Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah
Mempelajari kitab asas merupakan satu proses permulaan yang amat penting dalam perjalanan ilmiah seseorang penuntut ilmu. Namun, terdapat segelintir pelajar yang meninggalkan pengajian kitab asas kerana hendak melompat ke pengajian kitab yang lebih tinggi.
Perkara ini telah diberi perhatian oleh Syeikh Said Fudah dalam mukadimah kitab beliau, Tahzib Sharh al-Sanusiyyah. Beliau menasihatkan agar penuntut ilmu yang baharu menumpukan perhatian kepada kitab asas sehingga dapat menguasainya dengan baik. Berikut adalah petikan terjemahan nasihat beliau tersebut:
Pendahuluan
... Dalam kitab ini juga aku berpesan kepada pembaca agar memadai dengan mempelajari satu matan sahaja dahulu, serta tidak bergantung sepenuhnya kepada hashiyah melainkan sekiranya perlu, lebih-lebih lagi ketika kali pertama membaca kitab. Ini dapat menjaga fikiran daripada terkeliru dan celaru antara kandungan perbincangan dalam matan dan hashiyah. Setelah itu, tidak mengapa jika hendak membaca hashiyah jika mengalami kekaburan dalam memahami sesuatu perkara atau permasalahan, ataupun setelah membaca (mempelajari) kitab pertama dengan sempurna dan memahami isinya.
Ketahuilah, pembacaan sesebuah kitab untuk kali kedua dan ketiga adalah sangat bermanfaat, seperti yang pernah diingatkan oleh para ulama kita. Mereka membaca sesuatu kitab berulang-ulang kali sebelum berpindah ke kitab yang lain. Disebutkan bahawa al-Sayyid al-Sharif al-Jurjani membaca kitab Sharh al-Matali’ fi ‘Ilm al-Mantiq lebih daripada 14 kali sebelum membaca dengan penulisnya, al-Allamah al-Qutb al-Razi. Kisah para fuqaha dan membaca buku juga sangat masyhur. Sebahagian daripada mereka digelar sebagai al-Minhaji disebabkan sangat selalu membaca kitab al-Minhaj karya Imam al-Nawawi. Ada juga para fuqaha yang membaca kitab al-Risalah karya Imam al-Syafi‘i lebih daripada 30 kali, dan setiap kali mereka tamat membacanya, mereka akan memperoleh tambahan kefahaman yang baru.
Maka, membaca sesebuah buku secara berulang kali merupakan langkah penting yang harus diambil oleh generasi masa kini. Kebiasaannya, orang yang baru mendapat taufik untuk menuntut ilmu, dia tidak mengetahui caranya yang betul. Maka kamu akan melihat dia mula membaca sesuatu kitab, kemudian sebelum dia memahami topik-topik dan perbahasannya, dia berpindah pula ke kitab yang lain. Hasilnya, dia tidak dapat menguasai satu pun daripada kitab itu, tetapi yang dia peroleh hanyalah waktu dan usaha yang telah disia-siakan serta fokus yang berselerakan.
Oleh kerana itu, para ulama menasihatkan kepada penuntut ilmu supaya melazimi satu kitab dahulu pada permulaan menuntut ilmu. Kemudian, setelah menguasai perbahasan kitab tersebut, bolehlah dia berpindah ke kitab lain. Bahkan perpindahan kitab, yakni membaca lebih daripada satu kitab dalam sesuatu bidang ilmu, menjadi kewajipan yang penting bagi sesiapa yang mahu menguasai sesebuah ilmu dan mencapai matlamatnya. Akhirnya, tiada taufik melainkan daripada Allah Taala ...
Kesimpulan
Berdasarkan petikan nasihat beliau di atas, terdapat beberapa perkara yang boleh diambil perhatian:
- Mempelajari matan tidak seharusnya dicampuri dengan membaca hashiyah dalam bidang ilmu yang sama. Membaca hashiyah boleh dimulakan setelah menguasai matan asasnya, atau sekiranya terdapat keperluan untuk merujuknya.
- Kaedah di atas secara tidak langsung menjadi satu garis panduan dalam menguasai sesebuah bidang ilmu. Tidak kira apa jua ilmu sekalipun, ia bermula dengan buku yang asas, kemudian baru berpindah ke buku yang lebih tinggi.
- Tidaklah semestinya seseorang itu wajib melazimi dengan sesebuah kitab asas sampai bila-bila. Membaca dan mempelajari pelbagai kitab juga penting dalam menguasai sesebuah bidang ilmu. Namun, ia seharusnya selepas dapat menguasai asas ilmu tersebut.
- Membaca satu-satu kitab berulang kali juga tidak kurang pentingnya. Mungkin nampak membosankan, namun ia terbukti bermanfaat. Ramai ulama yang menjadikannya rutin. Kita pula bagaimana.
Menuntut ilmu adalah suatu kegiatan yang merangkumi pelbagai aktiviti dan merentasi banyak peringkat. Sesiapa yang hendak menyertai kegiatan ini, maka haruslah dia memilih sabar sebagai teman karibnya.
Rujukan:
- Fudah, Said Abd al-Latif. 2004. Tahdhib Sharh al-Sanusiyyah Umm al-Barahin. Amman: Dar al-Razi.
Jika berminat dengan buku ini, boleh beli di pautan berikut: https://shope.ee/2fo4kwnqzK

Comments
Post a Comment