Jangan Meremehkan Tiga Perkara


Imam al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanadnya daripada tokoh tasawuf Mesir bernama Dhu al-Nun al-Misri,

"Sesungguhnya Allah menyimpan tiga perkara dalam tiga perkara: 1- Allah menyimpan kemurkaan dalam kemaksiatan. Maka jangan engkau meremehkan maksiat walau sekecil mana sekalipun, kerana siapa tahu dalamnya terdapat murka Allah. 2- Allah menyimpan keredaan dalam ketaatan. Janganlah engkau meremehkan ketaatan walau sekecil mana sekalipun, kerana siapa tahu di dalamnya terdapat reda Allah. 3- Allah menyimpan wali-Nya dalam sekalian manusia. Jangan engkau menghina hamba Allah walau seorang sekalipun, kerana siapa tahu dia adalah wali Allah."
  • Jangan Meremehkan Dosa
Jangan meremehkan apa jua maksiat. Kadangkala kita akan meremehkan maksiat kecil dengan memberi alasan yang mudah semata-mata untuk melaksanakan maksiat tersebut. Mungkin kita akan kata, "Alaa, kecik je pun. Bukan buat salah besar sangat!" Siapa tahu, dalam salah kecil yang kita lakukan, terdapatnya kemurkaan Allah. Siapa tahu? Perbuatan meremehkan maksiat kecil juga menjadi penyebab kepada dosa tersebut menjadi dosa yang besar di sisi Allah. Seolah-olah perbuatan tersebut mempermainkan Allah. Na'udhu billahi min dhalik.

Maka, sentiasalah meletakkan rasa waspada terhadap segala perbuatan, percakapan dan pendirian kita daripada terjerumus dalam kolam maksiat. Baru kolam belum lembah, kerana berapa ramai manusia yang terlalu bermudah-mudahan dalam maksiat, akhirnya dengan maksiat itu menjadi asbab kepada hancurnya kehidupannya di dunia dan di akhirat. Sabda penghulu yang mulia, Nabi Muhammad s.a.w,

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ‏ ‏خَرِيفًا ‏فِي النَّارِ

Maksudnya: "Sering kali sepatah kata yang diucapkan oleh seseorang dapat membuatkan dirinya melayang-layang di neraka selama 70 tahun." (Riwayat al-Tirmidhi)
  • Jangan Meremehkan Amal
Jangan meremehkan apa-apa perbuatan ketaatan walau sekecil mana pun. Kadangkala kita akan memandang remeh kepada amalan-amalan kecil dan mudah, bahkan kita kadangkala terlalu kejar kepada amalan-amalan yang besar. Contohnya, istighfar. Kalimah istighfar itu walau kecil dan mudah, siapa tahu di sebalik sebutan istighfar di bibir kita terdapatnya reda dan keampunan Allah. Maka, carilah redha-Nya dalam setiap amalan sama ada besar atau kecil. 

Juga jangan meremehkan perbuatan kita kepada saudara kita walaupun hanya senyum. Berusahalah membantu saudara kita sedaya upaya kita. Jika melihat orang miskin mencari rezeki, berbaju selekeh, usah memalingkan muka kita berserta rasa sombong dalam hati, akan tetapi bantulah dia sedaya upaya kita. Bahkan dengan senyum juga mampu membantu saudara-saudara kita, terutamanya ketika berada dalam kesusahan, siapa tahu dengan senyuman kita mampu menjadikan saudara kita kembali tabah dan bersemangat dalam meneruskan kehidupan. Siapa tahu?

Sabda Rasulullah s.a.w,

‏لَا ‏تَحْقِرَنَّ ‏مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ ‏تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ ‏طَلْقٍ

Maksudnya: "Jangan kamu meremehkan perbuatan baik sekecil mana sekalipun walau hanya tersenyum ketika berjumpa dengan saudara kamu." (Riwayat Muslim)
  • Jangan Meremehkan Orang Lain
Jangan sesekali menghina orang lain. Perbuatan menghina orang lain tidaklah ia melainkan menjadikan diri penghina itu menjadi semakin hina di sisi Allah. Melalui mulut, kita masih mampu mengatur, namun kadang-kala hati kita terlalu cepat menghukum orang. Apabila terjumpa insan miskin berwajah hodoh, terlalu mudahnya hati kita yang kotor ini menghina insan itu. Walaupun hanya di hati, seharusnya kita meletakkan usaha kita sebanyak mungkin untuk mengelakkan lintasan hati itu terus menetap di hati kita.

Wali Allah s.w.t hanya Dia sahaja yang tahu. Nilai ketaatan yang tinggi oleh para wali hanya berada di pengetahuan-Nya sahaja. Kadangkala kita lihat dia seperti orang yang lemah, namun siapa tahu setiap amalan yang dilakukannya mendapat reda dari Allah dan sekaligus melayakkan dirinya sebagai wali di sisi Allah s.w.t. Imam Ali Zayn al-'Abidin pernah berkata: "Anggaplah setiap orang yang kamu temui itu Nabi Khidir a.s." Apa yang hendak dititpkan ialah sentiasalah berbuat baik kepada semua orang, barangkali orang yang kita temui itu darjatnya lebih tinggi di sisi Allah s.w.t berbanding diri kita yang entah tak tahu tinggi mana darjat kita di sisi Allah. 

Maka, peliharalah percakapan kita, sentiasalah berbuat baik kepada semua orang dan sentiasa bersangka baik terhadap semua orang. Jika tak mampu berbuat baik, cukuplah didik hati kita agar selalu bersangka baik terhadap orang lain, meskipun hati kita sentiasa diselaputi rasa berhati-hati. Maafkan dan tegurlah saya jika terdapat salah dan silap. Ayuh sama-sama kita perbaiki akhlak kita sejajar dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Wallahu a'lam.

Rujukan: 
  1. Umar Muhammad Noor, Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah