Bagaimana Generasi Emas Salahuddin Al-Ayubi Dapat Dilahirkan?

Sesuai pula dapat tamatkan buku ini seiring dengan PRN yang akan diadakan di beberapa negeri. Sebab buku ini berkait rapat dengan reformasi dan pemerintahan Islam, dua perkara yang selalu kita dengar dalam arena politik zaman sekarang. 

Rahsia Kejayaan Generasi Salahuddin Dan Kembalinya Al-Aqsa Ke Tangan Umat Islam adalah terjemahan daripada buku Arab yang bertajuk هكذا ظهرت جيل صلاح الدين وهكذا عادت القدس tulisan Majid Irsan Kaylani. Buku ini cuba membuktikan bahawa pemerintahan Salahuddin al-Ayyubi lahir daripada reformasi atau pembaharuan mendalam yang bermula sejak puluhan, mungkin ratusan tahun sebelumnya. Siri-siri pembaharuan itu yang dibincangkan dengan terperinci dalam buku ini.

Apa yang saya lihat, buku ini menjelaskan siri pembaharuan tersebut mengikut tokoh. Terdapat tiga tokoh utama yang dibincangkan dalam buku ini: Imam al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dan Nuruddin Zinki. Saya ceritakan serba sedikit kronologi buku ini secara umum.

Pertamanya, buku ini menjelaskan dahulu masalah yang melanda umat Islam serta kesannya kepada sosial, ekonomi dan politik yang akhirnya membawa kepada kekalahan dalam perang Salib. Masalah yang disentuh bukanlah masalah rasuah atau pecah amanah. Tetapi masalah tersebut adalah dari sudut pemikiran dan fahaman seperti taksub mazhab, sufi sesat, Batiniah dan sebagainya. 

Setelah itu, barulah buku ini membuka perbahasan tentang pembaharuan. Tokoh pertama yang dibincangkan ialah al-Ghazali. Apa yang saya boleh ringkaskan tentang peranan penting al-Ghazali ialah beliau mendiagnosis akar-akar masalah yang melanda umat Islam. Beliau mula dengan memperbaiki dirinya dahulu melalui uzlah, atau yang selalu buku ini sebutkan - mengundurkan diri. Beliau akhirnya dapati akar masalah tersebut adalah berkaitan cara berfikir dan tarbiah jiwa. Kemudian, beliau kembali semula kepada masyarakat dan mula memperbaiki mereka melalui pendidikan dan tarbiah. 

Tokoh seterusnya ialah Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. Seperti ulama sufi yang lain, beliau juga berusaha memperbaiki masyarakat melalui pendidikan dan tarbiah. Namun, apa yang menarik dalam pembaharuan beliau ialah peranan madrasah. Madrasah beliau dan juga madrasah-madrasah ulama lain yang disenaraikan dalam buku ini, mereka semua saling bekerjasama dalam menghasilkan peribadi Muslim yang berkualiti. Setiap madrasah ada keistimewaan tersendiri dan mereka semua saling melengkapi tanpa ada persaingan sesama mereka.

Daripada usaha ini lahirnya 'umat Hijrah' iaitu generasi tokoh seterusnya, Nuruddin Zinki. Peranan Zinki bukan sekadar meneruskan lagi pembaharuan dalam sektor pendidikan, tetapi juga meluaskan pembaharuan ke sektor politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan. Antara yang menarik semasa era Zinki ialah kerjasama yang erat antara madrasah dengan kerajaan. Setiap madrasah menjadi tempat membentuk peribadi ilmuwan, kemudian diserap dalam kerajaan untuk memegang jawatan profesional. Ini adalah satu ekosistem yang boleh dicontohi agar sesuatu jawatan diserahkan kepada orang yang terdidik jiwanya. Setelah itu, barulah generasi emas Salahuddin al-Ayyubi dapat dilahirkan. 

Bab terakhir saya kira antara bab yang sangat penting. Ini kerana dalam bab ini penulis merumuskan beberapa prinsip penting berkaitan pemerintahan. Ada banyak kefahaman biasa masyarakat yang beliau cuba betulkan. Beliau tekankan pentingnya ideologi yang betul kepada masyarakat, kesepaduan antara ahli teori dan ahli praktikal, langkah awal pembaharuan, sediakan orang yang pandai untuk bidang agama dan sebagainya.

Sebelum pergi ke rumusan akhir, perlu saya nyatakan bahawa buku ini mengandungi kesalahan ejaan yang terlalu banyak. Kualiti penterjemahan juga agak kaku dan keras. Kedua-dua ini sangat mengganggu fokus saya untuk memahami apa yang disampaikan. Besar harapan saya agar buku ini diterbitkan semula dengan penambahbaikan yang mendalam kerana buku ini membawa mesej yang sangat penting pada era masa kini. 

Apapun, saya berpendapat buku ini adalah buku yang unik. Ia mengulas tentang kerajaan, politik dan pemerintahan Islam dalam nafas yang berbeza daripada naratif moden. Buku ini menyedarkan kita agar tidak membazirkan tenaga melakukan reformasi yang salah atau memperjuangkan pemerintahan Islam dengan kefahaman yang tidak betul. Sebaliknya, pendidikan agama dan tarbiah jiwa adalah cara yang paling utama dalam memperbaiki, memperbaharui dan mengislah masyarakat dan negara.

Jika berminat dengan buku ini, boleh beli di pautan berikut: https://shope.ee/9UeOtetXVK

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah