Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia
Saya siap menulis artikel ini pada 13 November 2021 dalam blog saya yang lain. Saya bawa ke sini untuk menyimpannya kerana saya sudah menutup blog tersebut. Semoga manfaatnya dapat diteruskan di tempat yang baru.
Reviu Buku: Allah Atau Manusia Siapakah Yang Lebih Berupaya Menjamin Hak-Hak Asasi Manusia
Allah Atau Manusia: Siapakah Yang Lebih Berupaya Menjamin Hak-Hak Asasi Manusia ialah sebuah buku terjemahan daripada buku Arab yang bertajuk Allah Am al-Insan Ayyuhuma Aqdar Ala Ri'ayah Huquq al-Insan karya tokoh ulama Syria yang terkenal, al-Marhum Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti. Buku yang ringkas ini pada asalnya merupakan teks syarahan beliau di SOAS, London. Buku ini mengupas tentang persoalan keadilan dalam melaksanakan hak manusia. Di akhir buku ini, turut dimuatkan sesi soal jawab dalam syarahan tersebut.
Secara umumnya, Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti ingin menegaskan bahawa Islam lebih banyak memenuhi hak manusia secara adil berbanding undang-undang Barat yang sekular. Banyak persoalan yang dijelaskan oleh beliau berkaitan isu ini, bermula daripada keadilan, kebebasan, kesamarataan, sehinggalah ke isu perempuan menjadi pemimpin.
Beliau juga membawakan beberapa contoh keadilan yang dipraktikkan dalam sejarah Islam, dan contoh ketidakadilan atau double standard yang dilakukan oleh Barat. Antara contoh keadilan Islam ialah sabda Nabi s.a.w bahawa jika anakandanya sendiri yang mencuri, nescaya akan juga dihukum. Manakala antara contoh double standard Barat pula ialah tindakan Barat mendakwa Roger Garaudy, pemikir Muslim di mahkamah kerana memburukkan Yahudi, dalam masa yang sama membiarkan Salman Rushdie bebas mencerca Islam dan Rasulullah s.a.w atas nama kebebasan.
Sekali pandang, kelihatan buku ini mengupas tentang politik. Namun bukan begitu, kupasan beliau lebih luas daripada sekadar politik. Misalnya dalam soal jawab, beliau ditanya tentang orang yang sering menghukum kafir terhadap pemimpin yang tidak melaksanakan hukum Allah. Beliau menjawab, secara mafhumnya, kenapa apabila pemimpin tidak melaksanakan hukum Allah terus sahaja dihukum kafir, tetapi tidak pada majikan, pekerja atau ketua keluarga yang tidak juga melaksanakan hukum Allah terhadap orang bawahan mereka. Apa yang saya hendak tekankan ialah betapa sebahagian daripada kita sangat mahukan keadilan dalam kepimpinan negara, akan tetapi kita sendiri masih lagi tidak berlaku adil dalam kehidupan peribadi kita.
Bagi saya, buku ini sangat bagus dan mudah difahami. Pada mulanya saya membaca versi Arab. Ternyata agak sukar untuk memahami apa yang hendak disampaikan oleh beliau. Kosa kata yang unik dan ayat yang begitu gramatis adalah suatu yang sinonim dalam kitab-kitab beliau. Namun, apabila membaca buku terjemahan ini, segala kesukaran itu terlerai. Membaca buku ini seperti mendengar butir ucapannya. Lancar dan menyeronokkan. Penterjemah telah melakukan kerja yang sangat baik.
Oleh itu, ribuan kasih saya persembahkan kepada insan yang menghadiahkan saya buku ini. Semoga kasih Allah tercurah kepadanya dan juga saya.
Jika berminat dengan buku ini, boleh beli di pautan berikut: https://shope.ee/604Wj9iDcB
Comments
Post a Comment