Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal
Sebelum ini, saya sudah membaca Adab Menyara Hidup oleh al-Sarakhsi. Belum sempat lagi saya menulis ulasannya di sini atas faktor kesibukan urusan kerja dan keluarga. Saya perlu membacanya semula untuk memberikan ulasan yang berhak buatnya.
Jadi, Seruan Untuk Bekerja oleh al-Khallal adalah kali kedua saya membaca buku seumpamanya. Bezanya, buku ini lebih ringkas. Tumpuan al-Khallal adalah menghimpunkan riwayat daripada ulama—majoritinya daripada Ahmad bin Hanbal—seputar bekerja dan mencari rezeki. Tidak bersifat syarah atau huraian, tetapi lebih kepada rekod dan catatan.
Mungkin bagi sesetengah orang, buku himpunan riwayat semata-mata tanpa huraian adalah tidak mengenyangkan. Sebenarnya, buku seperti ini sangat berharga, kerana riwayat yang dibawa adalah rakaman dan catatan sejarah. Daripada riwayat tersebut, kita dapat memahami sedikit sebanyak suasana masyarakat dan pendirian ulama ketika itu. Maka, buku seperti ini sebenarnya tidak kurang juga pentingnya.
Oleh itu, saya menikmati buku ini dengan menganggap diri saya menggunakan mesin masa untuk kembali ke zaman Abbasiyyah. Kemudian, saya duduk bersidai di celahan bangunan, sambil melihat suasana perbualan harian antara ulama dengan masyarakat setempat. Sekembalinya ke zaman kini, saya membawa pulang pengajaran daripada pendirian ulama zaman silam untuk dijadikan penyegar semangat bekerja.
Bukannya penyegar itu untuk memulihkan rasa malas, tetapi penyegar itu untuk membetulkan cara fikir, bahawa bekerja adalah suatu perbuatan yang mulia, dan mencari nafkah merupakan ibadah. Tak perlu meletakkan matlamat yang tinggi lagi menghimpitkan seperti ingin menjadi terkenal di dunia. Cukup sekadar dapat terus menafkahi keluarga dan membantu masyarakat seagama.
Comments
Post a Comment