Merenungi Pengajaran Hidup Tahun Ini

Kehidupan ini penuh dengan hikmah, menjadi penyeri dalam kehidupan kita. Jangan risau kalau satu pintu tertutup, nanti puluhan pintu lain akan terbuka. Nikmatilah apa yang dikurniakan kepada kita, dan jangan bersedih merenung nikmat yang diberikan kepada orang lain, kerana kita tidak tahu dugaan yang dilaluinya atau musibah yang menantinya.

Inilah pengajaran besar dalam kehidupan yang saya pelajari pada tahun 2024 ini.

Tahun ini, ada beberapa usaha yang saya dan isteri telah laburkan untuk mendapatkan sesuatu rezeki yang kami impikan. Namun, rezeki kami itu tidak kesampaian. Tipulah kalau kami tak sedih dan menangis. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya kesakitan ini mengutuhkan jiwa kami bersama dalam menghadapi ujian dan pancaroba hidup. Susah dan senang bersama, bak kata orang.

Silap saya juga kerana melayani kesedihan hati menyaksikan kegembiraan orang lain menikmati perkara yang saya ingin miliki sehinggakan ada kalanya mengganggu rentak kerja dan kehidupan harian. Segera saya akui kewujudannya, dan memujuk hati bahawa ada hikmah yang mungkin tersedia untuk kita. Di sinilah saya belajar bahawa masa itu sangat diperlukan untuk merawat kesedihan hati. 

Kemudian, saya dikurniakan seorang anak sulung, bayi lelaki yang sihat dan comel. Syukur yang tidak bertepian saya panjatkan buat Tuhan semesta alam. Penghargaan yang tidak terhingga saya kalungkan kepada isteri tersayang. Kurniaan anak ini buat saya lupa seketika akan kesedihan lalu yang menimpa diri saya.

Benarlah kata orang, anak itu pembawa rezeki. Tidak lama selepas itu, saya ditawarkan peluang untuk terlibat dalam pembikinan buku terjemahan. Sudah lama saya mahu menerbitkan buku terjemahan saya sendiri sehingga saya masukkan impian ini dalam senarai azam saya tahun ini. Mungkin pada masa lain, saya akan mencoretkan serba sedikit pengalaman baru saya dalam dunia penterjemahan ini.

Akhir kata, semoga kalian juga dikurniakan rezeki yang berkat dan tidak putus.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah