Menghayati Permulaan Ilmu Sejarah Islam
Saat saya menulis ini, saudara seislam kita di Palestin khususnya Gaza sedang melalui detik yang sangat sukar. Bertan-tan bom dijatuhkan ke atas tanah sekecil Gaza. Gaza bagai neraka apabila malam yang gelita diterangi cahaya api bedilan roket di sana sini. Kemanusiaan sudah hilang apabila orang awam yang tidak bersalah menjadi sasaran. Tidak terkira betapa ramai yang terkorban. Gaza telah hancur umpama padang jarak padang tekukur. Semoga Allah memelihara saudara-saudara kita di sana, mengalahkan para musuh-Nya dengan sehina-hinanya dan memulangkan semula Palestin ke genggaman kita.
Maaf kalau mukadimah agak tersasar kerana buku yang akan saya ulas kali ini bukanlah tentang Palestin. Buku berkaitan Palestin saya pernah mengulasnya sebelum ini iaitu buku Rahsia Kejayaan Generasi Salahuddin Dan Kembalinya Al-Aqsa Ke Tangan Umat Islam. Adapun buku yang saya akan ulas kali ini ialah buku Pensejarahan Awal Islam. Buku ini ditulis oleh Wan Yahya Wan Ahmad dan diterbitkan pada tahun 1992 oleh Universiti Malaya. Buku ini tidaklah begitu tebal, sekitar 109 muka surat sahaja.
Di awal buku lagi penulis sudah mula dengan kritikan. Beliau mengkritik sebahagian ilmuwan luar negara yang membahagikan sejarah Islam mengikut acuan Barat. Misalnya, sejarah negara dipecahkan kepada zaman Islam, zaman pertengahan dan zaman moden. Sedangkan seluruh zaman itulah sejarah Islam. Saya fikir, tidak sepatutnya wujud istilah 'zaman Islam', seolah-olah apabila tamat sahaja zaman itu, beralih pula ke zaman bukan Islam. Tambah penulis lagi, cara sebegini sukar untuk ditentukan dengan tepat waktu mula dan akhir sesuatu zaman. Maka, beliau mencadangkan agar sejarah Islam dibahagikan mengikut peristiwa. Cara ini biasa diamalkan oleh sejarawan Islam terawal.
Dalam topik faedah mempelajari sejarah pula, biasa kita tahu faedahnya untuk mengambil ibrah supaya dapat menjadi pedoman di masa hadapan. Tetapi ada beberapa faedah yang jarang disedari, lebih-lebih lagi bagi penuntut ilmu agama macam saya. Antaranya adalah dapat membantu penentuan hukum. Contoh yang paling jelas ialah asbab nuzul dan asbab wurud. Kedua-duanya adalah peristiwa langsung yang berkait dengan penurunan atau kehadiran nas. Maka, jelas ia sebahagian daripada sejarah Islam. Saya fikir ini merupakan antara sumbangan yang penting daripada sejarawan Islam. Mereka telah memelihara maklumat yang sangat penting untuk kegunaan ilmiah umat Islam terkemudian.
Kemudian, saya agak hairan apabila penulis tiba-tiba masuk topik Arab jahiliah di awal buku ini. Beliau menyebutkan Arab di zaman jahiliah begitu memelihara peristiwa sejarah mereka. Biasanya melalui lisan seperti syair yang dibaca di majlis-majlis kabilah. Setakat yang saya fahami, penulis cuba beritahu bahawa bangsa Arab sudah terbiasa memelihara sejarah sejak dahulu lagi. Kebiasaan ini yang diteruskan setelah kedatangan Islam, cuma dengan cara yang berbeza iaitu melalui penulisan.
Kemuncaknya, antara perkara yang memang saya harapkan daripada buku ini adalah berkenaan perkembangan awal ilmu sejarah Islam. Seronok apabila kita dapat melihat bagaimana sesuatu disiplin ilmu itu terbentuk. Pada awalnya, imu sejarah Islam belum lagi ditulis secara khusus di zaman Nabi s.a.w dan para sahabat. Sedangkan kata-kata baginda juga belum boleh ditulis ketika itu, apatah lagi ilmu sejarah Islam pula kan. Akan tetapi, sebenarnya beberapa penulisan sejarah sudah pun berlaku. Contoh yang paling jelas ialah al-Quran. Seperti yang kita tahu, al-Quran turut mengandungi kisah para nabi dan umat terdahulu. Maka, apabila Rasulullah s.a.w memerintahkan agar al-Quran ditulis, secara tidak langsung sejarah nabi dan umat terdahulu pun turut ditulis.
Penulisan ilmu sejarah Islam secara rasminya bermula ketika di zaman Bani Umayyah. Pada awalnya, ilmu sejarah Islam bernaung di bawah ilmu-ilmu lain terutamanya ilmu hadis. Seperti yang kita tahu, hadis juga merangkumi catatan sirah kehidupan Rasulullah s.a.w dan peristiwa bersejarah yang berlaku di zamannya. Apabila hadis mula ditulis dan disusun, secara tidak langsung sirah Rasulullah s.a.w juga ditulis dan disusun. Di sinilah bermulanya penulisan ilmu sejarah Islam. Kemudian, hadis-hadis tentang sirah Nabi s.a.w ini diasingkan daripada hadis-hadis yang lain dan disusun dalam kitab yang bertemakan maghazi dan sirah. Kitab-kitab sirah yang terawal banyak menggunakan dua nama ini sebagai tajuk kitab mereka. Selepas sirah Nabi s.a.w, barulah mula ditulis tentang sejarah para khalifah.
Tokoh yang mengasaskan ilmu sejarah Islam ialah 'Urwah bin al-Zubayr. Beliau merupakan seorang tabiin dan juga salah seorang daripada tujuh orang fuqaha' Madinah yang utama. Menurut penulis, 'Urwah seorang yang teliti dalam mengambil cerita sejarah. Dalam menceritakan sejarah pula, 'Urwah seorang yang terus terang dan tidak mencampurkan sebarang unsur yang boleh mengubah persepsi pendengar. Selain itu, 'Urwah pernah menulis risalah untuk menjawab soalan khalifah Umayyah berkaitan sirah Nabi s.a.w. Risalah penting ini menjadi teks terawal yang dapat diketahui dalam bidang sejarah Islam.
Seterusnya, biasa kita tahu tentang kewujudan madrasah berdasarkan tempat ini dalam bidang ilmu nahu sahaja iaitu madrasah Basrah dan madrasah Kufah. Tetapi dalam buku ini, pertama kali saya tahu kewujudan madrasah-madrasah dalam bidang sejarah Islam. Hebat. Terdapat dua madrasah yang disebutkan oleh penulis iaitu madrasah Madinah dan madrasah Iraq.
Madrasah Madinah diasaskan oleh murid 'Urwah iaitu Ibn Shihab al-Zuhri. Beliau merupakan seorang tabiin dan juga perawi hadis. Menurut penulis, al-Zuhri seorang yang rajin mencatat hadis dan mempunyai koleksi buku yang sangat banyak. Karya penting beliau, al-Maghazi, menjadi rujukan utama sejarawan Islam terkemudian. Walaupun al-Zuhri dianggap sebagai pengasas madrasah Madinah, gurunya 'Urwah yang berperanan meletakkan asas mula bagi madrasah ini. Tambahan pula, kedua-dua tokoh ini merupakan perawi hadis yang masyhur, maka sumber utama madrasah Madinah kuat didasari hadis dan athar sahabat menerusi hasil usaha mereka.
Adapun madrasah Iraq pula, penulis hanya menghuraikan perkembangan umum sahaja tanpa memperincikan tokoh tertentu. Beza madrasah Iraq pula adalah ia mula dijalankan oleh ketua kaum dan ahli bahasa. Ketua kaum mengumpul cerita kabilah mereka, manakala ahli bahasa mengumpul syair. Kemudian, barulah mereka mula menulis tentang sirah Rasulullah s.a.w dan para khalifah. Ini kerana kedudukan Iraq yang jauh dari Madinah agak menyukarkan akses mereka kepada hadis. Namun, penulis menambah, beberapa sejarawan Iraq didapati memiliki kecenderungan dalam politik. Perkara ini mempengaruhi penceritaan sejarah mereka yang lebih memihak kepada kumpulan yang disokongnya. Mungkin ini antara yang membezakan sikap terus terang madrasah Madinah sebelum ini. Setelah itu, bidang sejarah Islam semakin berkembang melalui penulisan, penyusunan dan penyebaran seiring dengan perkembangan ilmu-ilmu lain selepas memasuki abad ke-3 H.
Kemudiannya, penulis membawakan biografi ringkas tokoh-tokoh sejarawan terawal yang membantu dalam perkembangan ilmu sejarah Islam. Tokoh yang disebutkan agak ramai juga. Penulis membahagikan kepada tiga peringkat zaman:
- Peringkat awal, antaranya Aban bin Uthman dan Wahb bin Munabbih, selain 'Urwah dan al-Zuhri.
- Abad ke-2 H, antaranya Ibn Ishaq, al-Mada'ini, al-Waqidi dan Sayf bin 'Umar.
- Zaman Abbasiyyah kedua yakni abad ke-3 H, antaranya al-Tabari, al-Mas'udi dan al-Baladhuri.
Berdasarkan biografi sejarawan ini, saya melihat terdapat perkembangan dari sudut topik kajian. Pada awalnya, kajian sejarah lebih bertumpu pada sirah Nabi s.a.w dan Khulafa' al-Rasyidin. Kemudian, para sejarawan meluaskan kajian mereka kepada zaman lampau sebelum kedatangan Islam sehingga ke zaman semasa mereka. Mata saya terhenti seketika pada nama-nama al-Baladhuri, Ibn Qutaybah al-Dinawari dan al-Mas'udi kerana karya-karya mereka antara yang saya rujuk semasa menulis disertasi dahulu. Tak sangka rupanya mereka ni antara sejarawan penting dalam ilmu sejarah Islam.
Sebelum memasuki kesimpulan, penulis tidak terlepas daripada menerangkan secara ringkas kitab-kitab rujukan dalam sejarah Islam mengikut kategori. Antara kategori yang tersenarai ialah kitab nasab keturunan, kitab biografi, kitab geografi negara, kitab sastera, ukiran, surat, risalah dan mata wang. Banyak juga kitab yang penulis senaraikan. Cumanya, kitab-kitab tersebut tidak dinyatakan sama ada sudah diterbit ataupun masih dalam bentuk manuskrip. Beliau hanya menyebutkan secara umum sahaja, misalnya berkenaan surat dan risalah, kebanyakannya masih lagi tersimpan di perpustakaan di Eropah. Walau bagaimanapun, senarai kitab ini sangat berguna bagi penyelidik sejarah Islam.
Di bahagian kesimpulan, penulis menyimpulkan semula proses perkembangan awal ilmu sejarah Islam. Selain itu, penulis juga merumuskan beberapa faktor yang boleh menimbulkan masalah dari sudut sumber sejarah. Misalnya, taksub aliran menimbulkan masalah melalui penyokongnya yang suka mereka-reka cerita sama ada keterlaluan baiknya atau melampau buruknya. Secara tidak langsung menimbulkan keraguan pada cerita atau riwayat tersebut sekaligus penceritanya.
Kesimpulan saya, buku ini adalah pengenalan yang baik bagi bukan penuntut sejarah Islam macam saya. Melalui buku ini, kita memahami bagaimana bidang sejarah Islam terbentuk dan berkembang sehingga menjadi satu disiplin ilmu yang tersendiri. Melalui buku ini juga, kita mengenali tokoh sejarawan Islam yang terawal dan sumbangan mereka dalam memelihara sejarah Islam demi manfaat umat terkemudian. Selain itu, senarai dan penerangan kitab-kitab utama menjadikan buku ini sebagai bibliografi bagi sesiapa yang mahu mula mengkaji dalam sejarah Islam.
Pada hemat saya, buku seperti ini adalah satu apresiasi terhadap disiplin ilmu sejarah Islam. Ramai yang meminati sejarah, akan tetapi tidak sedikit yang terjerumus dalam kancah pseudo-sejarah. Mereka mengambil dan membaca ilmu sejarah daripada bukan ahlinya, tanpa disedari apa yang difahaminya telah melanggar disiplin dan fakta sejarah yang sudah disepakati oleh para sejarawan Islam. Maka, kewujudan buku sebegini adalah penting sebagai sebahagian daripada usaha mendidik rakyat dengan ilmu yang betul. Sepertimana ilmu lain perlu diambil daripada ahlinya, demikian jugalah ilmu sejarah perlu diambil daripada ahlinya.
Jika berminat dengan buku ini, boleh beli di pautan berikut: https://shope.ee/6ANwwJ8uIK
Comments
Post a Comment