Merangkak Membaca al-Quran Lebih Baik Daripada Laju Berbicara Tanpa Ilmu


Terkedu saya bila terdengar si polan berkata hadis merangkak ketika membaca al-Quran itu hanya merujuk kepada orang Arab. Saya terfikir, polan ini ambil daripada kitab mana, syarah siapa? Setakat pencarian ringkas, saya tak jumpa mana-mana syarah yang mengatakan hadis itu diturunkan kepada orang Arab saja. Habis itu, nak kata ganjaran pahala merangkak membaca al-Quran itu hanya dikurniakan kepada orang Arab sajakah?

Beriya sungguh si polan ini hendak menakut-nakutkan orang tentang hadis kaum yang membaca al-Quran tidak lepas dari kerongkong, sehingga dipukul rata kepada orang yang bertaranum sekali. Kalau begitu, di mana hendak letak hadis seperti: ليس منا من لم يتعن بالقرآن dan juga زينوا القرآن بأصواتكم

Lagi pula dikatanya, al-Quran itu sudah sedap tak perlu dibaca dengan lagu lagi. Tidakkah terasa bercanggah dengan hadis tadi. Baginda menggalakkan kita hiasi suara kita dengan suara yang indah ketika membaca al-Quran. Walhal si polan pula seolah-olah menjauhkan orang daripada bertaranum. 

Tiada siapa yang boleh menafikan keutamaan membaca al-Quran secara tadabbur dan memahami maknanya berbanding yang lain. Kaedah membaca al-Quran sebegini sudah tentu lebih afdal. Tiada siapa yang mengingkarinya. Tetapi itu tidak bermakna membaca al-Quran secara tilawah dan taranum itu salah serta-merta. Beza kedua-duanya lebih kepada dari sudut keutamaan saja, bukan yang satu berpahala dan satu lagi berdosa.

Kalau nak ditilik pada niat, membaca al-Quran secara tilawah boleh saja mendapat pahala, asalkan kena caranya dan niat ingin menjadikannya sebagai ibadah. Sedangkan membaca al-Quran secara memahami makna, kalau tak kena cara tambah pula dengan perasaan riyak dan takbur, pun dapat dosa juga. Apatah lagi mengulas tafsir al-Quran tanpa ilmu.

Tolong bersikap cermat dalam memahami hadis. Hadis bukannya boleh dipotong tampal diganding pisah ikut sesuka tekak. Bulan puasa ini, galakan membaca al-Quran memang nyata lagi bersuluh, tak perlulah menjauhkan orang daripada ibadah ini. Yang penting, membaca tilawah al-Quran jauh lebih baik daripada berkata-kata kosong tanpa ilmu.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Inilah Pekan Mu’tah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi