Sifat 20, Kerumitan Pengajaran Yang Mengukuhkan Iktikad


Tak sangka masih belum pudar lagi dakwaan bahawa antara punca ajaran sesat masih berleluasa ialah pengajaran sifat 20 tidak cukup memberi kesan pada orang awam. Ia disebabkan pengajaran sifat 20 terlalu rumit dan sukar dihadam oleh mereka. Dakwanya lagi, sudah tiba masa ia digantikan dengan pengajaran akidah yang lebih mudah. Walaupun tidak dinyatakan, namun kita boleh meneka apa yang dimaksudkan ialah tauhid 3.

Memang betul, ada kalanya orang awam tidak perlu mempelajari akidah secara kompleks. Kefahaman akidah yang ringkas lebih mudah untuk dipraktik bagi mereka. Dalam sebuah kisah, seorang nenek pernah berkata kepada Imam Fakhr al-Din al-Razi bahawa menguasai ribuan dalil tentang Tuhan hanya menandakan dia sudah mengalami ribuan kali keraguan. Al-Razi lantas berdoa agar dikurniakan iman seperti nenek itu. Mungkin al-Razi sekadar bersikap tawaduk, namun ia jelas menunjukkan akidah yang mudah ada kalanya lebih memberi kesan pada diri orang awam.

Namun persoalannya, adakah sifat 20 terlalu sukar? Tidak dinafikan kebanyakan kitab sifat 20 memang kompleks perbahasannya. Ia suatu produk pemikiran yang sudah melalui kajian ramai ulama selama ratusan tahun. Perincian dan penelitiannya bukanlah semata-mata untuk menyusahkan kita. Akan tetapi ia bertujuan untuk menghadapi sebarang cabaran akidah. Kerumitan sifat 20 umpama jahitan terperinci yang saling menjalin hingga membentuk satu baju besi yang kebal. Mungkin tak semua orang memerlukan baju besi, tapi baju besi sangat diperlukan untuk menangkis serangan musuh terutamanya daripada arah yang tidak dijangka.

Lagipun, sifat 20 tidaklah selalunya berat dan sukar. Ulama al-Asha'irah tidak sekali-kali melupakan orang awam. Buktinya, mereka juga mengarang matan-matan ringkas yang menyasarkan golongan awam. Misalnya, al-Sanusi pernah mengarang al-Mufidah li al-Wildan wa al-Nisa' al-Mu'minat. Tajuknya sendiri menyebutkan 'anak kecil' dan 'wanita beriman', jelas buku tersebut ditujukan kepada orang awam. Matan ini sangatlah mudah dan ringkas serta masih berlandaskan pengajaran sifat 20. Jika buku ini pun kita tidak mampu, boleh bayang betapa bezanya martabat kita zaman kini dengan orang awam di zaman al-Sanusi.

Sebenarnya, ada banyak lagi matan akidah sifat 20 yang ringkas dan mudah. Buku-buku terkini pun tidak sedikit yang berusaha memudahkan penerangan sifat 20. Maka penghujungnya, ia berbalik kepada pengajar juga. Pengajar perlu selalu melihat dahulu hadirin yang mendengar kuliahnya. Seboleh-bolehnya cuba memudahkan huraian sesuatu topik. Kita tahu subjek akidah akan mengambil masa untuk memahaminya. Maka, pengajar perlu berusaha sedaya upaya merungkaikan sesuatu isu satu demi satu. Ini kerana kesusahan ialah hasil gabungan daripada perkara-perkara yang senang. 

Selain itu, kita perlu sedar bahawa pengajaran akidah seperti sifat 20 ialah sistem pengajaran semata, bukannya kandungan akidah itu sendiri. Sistem boleh berubah mengikut keperluan semasa, tetapi kandungan yang diajar masih sama. Sistem yang digunakan di zaman dahulu barangkali tidak sama dengan sistem yang diamalkan di zaman kini. Boleh jadi di masa hadapan, akan muncul sistem baru bagi menggantikan sistem hari ini. Walau apapun sistem yang digunakan, kandungan yang diajar tetap sama iaitu akidah Islam.

Maka, yang paling penting ialah kandungan sesuatu sistem itu selari dengan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Tiada gunanya jika kita mengutamakan sistem yang mudah tetapi kandungan yang diajar bertentangan dengan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Sistem tauhid 3, meskipun diketahui mudah, namun tiada sesiapa dapat menafikan kewujudan sisi buruk pada kandungannya. Antara yang makruf adalah mengkategorikan kafir Quraysh sebagai bertauhid rububiyyah tanpa uluhiyyah, seterusnya membawa kepada mengkafirkan orang bertawassul - yang dianggap menyembah kubur. 

Walhasil, pengajaran sifat 20 sebenarnya tidaklah begitu rumit seperti mata pelajaran kimia, biologi dan matematik tambahan. Dalam masa yang sama, pengajaran sifat 20 tidaklah terlalu mudah seperti mata pelajaran tajwid. Pada hemat saya, subjek akidah tidak seharusnya terlalu mudah dan ringkas. Ia berkait rapat dengan iktikad hati yang menjadi pengesah bagi segala ibadat kita. Umpama tembok pertahanan, ia perlu dibina dengan kukuh, lapisan demi lapisan, agar dapat mempertahankan kota yang dilindunginya. Begitu jugalah tembok akidah dalam hati kita, ia perlu dibina dengan teliti dan kukuh supaya dapat mempertahankan iktikad yang dilindunginya. 

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah