Risalah Untuk Menolak Fahaman al-Qadariyyah oleh Khalifah Umar bin Abd al-Aziz


Umar bin Abd al-Aziz (w. 101 H) bukanlah suatu nama yang asing dalam kalangan umat Islam. Beliau dianggap antara pemimpin terbaik yang pernah disaksikan oleh umat Islam sepanjang zaman. Beliau terkenal sebagai seorang khalifah yang soleh, mengamalkan hidup yang zuhud dan sering mengutamakan hal ehwal rakyatnya. Tempoh pemerintahannya tidak lama, beliau diangkat menjadi khalifah pada tahun 99 H dan beliau mangkat pada tahun 101 H. Namun, tempoh yang singkat itu dilimpahi dengan banyak kebaikan, kebajikan rakyat sentiasa terjaga dan keadilan mereka seringkali tertegak.
Selain masyhur sebagai seorang khalifah, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz juga sebenarnya merupakan antara ulama yang tersohor di zaman tabiin. Beliau seorang yang sangat alim dan arif tentang agama Islam terutamanya pada tiga dasar utama Islam iaitu akidah, feqah dan akhlak. Beliau mendapat pendidikan agama secara terus daripada para sahabat dan tabiin, antara gurunya ialah Anas bin Malik (w. 93 H), Said bin al-Musayyib (w. 94 H) dan ramai lagi. Berkat didikan mereka, serta suasana kehidupan di zaman Salaf al-Salih yang telah diiktiraf keutamaannya oleh Rasulullah saw, Umar bin Abd al-Aziz berhasil menjadi salah seorang ulama yang hebat di zamannya. Maymun bin Mihran (w. 117 H), salah seorang ulama tabiin yang sezaman dengannya, pernah menyebutkan bahawa, “Para ulama adalah merupakan pelajar di sisi Umar bin Abd al-Aziz,” menunjukkan betapa tingginya martabat Khalifah Umar bin Abd al-Aziz dalam bidang keilmuan.
Terdapat banyak bukti yang menunjukkan ketinggian ilmu Khalifah Umar bin Abd al-Aziz. Namun, perkara yang hendak ditonjolkan di sini ialah ketinggian ilmu beliau dalam bidang akidah. Ini dapat dilihat menerusi usaha penentangannya terhadap fahaman-fahaman batil di zamannya. Untuk mempertahankan akidah serta menangkis serangan fahaman-fahaman batil, seseorang itu perlu mempunyai kefahaman akidah yang tinggi, berserta dalil-dalil dan hujah-hujah yang membuktikan kebenarannya, serta kemampuan untuk menolak dakwaan-dakwaan daripada pihak lawan.
Perkara ini semua dapat dilihat pada diri Khalifah Umar bin Abd al-Aziz. Walaupun beliau sibuk dengan urusan pemerintahan, beliau juga sempat berusaha menentang dan membanteras dua fahaman batil yang terkenal di zamannya iaitu Khawarij dan al-Qadariyyah. Beliau boleh sahaja membanteras fahaman-fahaman ini dengan menggunakan kuasanya sebagai khalifah, akan tetapi Khalifah Umar bin Abd al-Aziz lebih cenderung menangani fahaman-fahaman tersebut secara berhikmah dan berilmiah. Oleh itu, beliau sering terlibat dalam pelbagai perdebatan dan perbahasan serta pernah menulis beberapa surat dan risalah untuk menolak fahaman-fahaman tersebut. Untuk artikel ini, kita akan lebih berfokus kepada usaha Khalifah Umar bin Abd al-Aziz dalam menentang fahaman al-Qadariyyah secara ringkas, lebih khusus lagi pada risalah beliau terhadap fahaman ini.
Khalifah Umar bin Abd al-Aziz dan al-Qadariyyah 
Secara ringkasnya, fahaman al-Qadariyyah merupakan suatu fahaman akidah yang berpegang bahawa perbuatan manusia tidak ditakdirkan oleh Allah, akan tetapi ia ditakdirkan oleh manusia itu sendiri. Fahaman ini mula muncul di akhir zaman Sahabat menerusi tokoh pengasasnya iaitu Ma’bad al-Juhani. Di zaman Khalifah Umar bin Abd al-Aziz, fahaman al-Qadariyyah berada di bawah pimpinan tokohnya yang terkemudian, Ghaylan al-Dimashqi. Terdapat pelbagai riwayat yang menceritakan tentang perbahasan yang terjadi antara Khalifah Umar bin Abd al-Aziz dengan Ghaylan. Setiap kali perbahasan tersebut diadakan, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz pasti akan berjaya mendiamkan Ghaylan, sehingga akhirnya Ghaylan mengaku taubat di hadapan khalifah Bani Umayyah itu dan berjanji tidak akan lagi bercakap tentang fahamannya. Malangnya, setelah Khalifah Umar bin Abd al-Aziz wafat, Ghaylan kembali semula menyebarkan fahamannya.
Khalifah Umar bin Abd al-Aziz pernah menulis sebuah risalah yang ditujukan khas untuk menolak fahaman al-Qadariyyah. Risalah ini telah diriwayatkan oleh Abu Nu’aym al-Asfahani di dalam karyanya Hilyah al-Awliya’ dan Ibn al-Jawzi di dalam kitabnya Sirah wa Manaqib Umar bin Abd al-Aziz. Pada permulaan risalah ini, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz menceritakan bahawa risalah ini ditulis sebagai penolakan atau jawab balas terhadap sebuah risalah yang telah diutuskan kepada beliau oleh para pengikut al-Qadariyyah. Dalam risalah itu, mereka menafikan qadar dan ilmu Allah Taala daripada terlibat dalam urusan mentakdirkan perbuatan makhluk.
Maka, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz pun menulis hujah, dalil dan kritikannya ke atas al-Qadariyyah di dalam risalahnya ini yang mencapai hampir 8 muka surat, mengikut cetakan Hilyah al-Awliya yang telah saya rujuk. Oleh sebab itu juga, di sini saya akan memuatkan hanya sedikit petikan sahaja daripada permulaan risalah ini. Tanpa analisis atau ulasan terperinci. Hanya sekadar terjemahan bebas sahaja. Tujuan utama saya hanyalah sebagai tatapan dan pengajaran buat kita bersama tentang keilmuan Khalifah Umar bin Abd al-Aziz dalam bidang akidah. Berikut adalah merupakan sedikit petikan permulaan risalah Khalifah Umar bin Abd al-Aziz tersebut:
Risalah Khalifah Umar bin Abd al-Aziz Pada Menolak al-Qadariyyah
... Sesungguhnya kamu (al-Qadariyyah) telah menyebutkan bahawasanya telah sampai kepada kamu bahawa aku pernah berkata, "Sesungguhnya Allah telah mengetahui apa yang para hamba lakukan, dan kepada apa yang mereka datangi." Lalu kamu mengingkari perkara itu ke atasku, dan kamu berkata, "Sesungguhnya demikian itu (perbuatan makhluk) tidak terjadi pada ilmu daripada Allah sehinggalah perkara itu menjadi perbuatan daripada makhluk," maka bagaimana perkara itu seperti apa yang kamu sebutkan? Dan [sedangkan] Allah Taala berfirman,
إِنَّا كَاشِفُوا الْعَذَابِ قَلِيلًا ۚ إِنَّكُمْ عَائِدُونَ
Maksudnya: "Sesungguhnya (kalaulah) kami hapuskan azab itu sedikit pun, sudah tentu kamu akan kembali (kufur)." (al-Dukhan: 15)

Yakni mereka kembali kepada kekufuran. Dan Allah telah berfirman,

وَلَوْ رُدُّوا لَعَادُوا لِمَا نُهُوا عَنْهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ

Maksudnya: "Dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta." (al-An'am: 28)

Lalu kamu menyangka, dengan kejahilan kamu, pada firman Allah Taala,

فَمَن شَاءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاءَ فَلْيَكْفُرْ

Maksudnya: "Maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya." (al-Kahf: 29)

Bahawa kemahuan [makhluk] itu pada mana-mana yang kamu sukai, kamu pasti akan lakukannya [sama ada] daripada kesesatan atau hidayah, dan [sedangkan] Allah Taala berfirman,

وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: "Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam." (al-Takwir: 29)

Maka dengan kehendak Allah, mereka berkemahuan, jika Allah tidak berkehendak maka mereka tidak akan memperoleh [sesuatu pun] daripada kemahuan mereka daripada ketaatan kepada-Nya [sama ada] dalam bentuk percakapan dan tidak juga dalam bentuk perbuatan, kerana Allah Taala tidak memberi pemilikan kepada hamba apa yang ada dalam kuasa-Nya, dan tidak menyerahkan kepada mereka apa yang dihalangnya daripada para rasul-Nya. Sesungguhnya para rasul menginginkan hidayah ke atas semua manusia, maka mereka tidak memperoleh hidayah melainkan sesiapa yang telah diberi hidayah kepadanya oleh Allah, dan sesungguhnya iblis menginginkan kesesatan ke atas mereka semua (manusia), maka tidak menjadi sesat melainkan sesiapa yang pada ilmu Allah bahawa dia adalah orang yang sesat ...
Kesimpulan
Maka, berdasarkan petikan risalah di atas, dapat disimpulkan bahawa Khalifah Umar bin Abd al-Aziz merupakan seorang yang alim dalam akidah Islam. Beliau mengetahui dalil-dalil bagi perincian dalam akidah Islam, adapun dalam konteks ini beliau mengetahui dalil bagi qadar, qudrah dan ilmu Allah Taala. Di samping itu, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz juga merupakan seorang yang mahir dalam berhujah terhadap fahaman-fahaman batil. Beliau menunjukkan dahulu kesalahan dalam lawannya, dalam konteks ini al-Qadariyyah, lalu beliau menolaknya dengan membawakan dalil-dalil daripada al-Quran dan hujah-hujah beliau sendiri.
Kesimpulannya, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz sememangnya merupakan antara tokoh pemimpin serta ulama yang hebat dalam sejarah Islam. Beliau merupakan bukti yang jelas bahawa sifat seorang pemimpin dan ulama boleh terhimpun pada diri peribadi seseorang. Lebih hebat lagi apabila seseorang itu mampu mengurus pemerintahannya dengan baik, dan pada masa yang sama mahir dalam membungkam keraguan fahaman-fahaman batil, seperti Khalifah Umar bin Abd al-Aziz. Secara tidak langsung, ia juga menjelaskan bahawa kepentingan tokoh-tokoh ulama seperti ini pada masa kini demi memelihara umat Islam daripada terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.
Rujukan:
  1. al-Asfahani, Abu Nu’aym Ahmad bin Abd Allah. 1996. Hilyah al-Awliya’ wa Tabaqat al-Asfiya’. Jil. 5. Bayrut: Dar al-Fikr.
  2. Ibn al-Jazwi, Jamal al-Din Abi al-Farj Abd al-Rahman. 2001. Sirah wa Manaqib ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz al-Khalifah al-Zahid. Bayrut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
  3. al-Shafi’i, Hasan Mahmud. 1991. al-Madkhal ila Dirasah ‘Ilm al-Kalam. al-Qahirah: Maktabah Wahbah.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah