Mustafa al-Siba'i Melawan Badai Awal Orientalis
Bulan Syawal sudah berlalu. Ayuhlah sambung menulis semula. Penangan raya, sebulan tidak menulis apa-apa di sini. Maklumlah kali pertama beraya dengan isteri dan keluarga baru. Keterujaan itu lebih daripada biasa. Tetapi sepatutnya tidak begitu. Antara resam menulis ialah tak boleh tinggalkan lama sangat. Nanti semangat menulis akan menyejuk, diri jadi malas, lepas itu lupa, lama-lama terbengkalai begitu sahaja.
Entri kali ini adalah berkaitan buku Sikap Para Orientalis Terhadap Islam oleh Mustafa al-Siba'i, seorang ilmuwan Syria yang meninggal dunia pada tahun 1964. Buku asalnya ialah al-Istishraq wa al-Mustashriqun, diterjemahkan ke bahasa Indonesia, dan dihiasi dengan kulit depan yang agak menakutkan. Saya pun tak tahu mengapa kulit buku ini berupa begitu.
Pada pengenalan, al-Siba'i menerangkan secara ringkas tentang orientalisme dari pelbagai sudut seperti sejarah, matlamat, tokoh dan pemikiran orientalis. Bagi saya yang tidak mendalami bidang ini, pengenalan orientalisme ini sangat berguna. Semasa pengajian sarjana dahulu pernah belajar tentang orientalisme, tetapi dari sudut hadis di sisi mereka sahaja. Namun melalui pengenalan ini, saya dapat mengetahui bahawa kemunculan orientalisme boleh ditarik seawal zaman keemasan Islam lagi melalui kedatangan orang Nasrani yang mempelajari Islam menggunakan teks Arab.
Selain itu, saya juga dapat mengetahui memang ada dana dan sokongan khusus daripada kerajaan negara tertentu untuk membantu pergerakan orientalis. Tetapi tidak semua begitu, ada juga orientalis yang neutral dan mengkaji Islam kerana ilmu semata-mata. Di samping itu, senarai tokoh orientalis dan bukunya juga menjadi maklumat bibliografi yang berguna bagi rujukan pengkaji. Oleh itu, bahagian pengenalan orientalisme ini mengandungi banyak maklumat baru dan berguna bagi saya meskipun ringkas.
Namun yang menarik minat saya ialah bahagian keduanya iaitu pengalaman al-Siba'i bertemu tokoh-tokoh orientalis ketika kunjungan beliau ke Eropah pada tahun 1956. Bukan calang-calang orientalis yang ditemuinya, antara yang terkenal ialah Joseph Schacht dan A. J. Arberry. Pertemuan mereka adalah di tempat orientalis tersebut berkhidmat, kebanyakannya di universiti terkenal seperti Oxford University, Cambridge University, Leiden University, merentas pelbagai negara seperi United Kingdom, Scotland, Belanda, Sweden, Belgium dan banyak lagi.
Al-Siba'i bertemu para orientalis bukan untuk makan angin, atau nak memeterai MoU, bukan. Akan tetapi, beliau datang untuk mengkritik kesalahan-kesalahan orientalis di hadapan mata mereka sendiri. Antara yang selalu menjadi bahan kritikan beliau ialah pandangan-pandangan Goldziher yang sudah meninggal dunia waktu itu. Ramai daripada orientalis tersebut mengakui kesalahan mereka dalam memahami Islam. Hebat bukan? Menyerang orientalis secara ilmiah di negara mereka sendiri.
Secara keseluruhannya, saya berpendapat al-Siba'i seorang yang keras menentang orientalisme. Beliau cukup benci dengan orientalis kerana suka mengeluarkan pendapat dan pandangan separuh masak. Punca utamanya ialah majoriti orientalis sering tersilap dalam penggunaan bahasa Arab. Sudahlah tak mahir bahasa Arab, ada hati pula nak baca kitab-kitab Arab. Akhirnya, natijah kajian mereka sangat jauh menyimpang daripada ajaran Islam. Perkara ini diterangkan oleh al-Siba'i berserta bukti daripada buku-buku orientalis.
Bukan setakat itu sahaja, al-Siba'i lagi tidak suka apabila orang Islam sendiri yang mengagumi hasil kajian para orientalis. Bahkan, ketika beliau menjadi mahasiswa di Universiti al-Azhar lagi beliau sudah berani mengkritik pensyarahnya yang begitu mengagumi hasil kajian Goldziher. Ia bermula apabila pensyarahnya bersetuju dengan teori buruk Goldziher tentang seorang tabiin masyhur bernama al-Zuhri dalam salah satu kelasnya. Ini mendorong al-Siba'i untuk melakukan kajian. Setelah beberapa bulan, al-Siba'i membentangkan kajiannya tentang al-Zuhri di hadapan orang ramai sambil dihadiri pensyarah tersebut. Selesai pembentangan, pensyarah itu mengakui kesilapannya dan bersetuju dengan pembentangan muridnya itu. Memang mantul, bak kata orang zaman sekarang.
Walau bagaimanapun, al-Siba'i tidaklah melulu dalam menentang orientalis. Beliau boleh menerima lagi orientalis yang neutral dan jujur dalam kajiannya. Bahkan beliau mengharap agar mereka terus mendalami Islam sehingga dapat menemui kebenaran. Namun, oleh kerana beliau antara orang yang menghadapi badai terawal serangan dahsyat daripada orientalis, tidak hairanlah al-Siba'i dilihat agak keras dalam menentang mereka. Beliau sezaman dan menyaksikan bagaimana orientalisme menyerang institusi keilmuan Islam. Sepertimana orang-orang tua kita dahulu sangat kuat menentang British kerana mereka sezaman dan menyaksikan penjajahan mereka ke tanah air kita.
Comments
Post a Comment