Posts

Showing posts from August, 2024

Tidak Mengitar Semula Isu Lama

Image
Mengimbas kembali isu buku akidah yang didakwa milik al-Shafi’i yang lalu, saya terfikir dialog kritik seperti ini rasanya lebih baik berbanding mengitar semula isu-isu lama yang sudah pun dijawab. Dialog kritik seperti itu, walaupun masih bernuansa perselisihan Ash‘ari dengan Salafi dan Wahhabi, sekurang-kurangnya ada penemuan baru yang diutarakan oleh salah satu pihak untuk dibincangkan bersama. Meskipun selalunya berakhir dengan jawapan yang sama, namun setidaknya ada perkara baru yang boleh dikaji. Nampak macam isu yang sama, tetapi sebenarnya ada perkara baru yang boleh dibincangkan. Berbanding mengitar semula isu-isu lama, tiada perkara baru yang boleh ditemui. Sudahlah jawapannya kemungkinan besar sama, kaedah dan penghujahan juga sama. Ibarat hari-hari pergi ke satu tempat melalui jalan yang sama, tiada benda baru yang boleh dijumpai. Berbanding pergi ke tempat yang sama tetapi melalui jalan yang berbeza, sudah tentu ada perkara yang baharu bagi kita.

Huraian Asma’ al-Husna 4: al-Quddus oleh Hasanayn Muhammad Makhluf

Image
Maksud nama Allah al-Quddus ialah Allah itu suci daripada kekurangan, kecacatan dan segala yang membawa kepada sifat baharu, atau Zat yang suci daripada segala hajat kepada makhluk dan sifat-Nya bersih daripada segala kekurangan, atau Yang suci daripada mendiami tempat dan menjalani masa.  Kalimah al-Quddus berasal daripada al-quds yang bermaksud suci dan bersih. Oleh sebab itu, Baitulmaqdis dinamakan sedemikian kerana ia bermaksud tempat yang menyucikan dosa. Malaikat Jibril pula digelar ruh al-qudus kerana ia menyampaikan wahyu kepada Rasulullah s.a.w dengan baik dan suci daripada sebarang kecacatan. Allah s.w.t pernah berfirman tentang malaikat, “ Kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan-Mu, ” (al-Baqarah: 30) yakni kami menyucikan diri kami untuk-Mu. Rujukan: Hasanayn Muhammad Makhluf, 1974,  Asma’ Allah al-Husna wa al-Ayat al-Karimah al-Waridah Fiha , t.tp.  Pautan PDF