Akidah Menjaga Kita Bertasawuf

Bulan Mac tahun ini agak sibuk dengan urusan pindah rumah di samping pertambahan kerja di pejabat. Sambutan ulang tahun hari lahir saya dan isteri juga tidak dapat disambut dengan baik. Cukup itu sebagai alasan. Hakikatnya, saya kekurangan idea. Lalu, saya temui beberapa rakaman video yang tular di media sosial berkaitan beberapa individu yang dengan beraninya menyatakan pegangan mereka yang sungguh batil tentang Nabi Muhammad s.a.w. Melanggar prinsip akidah Islam secara terbuka. 

Bukan isu itu yang saya mahu ulas kali ini. Cumanya, saya beranggapan kedudukan ilmu akidah di awal dan ilmu tasawuf di akhir adakalanya boleh disalah faham. Ya, benar, tangga mempelajari ilmu agama itu bermula dengan akidah, kemudiannya feqah, akhir sekali tasawuf. Namun, saya melihat seseorang boleh menganggap ilmu akidah dipelajari sekadar untuk melepaskan syarat sahaja. Kemudian, ketika sedang mendalami tasawuf, dia tidak mengawasi akidahnya, lalu berlaku sesuatu yang mengakibatkan pegangannya tergelincir.

Pada tahun 2020, saya pernah menulis dalam nota peribadi saya berkaitan perkara ini. Saya bawakannya ke sini - dengan sedikit pindaan - sebagai catatan marhalah fikir saya, di samping sebagai perkongsian kepada para pembaca sekalian. Berikut catatannya:

Tauhid Di Atas Tasawuf

Saya berpendapat sejauh mana kita berjalan dalam ilmu tasawuf, tetap di sana ada sempadan yg dibina oleh ilmu akidah atau tauhid. Sesetengah kita beranggapan ilmu akidah hanya berada di permulaan. Sedangkan sebenarnya ilmu akidah yang mengawal perjalanan tasawuf kita, sejauh mana pun kita pergi. Maka, ilmu akidah bukanlah sentiasa berada di permulaan, tetapi sentiasa berada di benteng akhir yang paling jauh dalam medan kehidupan bertasawuf. 

Sejauh mana kita mendalami tasawuf, di sana ada ilmu akidah yang menghalang kita daripada beriktikad, berkata ataupun bertindak sesuatu yang melanggar prinsip akidah kita. Begitu juga feqah, sejauh mana kita mendalami tasawuf, di sana ada benteng akhir feqah yang menghalang kita daripada beriktikad, berkata atau bertindak sesuatu yang melanggar prinsip feqah kita. Mendalami tasawuf sejauh atau sedalam mungkin tidak sesekali membenarkan kita melanggar syarak.

Kita umpama hidup dalam satu medan. Akidah menjadi benteng, kita tak boleh keluar daripadanya. Feqah disediakan supaya kita mematuhi perintah dan larangan hidup dalam medan ini. Tasawuf pula untuk kita merasakan seronoknya hidup dalam medan ini. Maka, jangan sesekali melanggar benteng akidah.

Tambahan: Sebagai pengakhiran, dan juga pratonton awal bagi entri bulan depan, saya nukilkan kata-kata Burhanuddin Al-Helmy daripada bukunya, Simposium Tasawuf dan Tarekat,
"Banyak orang yang salah faham dan tergelincir kerana pura-pura tasawuf dan bertarekat Sufiyyah lalu hilang dunia dan hina di dunia dan ibadatnya maghrur dan menipu diri, kerana tidak berbetulan dengan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Golongan tasawuf maghrur inilah yang telah menjatuhkan nama tasawuf dan Islam, menjadikan umat Islam lemah dan hina miskin zahir dan batin. Ibadatnya menipu diri sendiri dan menjerumuskan orang lain. Hubaya-hubaya dari tasawuf yang demikian, wal iyadhu billah."

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah