Hijrah Fikrah Dari Haraki Ke Ilmiah
Seperti kebiasaan orang, saya juga pernah terikut dengan pengaruh gerakan haraki. Cumanya, saya tidak pernah terlibat dalam sebarang program mereka secara langsung. Hanya saya pernah seketika dahulu berfikir dengan kerangka pemikiran mereka.
Bermula di sekolah, saya diperkenalkan dengan program usrah, suatu yang sinonim dengan gerakan haraki. Akan tetapi, usrah di sekolah tidak lebih sekadar medium bersilaturahim antara senior dan junior. Oleh kerana rasa ingin tahu, saya selalu membaca dan bertanya dengan senior tentang gerakan Islam.
Saya masih ingat lagi program kepimpinan sekolah anjuran senior dari luar. Ia sebenarnya program yang bagus untuk pembinaan diri. Tetapi saya tidak lupa akan acara tayangan pada salah satu malam. Tayangan berunsur haraki itu pertama kalinya memperkenalkan saya kepada Hasan al-Banna, Sayyid Qutb dan ramai lagi tokoh haraki. Sejak itu, mula timbul rasa pesona terhadap mereka dalam diri mereka.
Rasa minat saya pada gerakan haraki makin membuak apabila saya berpeluang mengikuti usrah berkala oleh seorang alumni. Rasa teruja dan istimewa buat saya konsisten menghadirinya. Di sini saya dapat belajar lebih lagi tentang misi dan matlamat yang dibawa oleh gerakan ini. Namun ia berakhir dengan agak tragis apabila saya menolak untuk menyertai program 'jalan-jalan' mereka. Ini kerana pada masa yang sama saya juga ada aktiviti keluarga. Kawan-kawan yang pergi melaporkan ia bukan jalan-jalan, sebaliknya ia program 'mereka'.
Tahun berikutnya adalah permulaan hijrah fikrah saya. Ia bermula apabila sahabat saya memperkenalkan saya dengan Habib Umar. Beliau mencadangkan saya menonton ceramah Habib Umar. Sejujurnya, saya lebih kagum pada ramainya orang yang terkesan dengan ucapannya. Sejak itu, saya mula menyedari ada juga ulama lain yang berpengaruh tetapi tidak melalui pentas politik kepartian. Turut saya mula kenali pada waktu ini ialah seorang ulama penuh hikmah, Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti.
Tidak lama setelah itu, saya pun menjejakkan kaki ke Mu'tah, Jordan. Impian asalnya hendak ke Mesir, tapi tak apalah, mungkin ada hikmah-Nya. Maka, di pekan yang jauh dari bandar ini juga tidak terlepas daripada kewujudan sistem usrah dalam kalangan pelajar. Namun kali ini, naqib saya pula yang culas, satu pertemuan pun tidak pernah diadakan haha.
Tetapi, jiwa haraki yang berbaki dalam diri masih mahukan lebih. Maka, atas pemerhatian senior, saya terpilih untuk ke latihan naqib baharu. Dalam latihan ini saya dimasukkan ke dalam usrah yang lebih maju. Kami diasak dengan pelbagai isu dan persoalan yang mengasah minda kami. Ia menyeronokkan kerana membuat saya aktif berfikir dan bersifat dua hala.
Kemudian, semua pelapis naqib dikumpulkan dalam suatu program peringkat kawasan. Di sinilah saya meyakini bahawa ini adalah program kepartian apabila kami diminta untuk menyanyi lagu parti mereka. Saya tidak terkejut, malah rasa biasa sahaja kerana sangkaan saya tidak meleset. Saya tidak lupa ketika itu saya berpakaian jubah lengkap berserban serta rida' di bahu. Nampak di situ masih dalam peralihan.
Rasa syak pada gerakan mereka ini bermula secara berfasa. Saya tidak lupa ketika saya mula berasa sangsi apabila mereka sering dilihat bergelak ketawa sesama lelaki dan perempuan. Saya fikir, bukankah mereka lebih utama untuk menjaga batas pergaulan. Nampaknya, mereka bukanlah contoh yang saya perlu pandang.
Kemuncaknya apabila saya diminta untuk menyertai program rahsia mereka. Saya menyatakan bahawa saya tidak dapat menyertainya kerana pada masa yang sama saya sedang bertugas sebagai ketua unit dalam sebuah program persatuan. Namun, mereka begitu bersungguh hingga sanggup datang ke rumah sehari sebelum program demi memujuk saya. Saya tetap dengan pendirian saya. Saya fikir, bukankah pemimpin mesti menjalankan amanah. Maka, sepatutnya mereka membenarkan saya menjalankan tugas saya kerana itu adalah amanah, bukannya meninggalkan amanah itu. Sejak dari itu, saya tidak lagi pandang tinggi terhadap mereka dan apa yang mereka perjuangkan.
Meninggalkan haraki yang pernah saya minati dahulu segera digantikan dengan kewujudan kelas-kelas talaqqi. Baik daripada pensyarah, syeikh Arab mahupun ustaz Melayu, semuanya saya cuba hadiri dengan konsisten demi mengisi kekosongan perjuangan dalam jiwa. Melalui kelas talaqqi, saya mula menyedari ada perjuangan yang lebih mulia daripada perjuangan haraki, iaitu perjuangan ilmu.
Hijrah saya ke fikrah ilmiah menjadi lengkap setelah saya diperkenalkan dengan karya-karya ilmiah berkualiti tinggi. Atas cadangan seorang senior, saya mula membeli dan membaca Risalah Untuk Kaum Muslimin oleh Prof. Dr. Syed Naquib al-Attas. Saya ingat lagi saya menghabiskan hampir separuh tahun untuk membaca buku tersebut kerana terlalu asyik dan teruja dengan perbahasannya. Selepas menamatkannya, saya rasmikan dalam diri bahawa ilmu dan akademik adalah lapangan perjuangan saya yang baharu, bukan lagi haraki mahupun politik kepartian.
Saya yang lapar dalam perjuangan baru ini terus membeli dan membaca buku-buku al-Attas yang lain. Karya al-Attas benar-benar memberi kesan yang besar dalam hidup saya. Saya tidak rajin menyampul buku, tetapi satu-satunya buku saya yang disampul ialah Risalah Untuk Kaum Muslimin, tanda saya sangat menghargainya. Sudah lebih dari sekali saya membaca buku tersebut. Setiap kali saya membacanya, saya akan peroleh sesuatu yang baru.
Melihat pada suasana politik hari ini, saya tiada apa-apa melainkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana tidak terjebak ke dalam kancah taksub kepartian. Saya ada banyak pilihan tersedia, tetapi pilihan yang saya buat menjauhkan lagi diri daripada gerakan haraki. Itulah hikmah yang saya dapati dan syukuri.
Comments
Post a Comment