Inilah Pekan Mu’tah
Inilah pekan Mu’tah, Tak banyak yang berubah, Bangunannya masih rendah, Langit biru debu bersepah.
Tapi apa aku kisah, Aku rindu pekan Mu’tah, Tempat ini ada barakah, Tempat kutimba ilmu dan hikmah.
Baru-baru ini, ada kawan sepengajian berkongsi jelajahnya kembali ke Mu’tah. Aku menatap gambar yang dikongsi sehingga berhasil menggarap dua rangkap puisi yang merumuskan gambaran pekan Mu’tah. Izinkan aku menumpahkan beberapa titisan memori seringkas mungkin.
Pekan Mu’tah tak besar. Dari selatan ke utaranya, aku hanya berjalan kaki. Rata-rata bangunan di pekan tak tinggi, hanya mencecah dua atau tiga tingkat sahaja. Dindingnya berwarna batu pasir serta berdebu. Jalanannya hanya ada satu lorong ke selatan dan satu lorong ke utara, sama-sama dikongsi oleh kereta, van, coaster dan juga lori. Bilangan kedainya taklah terlalu banyak. Ada kedai runcit, buah, sayur, roti, ayam, daging, manisan dan kedai makan. Lebih menggambarkan lagi suasana pekan, hanya ada satu bank sahaja di sini. Tetapi yang mengecewakan aku ialah tiada langsung kedai kitab.
Di tengah-tengah pekan ini ada Masjid Syuhada’. Taklah besar mana: cuma ada aras bawah untuk jemaah lelaki dan satu aras atas untuk jemaah perempuan. Semasa solat Jumaat, masjid ini mampu menampung jemaah sekitar pekan, walaupun adakala aku terpaksa solat di tangga aras atas. Bangunan tandas dan tempat wuduk pula diasingkan daripada bangunan ruangan solat. Walaupun begitu keadaannya, pekan Mu'tah beratapkan langit yang sungguh biru. Tiada awan gemawan yang merentangi keindahannya, dan juga terik panas mentarinya.
Pusat markaz mahasiswa Malaysia terletak di pekan Mu’tah, lebih tepatnya berhadapan Masjid Syuhada’ di atas kedai manisan Bagdash. Di situ bermacam-macam program dilaksanakan termasuklah program ilmu bersama para pensyarah universiti kami, dan penceramah jemputan jika ada yang datang menziarahi kami. Secara asasnya, pusat markaz ini menjadi tempat belajar yang umum diketahui dan dihadiri oleh semua mahasiswa.
Tetapi kalau nak belajar ilmu lebih sikit, ada tempat khas yang lain selain tempat belajar umum pusat markaz tadi. Antaranya ada satu pusat mahasiswa Negeri Sembilan yang terletak di atas kedai manisan juga. Di sinilah aku belajar bertalaqqi dengan syeikh, masa itu paling kerap belajar kitab Umdah al-Raghib bersama Syeikh Abd al-Karim al-Shdeifat. Ingat lagi tiap kali kelas dengan syeikh, aku akan turun membeli manisan untuk menjamu syeikh yang datang dari jauh. Selain itu, terdapat juga mahasiswa yang menawarkan rumah mereka menjadi tempat kami bertalaqqi dengan ustaz-ustaz Melayu. Rumah mereka sekitar pekan Mu’tah juga. Kelas-kelas talaqqi ini biasanya berjalan seminggu sekali.
Dengan sedikit bangga aku katakan: aku antara yang istiqamah hadir hingga ke habisnya. Rumahku di kawasan Masjid Umm Ma’bad: jauh dari pekan Mu’tah, lebih kurang 15 minit dengan berjalan kaki. Walaupun jauh, aku menikmati detik waktu yang berlalu semasa berjalan kaki. Laluanku tak seronok pun, tiada kedai yang dilewati, hanya rumah-rumah Arab dan jalanan yang gelap. Kalau kembali semula ke Mu’tah sekarang ini, aku yakin aku tahu dengan pasti jalanan yang aku selalu lewati ini.
Musim sejuk lebih mencabar. Aku selalu memakai jubah hitam yang sedikit tebal, jaket musim sejuk, bersarung tangan, berstokin di kaki, dan berkain ridak melilit kepala. Semuanya untuk melawan kesejukan malam yang menggigit tulang. Lebih teruk lagi bila ada angin kencang, kalau tak tutup melitup dari hujung rambut ke hujung kaki, memang akan menggigil kesejukan, kulit akan mengering, jari boleh membengkak, hidung dan telinga boleh mengeras kemerahan. Suhu musim sejuk di Mu’tah jangan dibuat main, boleh turun ke paras negatif.
Semuanya ini aku hadapi semata-mata hendak menghadiri kelas ilmu di pekan Mu’tah. Tipulah kalau tiada rasa malas nak hadir ke kelas, keselesaan di rumah memang menghasut diri untuk duduk saja di rumah, melayan filem atau permainan. Tapi saya gagahkan juga diri untuk hadiri mana-mana kelas yang ada. Selagi kelas berjalan, selagi itu aku datang. Semasa berjalan selalu terdetik juga bahawa mujahadah yang saya lalui inilah yang akan menjadi kenangan manis saya. Kelak apabila anak sudah besar, aku miliki banyak pengalaman indah untuk diceritakan.
Inilah kisahku dengan pekan Mu’tah, sekadar mencoret kenangan sebelum lupa memamah ingatan. Mungkin akan datang aku akan karang lagi beberapa puisi berserta cerita kenangan aku semasa di Jordan. Sungguh, waktu yang berlalu di Jordan ialah waktu yang begitu indah.
Comments
Post a Comment