Membasmi Fahaman Batil Secara Langsung dan Tidak Langsung
Perseteruan antara Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dengan fahaman batil memang tidak akan selesai. Bahkan, selagi fahaman batil yang beracun tersebut ada, selagi itu akan ada pihak Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang berusaha melawannya. Saya fikir, usaha membasmi fahaman batil atau ajaran sesat dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu: (1) secara langsung dan (2) tidak langsung.
Usaha secara langsung ialah tindakan yang menyebabkan kesan secara langsung terhadap mereka. Contohnya seperti berdebat kerana dalam medan perdebatan, pihak yang benar akan mengenakan hujah secara terus dan langsung terhadap pihak yang salah. Pihak yang salah pula akan menerima jawab balas hujah tersebut pada waktu itu juga. Begitu juga dalam bentuk penulisan, seperti menulis makalah yang mengandungi kritikan secara khusus terhadap sesuatu ajaran sesat. Turut sama dalam bentuk ini, saya kira, ialah usaha-usaha menerusi perundangan kerana dalam mahkamah juga akan berlaku perbicaraan yang melibatkan pertukaran hujah dan sebagainya. Asalkan ada interaksi atau dialog secara terus dengan pengikut fahaman batil, pada saya ia dikira usaha secara langsung tanpa mengira apa jua bahan perantara.
Usaha secara tidak langsung pula, sebaliknya, ialah tindakan yang menyebabkan kesan tidak langsung terhadap fahaman batil. Banyak contoh yang boleh disebutkan, asalkan ia tidak dikenakan secara langsung terhadap mereka. Contohnya, seorang ustaz mengajar tentang sifat Allah di surau. Dalam pengajarannya, beliau menyebutkan bahawa Allah itu suci daripada sifat-sifat makhluk seperti bertempat dan berjisim. Secara tidak langsung, pengajaran ini termasuk dalam usaha membasmi Mujassimah yang berpegang bahawa Allah mempunyai anggota jisim dan duduk di atas Arasy. Pengajaran ini tidak dikenakan secara langsung terhadap Mujassimah mahupun memetik nama fahaman itu. Malah barangkali mereka yang hadir hanyalah orang awam yang tidak tahu tentang kewujudan fahaman tersebut. Namun, melaluinya kefahaman yang sahih dapat disebarkan, benih-benih fahaman batil dalam fikiran hadirin dapat dihapuskan, populasi pengikut fahaman batil dapat dikurangkan dan komuniti Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dapat ditingkatkan.
Begitu juga melalui bahan perantara lain, seperti penulisan. Misalnya, seseorang menulis tentang Nabi Muhammad s.a.w ialah nabi dan rasul terakhir. Walaupun penulisan itu tidak menyebut langsung nama mana-mana ajaran sesat, mahupun ditujukan secara khusus terhadap mereka, namun kandungannya menjadi penolakan tidak langsung terhadap ajaran-ajaran sesat yang mendakwa tokoh mereka ialah rasul seperti ajaran Haji Khahar. Ini menjadi salah satu usaha tidak langsung dalam membasmi ajaran sesat tersebut menerusi penyebaran kefahaman yang sahih dan natijah-natijah yang menyusul daripadanya seperti yang disebutkan di atas.
Dalam disertasi sarjana, saya mengemukakan kedua-dua bentuk usaha ini dari sisi ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz terhadap al-Qadariyyah. Secara mudahnya, al-Qadariyyah ialah fahaman yang menafikan qadar Allah dalam perbuatan makhluk. ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz sempat hidup sezaman dengan fahaman ini. Maka, beliau pernah melakukan usaha secara langsung seperti berdebat dengan tokoh al-Qadariyyah, mewartakan hukuman berat terhadap pengikut fahaman ini, dan menulis risalah penolakan terhadap mereka. Beliau juga melakukan usaha secara tidak langsung dengan menyebutkan kebenaran qadak dan qadar dalam penulisan surat rasmi, nasihat, peringatan dan sebagainya. Penjelasan lebih lanjut tentang peranan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz ini boleh dibaca dalam entri terdahulu saya di sini.
Apa yang saya ingin simpulkan di sini ialah usaha membasmi fahaman batil ini satu usaha secara kolektif. Seseorang tokoh mungkin boleh dianggap sebagai individu yang paling menonjol dalam usaha ini, seperti al-Ash’ari misalnya. Kita menyanjung tokoh yang terkehadapan seperti beliau, pada masa yang sama kita juga menghargai usaha daripada pihak-pihak yang lain secara langsung atau tidak langsung.
Comments
Post a Comment