Sufi Nasionalis Saranan Burhanuddin Al-Helmy

Sebelum berkahwin, isteri saya memberitahu bahawa arwah bapanya seorang yang rajin membeli buku. Saya pun meminta beliau tunjukkan tempatnya selepas kami berkahwin. Apa yang menggembirakan, kebanyakan buku tersebut ialah buku lama yang nadir. Ada beberapa buku yang saya berminat untuk membuat ulasannya di blog ini. Salah satu daripadanya ialah Simposium Tasawuf dan Tarikat karya Burhanuddin Al-Helmy. Buku ini asalnya merupakan dua ucapan Burhanuddin dalam dua program bersama ahli tarekat di Malaysia suatu masa dahulu.

Buku ini mempunyai kelainannya yang tersendiri. Satu daripadanya ialah saranan Burhanuddin agar tasawuf menjadi nadi kepada pembangunan negara. Bagi beliau, tasawuf mampu membangunkan negara dengan semangat yang bersih daripada sifat kebendaan. Antara tokoh pemimpin yang dijadikan contoh ialah khulafa' al-Rasyidin. Ia bukanlah suatu yang menghairankan bagi seorang nasionalis seperti Burhanuddin. Cuma ia berbeza daripada kebiasaan sufi yang tidak mahu terlibat dengan urusan duniawi. Bagi saya, ia suatu saranan yang bagus. Seorang pemimpin sebaiknya tidak materialistik dan kuat agama di samping mahir memimpin. Tidak semestinya sufi yang menjadi pemimpin, tetapi pemimpin perlu memiliki jiwa yang sufi.

Dari satu sudut, buku ini mempunyai sedikit unsur Islamisme. Burhanuddin ada menekankan konsep hakimiyyah, kebangkitan Islam dan menolak pengaruh Barat dalam pemerintahan. Bezanya, pemikiran Islamisme beliau adalah berdasarkan sufi, bukannya Salafi atau Wahabi seperti pendukung terkemudian. Antara kelainan yang didapati dalam buku ini adalah mengiktiraf Ibn Taimiyyah dan Jamaluddin al-Afghani. Umum diketahui golongan sufi sangat menentang kedua-dua tokoh ini. Namun tidak bagi Burhanuddin. Malah beliau mengira kedua-dua tokoh tersebut sebagai ulama revolusioner yang sufi. Burhanuddin ada menukilkan kata-kata mereka yang cenderung ke arah tasawuf tinggi.

Hanya yang mengganggu saya ialah kerapnya melebihkan ulama batin. Burhanuddin selalu menyatakan bahawa ulama zahir suka berbalah, sedangkan ulama batin pula tidak menggemarinya. Bagi saya, pembezaan sebegini adalah tidak perlu. Ulama sufi sepatutnya kekal merendah diri. Kedudukan mereka sudah pun tinggi, tidak perlu lagi pembezaan yang meninggi diri seperti ini. Mujur Burhanuddin tidak selalu berat sebelah. Beliau ada menyatakan bahawa ulama zahir berjasa dalam menyelesaikan pelbagai isu sehingga orang kafir tidak dapat memasukkan sebarang keraguan. Beliau juga mengingatkan agar mematuhi syariat dan tidak mengikuti tasawuf yang maghrur. Salah satu kalamnya saya telah nukilkan dalam entri sebelum ini bertajuk Akidah Menjaga Kita Bertasawuf.

Cuma yang memusykilkan saya ialah Burhanuddin kerap memetik pendapat Barat dalam konsep asketisme. Mungkin tujuannya untuk menyatakan bahawa Barat juga sudah beralih daripada materialistik kepada metafizik. Namun bagi saya perkara ini tidak perlu kerana adakalanya ia kelihatan hampir menyamakan tasawuf dengan konsep kezuhudan agama lain. Walhal konsep asketisme atau kezuhudan agama lain itu tidak langsung sama tarafnya dengan tasawuf Islam. Tasawuf Islam lebih mulia lagi tinggi daripada konsep-konsep asing itu.

Secara keseluruhannya, buku ini boleh dikategorikan sebagai risalah ringkas berkenaan tasawuf. Ini kerana ia tidak membahaskan tasawuf secara tertib dan berpanduan seperti gaya buku rujukan. Buku ini lebih banyak menceritakan tentang kelebihan dan keutamaan tasawuf. Burhanuddin juga ada membicarakan tasawuf peringkat tinggi, namun tidak kerap dan tidak mendalam. Bermakna buku beliau ini lebih berupa pendedahan awal tentang tasawuf. Cuma yang menjadikan buku ini istimewa adalah perbahasan tasawuf yang diadun bersama konsep nasionalisme dan kenegaraan. Bagi saya, konsep sufi nasionalis ini yang menjadi gagasan pemikiran Burhanuddin Al-Helmy.

Jika berminat dengan buku ini, boleh beli di pautan berikut: https://shope.ee/2fo4lihniD

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah