Hubungkan Ilmu Kita dengan Amalan Membaca
"Malaslah nak baca buku." Keluhan sebegini sering kedengaran bagi sesiapa yang pernah berhadapan dengan sebahagian manusia yang kurang minat dalam aktiviti membaca. Keluhan seperti ini pada hari ini semakin merebak ke seluruh diri manusia. Rugi. Selain belajar, membaca juga menjadi salah satu perkara yang perlu dilakukan dalam usaha menuntut ilmu. Tanpa membaca, ilmu pada diri kita menjadi tidak kukuh. Antara perkara yang mengukuhkan ilmu ialah dengan rajin membaca.
Seorang penuntut ilmu feqah, tidak boleh berharap pada apa yang diperoleh di kelas belajar semata-mata. Seharusnya dia meluaskan lagi pengetahuannya dalam feqah dengan melakukan aktiviti membaca. Daripada membaca, dia akan menemui pelbagai perkara baru seperti istilah-istilah feqah, pendapat-pendapat ulama lain sama ada bersepakat atau berlawan, masalah-masalah feqah yang baru dan sebagainya. Seorang penuntut ilmu kedoktoran tidak boleh berharap pada apa yang dipelajarinya di kelas atau di makmal. Dia sepatutnya meluaskan lagi kemahiran dan pengetahuannya dalam bidang kedoktoran dengan membaca buku-buku perubatan.
Amalan membaca merupakan amalan yang semakin hilang di kalangan umat Islam hari ini. Apabila kita dibuai dengan kemewahan, kesenangan dunia, ditambah pula dengan kemajuan IT yang semakin memuncak, amalan membaca buku semakin ditinggalkan dan dipinggirkan. Hasilnya, umat Islam hari ini menjadi umat yang lemah dalam ilmu. Sedangkan wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah s.w.t melalui malaikat Jibril a.s kepada insan agung, insan mulia, nabi rahmah, Muhammad s.a.w, dimulakan dengan perkataan iqra iaitu bacalah. Setelah itu, umat Islam terus menjadi umat yang hebat dari sudut ilmu dan pengetahuan dalam pelbagai bidang.
Melihat keadaan hari ini, umat Islam menjadi agak mundur dari segi keilmuan. Walau bagaimanapun, kehadiran tokoh dan cendekiawan Islam yang hebat sehingga ke hari ini meneruskan lagi legasi kegemilangan ilmu dalam Islam. Insan-insan hebat ini tidak mahu membiarkan kegemilangan umat Islam dalam bidang ilmu itu terkubur dan mati begitu sahaja. Usaha meneruskan lagi kemajuan umat Islam dalam ilmu semakin giat dijalankan. Selain penghasilan buku-buku, mereka juga mengasaskan institusi yang memakmurkan ilmu untuk umat Islam. Tidak ketinggalan juga majlis-majlis ilmu dan program-program intelektual seringkali diadakan dalam negara dan luar negara.
Usaha-usaha murni mereka harus dipuji dan dihargai. Sokongan dalam pelbagai bentuk perlu diberikan. Antara sokongan yang boleh diberikan ialah melibatkan diri kita dalam menuntut ilmu. Amalan membaca buku juga mesti dilakukan kerana amalan ini menjadi penghubung dari satu ilmu ke ilmu yang lain. Menjadikan ilmu yang dipelajari itu sentiasa berhubung dan berkembang. Hasilnya, kita dapat melahirkan beberapa kumpulan manusia yang memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi. Terbitnya kumpulan-kumpulan manusia yang berintelektual mampu menaikkan semula martabat Islam sebagai pusat kemajuan ilmu di mata dunia.
Bagaimana ingin memupuk diri suka membaca?
Sebahagian umat Islam bukan membenci amalan membaca, cuma mereka tidak tahu cara untuk memupuk amalan membaca dalam diri mereka. Dengan pengalaman yang tipis dan ilmu yang sedikit, saya cuba memberi beberapa langkah untuk memupuk sikap suka membaca dalam diri.
- Kenal pasti minat kita.
Andai kata minat kita pada bidang komputer, carilah buku-buku tentang komputer. Jika kita meminati bidang kejuruteraan, bacalah buku berkaitan tentang kejuruteraan. Jika kita meminati bidang aqidah, carilah buku-buku yang membahaskan tentang aqidah.Bermula dengan minat, kita akan dihubungkan dengan ilmu-ilmu yang lain, dan akhirnya kita akan berminat untuk membaca buku berkaitan ilmu yang dihubungkan dengan minat kita.
- Mulakan dengan buku-buku kecil.
Ramai manusia akan silap pada pemilihan buku. Ya, buku yang besar sudah tentu mengandungi perbahasan yang luas dan maklumat yang banyak, namun kebiasaan manusia tidak mampu menghabiskannya kerana buku yang besar akan mengambil masa yang lama untuk membaca dan seterusnya menyebabkan diri kita berasa malas dan jemu untuk menghabiskannya. Maka mulakanlah dengan buku-buku kecil sebagai satu permulaan yang hebat.
- Bawa buku ke mana sahaja.
Amalan membawa buku ke mana sahaja kita pergi merupakan suatu amalan yang dipuji. Daripada kita menghabiskan waktu dengan melayari Facebook dan media sosial, atau melayan permainan maya di telefon pintar atau tablet, lebih baik kita membaca buku. Tabiat saya ialah saya mampu membaca dalam kenderaan, sedangkan ramai orang tahu jika kita membaca dalam kenderaan, sudah pasti akan mendatangkan penyakit pening kepala. Pada saya, penyakit pening kepala ini boleh diatasi jika kita membiasakan diri kita membaca dalam kenderaan sedikit demi sedikit. Duduk dalam bas awam tak buat apa-apa, baik kita membaca.
- Tetapkan jadual bacaan harian.
Perlu juga penetapan jadual untuk membaca agar aktiviti membaca dapat dijalankan secara tersusun. Ada sebahagian orang lebih suka membaca mengikut masa yang telah ditetapkan oleh diri mereka. Cara saya ialah saya menetapkan tajuk untuk dihabiskan dalam satu hari. Walau bagaimanapun, terpulang kepada kehendak pembaca.
- Ikhlas dan beradab kunci istiqamah.
Istiqamah memang masalah utama setiap manusia. Ubatnya ialah ikhlas. Segarkan hati dengan niat yang segar serta semangat yang membara. Buku-buku khususnya buku agama mengandungi ayat Quran dan hadis Nabi s.a.w, maka sentiasalah beradab dalam membaca buku tersebut. Beradab dengan ilmu menjadikan ilmu yang diperoleh menjadi bermanfaat buat diri penuntut ilmu.
- Bina perpustakaan kecil di rumah.
Kebanyakan pencinta buku akan terpesona apabila memasuki perpustakaan. Buku-buku yang tersusun menjadikan perpustakaan merupakan tempat kegemarannya. Membina sebuah sudut membaca di rumah dengan meletakkan sebuah rak yang disusun padanya buku-buku sedikit sebanyak boleh menghidupkan suasana perpustakaan dan menyemarakkan jiwa membaca dalam diri kita meskipun sekadar berada di rumah sendiri. Jika tidak berkemampuan, cukuplah menukar gambar yang terpapar di skrin komputer itu kepada gambar perpustakaan, seperti saya.
Berani Bertanya Tak Sesat Jalan
Sebaiknya, sebagai pemuda, sebelum berjinak-jinak dalam arena membaca, kita digalakkan untuk pergi belajar dahulu, supaya kefahaman kita jelas sewaktu kita membaca buku. Contoh yang paling jelas ialah dalam bidang agama. Bagi memahami konsep mengambil wuduk, seharusnya kita mempelajarinya dahulu di kelas-kelas agama. Jika tidak mempelajarinya dan terus membaca buku-buku berkaitan wuduk, ditakuti pemahaman kita salah.
Namun tidak semua perkara perlu dilakukan dengan sebegitu cara, jika kita sudah menguasai asas-asas ilmu, membaca buku apa sahaja barangkali tidak menjadi masalah. Namun, jika terdapat beberapa perkara yang tidak dapat difahami, sebaiknya pergilah bertanya dengan individu-individu yang pakar dalam bidang tersebut, supaya kita lebih memahami dan lebih jelas maknanya berbanding membina kefahaman sendiri.
Suatu perbuatan yang dipuji juga ialah bertanya dengan guru kita tentang buku yang terbaik untuk dibaca, atau meminta pandangan guru kita terhadap sesuatu buku. Perkara ini lebih berguna kerana kita akan sentiasa dipandu dalam mendalami ilmu dengan nasihat dan pandangan dari guru kita.
Kesimpulan
Amalan membaca merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Turunnya wahyu pertama dalam Surah al-'Alaq menunjukkan betapa pentingnya ilmu dalam Islam. Ilmu itu diambil dengan belajar, akan tetapi yang akan menghubungkan kita antara ilmu-ilmu tersebut ialah dengan membaca buku.
Umat Islam hari ini harus digalakkan dalam mempelajari ilmu, bagi menjadikan generasi hari ini dan hari esok ialah generasi yang bertindak berdasarkan ilmu, dan seterusnya melahirkan tamadun Islam yang maju dari segi ilmu dan pengetahuan.
Moga dengan sumbangan kecil saya ini menjadi asbab datangnya reda Allah kepada kita semua.

Comments
Post a Comment