Berkenalan Dengan Buku-Buku Wahiduddin Khan Di Mekah
Maulana Wahiduddin Khan mungkin bukanlah seorang tokoh yang dikenali ramai. Demikian jugalah diri saya sebelum saya mula bertemu dan berkenalan dengan karya-karya tulisannya.
Kali pertama saya bertemu dengan karya Maulana Wahiduddin Khan adalah pada tahun 2015 ketika berada di Mekah. Pada waktu itu, saya direzekikan untuk menunaikan ibadah umrah. Perjalanan umrah yang unik kerana kami bertolak dari Jordan dengan menaiki bas. Dalam tempoh semalaman kami tiba di Madinah dahulu, kemudian baru menuju ke Mekah.
Seperti kebiasaan yang saya selalu lakukan, ke mana sahaja tempat saya lawati, saya akan cuba mencari dan menyinggah mana-mana kedai buku yang terdapat di tempat itu. Kalau ada yang berkenan, saya akan membelinya untuk menjadi kenang-kenangan yang boleh dibawa pulang.
Semasa di Madinah, saya dapat menyinggah sebuah kedai kitab Arab yang terletak agak jauh sedikit dari Masjid al-Nabawi. Di kedai tersebut, saya berhasil membeli sebuah buku terkenal yang berjudul قيمة الزمان عند العلماء tulisan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah berkaitan kepentingan menjaga masa di sisi para ulama.
Ketika di Mekah pula, saya dapat menziarahi sebuah kedai kitab Arab dalam salah satu kompleks beli-belah berhampiran Masjid al-Haram. Apabila saya memasuki kedai ini, mata saya terhenti pada satu rak yang penuh dengan buku-buku Inggeris. Saya mendekatinya dan saya dapati rak itu dipenuhi dengan buku-buku karya Sayyid Abu al-Hasan Ali al-Nadwi dan Maulana Wahiduddin Khan. Sayyid Abu al-Hasan Ali al-Nadwi saya kenali lagi, tetapi siapa pula Maulana Wahiduddin Khan. Lalu saya terjumpa satu risalah kecil tentang beliau yang dilampirkan di sebuah rak mini.
Apabila membaca risalah itu, barulah saya tahu bahawa Maulana Wahiduddin Khan bukan calang-calang orangnya. Beliau merupakan seorang ulama pemikir dan pejuang keamanan dari India. Kebanyakan karya beliau berkisar pada bidang pemikiran, keamanan, kalam dan akhlak. Pada tahun 2009, beliau pernah dinobatkan sebagai Duta Kerohanian Islam oleh buku The 500 Most Influential Muslims. Beliau meninggal dunia pada tahun 2021 ketika berumur 96 tahun. Boleh baca lanjutan biografi beliau di sini.
Setelah itu, saya terus membelek buku-buku beliau yang terdapat di rak tersebut. Hasilnya, saya dapat membeli dua buah buku beliau bertajuk In Search of God dan Islam and Peace, berserta dua buah buku Sayyid Abu al-Hasan Ali al-Nadwi bertajuk Islam and the World dan Stories From Islamic History. Untuk pengenalan ringkas, saya ceritakan serba sedikit sinopsis kedua-dua buku Maulana Wahiduddin Khan tersebut di sini:
- In Search of God
Sebuah buku yang nipis, menceritakan secara ringkas tentang bukti-bukti kewujudan Tuhan dari pelbagai aspek. Huraian beliau banyak menyentuh isu-isu yang berlaku di dunia moden.
- Islam and Peace
Sebuah buku yang sederhana tebal, berkaitan peranan Islam dalam membawa keamanan sejagat. Seingat saya, beliau ada utarakan cadangan yang unik dalam menyelesaikan konflik di Palestin dan Masjid al-Aqsa.
Setelah saya menamatkan dua buah buku ini, saya giat mencari buku-buku beliau yang lain kerana seronok dengan pendekatan keamanan beliau. Kebanyakan yang saya temui adalah buku-buku kecil yang boleh dimuat turun secara percuma di aplikasi Google Books. Masih ada beberapa lagi buku fizikal beliau yang saya miliki tetapi belum lagi dibaca. Insya-Allah pada masa akan datang kita akan gali pemikiran beliau daripada karya-karyanya di blog ini.
Comments
Post a Comment