Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi
Buku ini ialah buku terjemahan daripada karya asalnya berbahasa Arab yang bertajuk Imam Ahl al-Haqq Abu al-Hasan al-Ash’ari oleh seorang ulama Syam zaman kini iaitu Dr. Abd al-Qadir Muhammad al-Husayn. Buku terjemahan Indonesia ini pula diterjemah oleh M. Tatam Wijaya dan diterbitkan pada tahun 2018 oleh PT Qaf Media Kreativa.
Menurut saya, buku ini secara keseluruhannya bukanlah sebuah buku biografi yang mengandungi perjalanan kehidupan Imam al-Ash'ari secara terperinci dari awal hingga akhir hayatnya. Sebaliknya, saya berpendapat buku ini lebih berbentuk sebagai buku pengantar bagi mengenali pemikiran Imam al-Ash’ari.
Seperti kebiasaan buku biografi, buku ini mengandungi maklumat peribadi Imam al-Ash’ari seperti kelahiran, keturunan, sifat-sifat, keilmuan, akhlak dan sebagainya. Terdapat juga beberapa kisah kehidupan Imam al-Ash’ari yang dimuatkan dalam buku ini, akan tetapi tidak banyak. Antara yang terkandung sudah tentu kisah masyhur beliau melucutkan jubah Muktazilahnya di atas mimbar dan kisah-kisah lain sekitar peralihannya kepada Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.
Selebihnya, buku ini membicarakan hal-hal berkaitan pemikiran Imam al-Ash’ari. Ia bermula dengan beberapa mukadimah seperti berkenaan suasana intelektual di zaman itu dan pengenalan tentang Muktazilah. Kemudian, buku ini membicarakan manhaj dan pemikiran Imam al-Ash’ari dalam beberapa bahagian mengikut isu yang disentuh, antaranya isu nas mutasyabihat. Walaupun kelihatan agak berat, namun pada saya huraian penulis tidak terlalu mendalam dan masih pada tahap asas.
Saya kira penulis berhasil menjawab permasalahan di sebalik penulisan buku ini. Pada bahagian pengantar, penulis menyebutkan bahawa buku ini ditulis berikutan munculnya orang Islam yang menghina, menentang dan melemparkan tuduhan sesat terhadap Imam al-Ash’ari dan mazhabnya al-Asha’irah. Saya berpendapat beliau telah menjawab permasalahan ini dengan menjelaskan pemikiran dan manhaj Imam al-Ash’ari. Beliau juga membawakan pendapat ulama dan catatan sejarah sebagai perakuan akan keutamaan Imam al-Ash’ari. Namun, saya merasakan kewibawaan seseorang tokoh tidak dilihat pada bilangan pengikut dan sokongannya. Akan tetapi, ia diukur pada manhaj dan pemikirannya, sejauh mana ia bertepatan dengan nas-nas syarak.
Dari sudut penambahbaikan pula, saya berpendapat buku ini seharusnya menambah bahagian glosari bagi istilah-istilah berkaitan akidah dalam buku ini. Kewujudan glosari boleh membantu pembaca awam dalam memahami istilah-istilah tersebut. Susunan kandungan dalam buku ini pula tidak teratur dan berselang-seli antara biografi dan manhaj Imam al-Ash’ari. Pada saya, ia sepatutnya disusun bermula dengan biografinya dahulu, diikuti dengan latar belakang dan suasana intelektual, diakhiri dengan manhaj dan pemikirannya. Kemudian, seperti kebiasaan buku dari negara jiran, sudah tentu saya menghadapi sedikit masalah dalam memahami beberapa kalimah daripada bahasa mereka. Walau bagaimanapun, isu ini boleh diatasi dengan membuat pencarian di laman sesawang.
Akhir sekali, saya berharap agar buku-buku biografi ulama seperti ini lebih banyak dihasilkan di masa akan datang. Buku-buku sebegini penting supaya tokoh-tokoh ulama seperti Imam al-Ash’ari tidak luput dalam fikiran umat Islam masa kini. Buku seperti ini bukan sahaja memperkenalkan umat Islam tentang perjalanan hidup seorang ulama, bahkan memberi pendedahan kepada mereka tentang keilmuan dan ketokohan seseorang ulama sekaligus menggalakkan mereka untuk menceburi bidang ilmu agama dengan lebih mendalam.
Comments
Post a Comment