperti menggunakan istilah falsafah ataupun memetik pendapat tokoh-tokohnya melainkan sedikit sahaja. Oleh itu, bukan peminat falsafah tidak perlu takut untuk membaca buku ini. Sebaliknya, pada hemat saya, buku ini lebih memerlukan pengetahuan dalam bidang usuludin. Ini kerana hujah yang diutarakan oleh al-Buti banyak diambil daripada ilmu akidah, kalam, usul fiqh, ulum al-Quran dan mantik. Oleh sebab itu, menjadi kesukaran buat mereka yang belum mendalami usuludin untuk memahami kandungan buku ini. Bagi peminat usuludin, membaca buku ini mungkin sedikit sebanyak dapat mengulang kaji pelajaran lalu. 

Akan tetapi, buku ini bukanlah juga buku permulaan untuk belajar usuludin. Ini kerana buku ini bertemakan radd (yakni menolak hujah lawan). Dalam hierarki kitab ilmu kalam, buku radd seperti ini berada di tingkatan yang agak tinggi. Ia bukannya seperti buku pemula atau buku pelajaran untuk diajar kepada murid yang baharu. Buku radd seperti ini ditulis untuk menjadi wadah bagi para ulama untuk mempertahankan agama melalui penulisan. 

Oleh sebab itu, saya menyimpulkan bahawa buku Agama dan Falsafah ini adalah antara karya ilmu kalam di zaman moden. Tradisi terdahulu ilmu kalam yang penuh dengan dialog dan hujah dapat diteruskan dengan kewujudan buku ini dan terjemahannya juga. Secara tidak langsung, buku ini turut menjadi antara bukti kepakaran al-Buti dalam bidang ilmu akidah dan kalam. 

P.s: Terima kasih saya ucapkan kepada insan yang sudi menghadiahkan buku ini, yang kini sudah pun menjadi isteri saya.

Catatan tambahan (19/03/2023): Makalah Fuad Zakaria yang dibincangkan dan ditolak oleh al-Buti - jika betul apa yang saya jangkakan - adalah bertajuk al-Falsafah wa al-Din. Maka, kemungkinan judul buku al-Buti ini, al-Din wa al-Falsafah, juga satu bentuk penolakan beliau secara tersirat. Judul makalah Fuad yang meletakkan falsafah di hadapan seolah-olah menggambarkan isi kandungannya yang banyak memenangkan falsafah ke atas Islam. Judul buku al-Buti pula meletakkan agama di hadapan, seakan-akan menggambarkan isi kandungannya yang konsisten memenangkan semula Islam ke atas falsafah. Ia merupakan suatu seni penulisan yang menarik.

Perseteruan antara agama dan falsafah mungkin agak kurang dibincangkan hari ini, namun isu ini pernah menjadi isu yang agak hangat pada suatu masa dahulu. Bagi saya, Islam tetap di atas falsafah kerana Islam dikurniakan secara murni atau mutlak daripada Allah, Yang Maha Bijaksana lagi Maha Benar. Sedangkan falsafah adalah hasil daripada fikiran manusia yang masih boleh terdedah kepada kesalahan dan kesilapan.

Namun, ia demikian sekiranya kita menganggap falsafah sebagai suatu cara atau pegangan hidup. Jika kita mengira falsafah sebagai suatu bidang yang mendidik kita berfikir secara rumit dan mendalam terhadap sesuatu perkara, maka tiada percanggahan yang berlaku selagimana ia selari dengan agama. Bahkan sepatutnya ia tidak diletakkan bersaing dengan agama, kerana kedudukannya sudah berbeza. Agama sebagai cara hidup, manakala falsafah adalah alat untuk membantu kita berfikir lebih kritis dan rumit.

Jika berminat dengan buku ini, boleh beli di pautan berikut: https://shope.ee/8pOi6WgalV

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah