Ibrah Daripada Pengembaraan Ilmu Mohd Darus Senawi

Artikel ini siap ditulis oleh isteri saya, Nur Suhaili, pada 12 September 2021 dalam blog saya yang lain. Saya bawa ke sini untuk menyimpannya kerana saya sudah menutup blog tersebut. Semoga manfaatnya dapat diteruskan di tempat yang baru.

Reviu Buku: Kembara Darus Senawi 1963

Buku ini bertemakan travelog perjalanan ilmu Ustaz Mohd Darus Senawi pada sekitar akhir tahun 60-an dan awal 70-an. Sebuah pengalaman yang sangat bermakna buat beliau. Sungguh mahal semua kisah dalam pengembaraannya.

Siapa sangka, permusafiran yang kita harapkan akan sampai ke destinasi, tiba-tiba tersangkut di India, dalam keadaan tiada duit untuk meneruskan hidup.

Siapa sangka, setelah berbulan-bulan terkandas di India, akan ada orang yang membantunya agar dapat juga menjejakkan kaki ke Mesir.

Akhirnya, tercapai juga cita-cita beliau untuk menjadi pelajar Universiti Al-Azhar Al-Syarif.

Itulah istimewanya sebuah kepercayaan dan tawakal yang tinggi kepada Allah dalam menuntut ilmu. Ini satu sifat yang harus dicontohi. Hasil sabar, doa dan usaha, akhirnya beliau berjaya mencapai apa yang diidamkan. Rindu Mesir & seisinya. Sama sahaja Mesir, dulu mahupun sekarang. Walaupun kisah pengalaman beliau tidak ditulis secara menyeluruh, namun ia cukup menginsafkan saya, bahkan beberapa situasi dalam buku ini turut juga saya alaminya sekarang. Situasi tersebut berjaya disampaikan dengan baik dan bahasa yang mudah difahami, membuatkan saya tidak keseorangan menghadapi situasi itu.

Dalam entri kali ini, saya akan lampirkan beberapa hasil dapatan saya berkenaan kisah kembara beliau.

Pertama, beliau mempunyai ramai kenalan yang baik dan jaringan yang luas. Ini dapat dilihat semasa permusafiran beliau dari satu tempat ke tempat yang lain. Setiap kali beliau ingin pergi ke tempat lain, akan ada sahaja kenalan yang dipertemukan. Secara tidak langsung, ini dapat membantu beliau menyelesaikan masalah yang beliau hadapi. Contohnya, semasa di India, beliau terserempak dengan Hasyim Nayan yang merupakan kenalan senegerinya. Kenalan ini jugalah yang membantu beliau merealisasikan hasrat untuk pergi ke Mesir.

Selain itu, beliau juga pandai bergaul dengan kenalan antarabangsanya, baik ketika di India, Mesir, mahupun Eropah. Beliau dilihat tidak kekok dan begitu mesra sekali ketika bermuamalah dengan mereka. Lebih mengagumkan, ada sahabatnya yang berasal dari Greece sempat menziarahinya di Malaysia ketika beliau berkhidmat di Kelantan. Walhal pada masa itu, bukan mudah untuk berhubung dengan orang lain. Jaringan internet masih belum ada, tetapi hubungan silaturahim mereka tetap berkekalan. Inilah hasilnya jika kita bergaul dengan sahabat secara baik.

Kedua, beliau adalah seorang penuntut ilmu yang berazam tinggi dan rajin belajar. Sejak zaman persekolahan lagi, beliau dikurniakan kecerdikan dalam bidang bahasa Arab dan pengajian Islam. Beliau bersekolah di Madrasah Alawiyah, diajar oleh tenaga pengajar yang mahir, malah guru besarnya merupakan rakyat Mesir. Dari zaman sekolah juga, beliau sudah rajin membaca dan berani bercakap dalam bahasa Arab. Keadaan ini menjadikan beliau terlatih dalam bidang bahasa dan pandai mencari nilai tambah untuk diri beliau. Lama-kelamaan, tabiat baik ini sudah sebati dalam dirinya dan memudahkan beliau ketika menuntut ilmu di Mesir.

Ketiga, walaupun satu demi satu ujian yang dihadapinya, beliau memandangnya dengan penuh hikmah. Meskipun ada terlintas untuk berputus asa, tetapi beliau tetap yakin bahawa Allah akan membantunya. Ternyata benar, di setiap kesulitan itu ada kemudahan buat beliau. Tidak dapat saya nyatakan setiap ujian yang dilaluinya, adalah lebih baik jika dapat membacanya sendiri dalam buku ini.

Berdasarkan kisah kembara beliau ini juga, saya dapat melihat bahawa beliau merupakan seorang yang bijak merancang hidupnya. Beliau memiliki impian yang jelas, tahu apa yang perlu dilakukan dan melaksanakan apa yang dirancang. Jika berlaku sesuatu yang tidak dirancang, terus sahaja beliau memikirkan perancangan seterusnya dan menyesuaikannya mengikut keadaan. Sifat ini jelas ketika beliau ingin menyambung pengajian sarjana di Eropah. Beliau keluar dan masuk negara di benua tersebut untuk mendapatkan visa dan mendaftarkan pengajian. Akan tetapi, keadaan tidak mengizinkan, beliau memutuskan untuk pulang sahaja ke tanah air. Walaupun tidak dapat melaksanakan hasratnya, tetapi pengalaman yang sekejap itu tetap menjadikan kembaranya lebih menarik.

"Penuntut ilmu itu adalah penuntut rahmat Allah."

Sebagai penutup, saya tertarik sekali dengan kata-kata sahabat karib beliau Abdul Halim Abdul Razzaq di atas. Menurut beliau, petikan inilah yang menjadi perangsang buatnya untuk terus yakin dalam setiap langkah mengejar ilmu dan menempuhi segala rintangan. Ya, saya dapat melihat hasil kata-kata rangsangan tersebut begitu berkesan dalam diri beliau. Saya berharap agar terselit jua rahmat Allah buat diri saya walaupun sudah bukan bergelar penuntut ilmu secara rasmi. Moga ilmu yang sedikit ini mampu menjadi penyelamat dunia akhirat. Terima kasih atas kisah pengembaraan Ustaz Darus Senawi yang begitu memberi pengajaran serta penuh hikmah.

Wallahua'lam.

*Kata penghargaan buat si pemberi buku ini: Terima kasih.

Nur Suhaili Maskob

Jika berminat dengan buku ini, boleh beli di pautan berikut: https://shope.ee/1Vc7MqDlE9

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah