Jasa Ilmiah Para Salaf al-Salih dalam Memelihara Akidah


Usaha memelihara akidah umat Islam bukanlah suatu usaha yang baru dilaksanakan pada hari ini, bukan juga usaha yang baru mula dilakukan oleh dua tokoh besar Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari (w. 324 H) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (w. 333 H). Hakikatnya, sejarah membuktikan bahawa para leluhur kita daripada kalangan sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin telah pun memulakan usaha murni ini di zaman Salaf al-Salih.
Para ulama Salaf al-Salih merupakan insan-insan yang memiliki kefahaman agama dan keyakinan akidah yang sangat kukuh dan murni. Oleh sebab itu, mereka sangat peka dengan situasi semasa, apabila timbulnya sebarang isu akidah, atau terjadinya penyebaran sesebuah fahaman batil, merekalah yang terawal tampil ke hadapan untuk menyelesaikan masalah itu. Para Salaf al-Salih akan berbahas atau berdebat dengan para pembawa fahaman batil itu bagi membuktikan kebatilan fahaman mereka serta menerangkan kefahaman akidah yang sebenar. Adakalanya, para Salaf al-Salih melaksanakan usaha ini menerusi penulisan berbentuk risalah atau surat. Imam Kamal al-Din al-Bayyadi menyebutkan:
"Maka bahawasanya bilamana munculnya para pengikut fahaman batil yang terawal daripada fahaman Khawarij, Syiah dan al-Qadariyyah di pertengahan zaman mereka (sahabat), para fuqaha sahabat menyingkap keraguan akidah mereka dengan hujah-hujah yang jelas, menjelaskan akidah yang benar dengan bukti-bukti yang kukuh, membungkam dakwaan mereka dan membanteras gerakan yang keras daripada kalangan mereka dengan penghapusan."
Berikut adalah senarai beberapa ulama Salaf al-Salih daripada kalangan sahabat, tabiin dan tabi tabiin yang telah berusaha menjaga akidah Islam daripada serangan fahaman-fahaman batil. Para ulama yang tidak tersenarai tidak bermaksud mereka tidak melakukan apa-apa sumbangan, namun mereka yang tersenarai di bawah adalah mereka yang masyhur dengan usaha-usaha berbentuk ilmiah.
  1. Khalifah Ali bin Abi Talib ra (w. 40 H). Beliau pernah berbahas dengan fahaman Khawarij dalam isu tahkim dan isu janji baik dan janji buruk. Beliau pernah menyuruh tokoh Syiah, Abdullah bin Saba’ agar bertaubat dan menghalaunya ke al-Mada’in. Beliau juga pernah berbahas dengan fahaman al-Qadariyyah dalam isu kemahuan, kemampuan dan qadar serta juga menyuruh mereka bertaubat.
  2. Al-Hasan bin Ali ra (w. 50 H). Beliau pernah mengarang risalah yang bertujuan menolak fahaman al-Qadariyyah.
  3. Abdullah bin Abbas ra (w. 68 H). Beliau pernah terlibat dalam beberapa perbahasan dengan al-Qadariyyah dan Khawarij.
  4. Abdullah bin Umar ra (w. 73 H). Beliau juga menolak dengan jelas terhadap Ma’bad al-Juhani, bahkan beliau menyatakan secara zahir bahawa dirinya berlepas daripada tokoh pengasas al-Qadariyyah itu.
  5. Khalifah Umar bin Abd al-Aziz (w. 101 H). Beliau pernah menulis risalah untuk menolak al-Qadariyyah. Beliau juga pernah berbahas dengan tokoh fahaman tersebut, Ghaylan al-Dimashqi, serta menyuruhnya agar bertaubat daripada fahamannya.
  6. Al-Hasan al-Basri (w. 110 H). Beliau pernah menulis risalah yang mengandungi kritikannya terhadap al-Qadariyyah dan mengutuskannya kepada Khalifah Umar bin Abd al-Aziz.  Beliau juga terkenal dengan perbahasannya dengan tokoh Muktazilah, Wasil bin ‘Ata’, sehingga membuatkan Wasil keluar daripada halakah ilmu al-Hasan al-Basri.
  7. Zayd bin Ali Zayn al-Abidin (w. 122 H). Beliau juga pernah mengarang beberapa kitab atau risalah yang bertujuan menolak al-Qadariyyah.
  8. Ja’far bin Muhammad al-Sadiq (w. 148 H). Beliau pernah mengarang kitab untuk menolak al-Qadariyyah, kitab untuk menolak Khawarij dan risalah untuk menolak para pelampau daripada fahaman al-Rawafid.
  9. Imam Abu Hanifah (w. 150 H). Beliau pernah mengarang beberapa kitab dan risalah tentang akidah, antaranya ialah al-Fiqh al-Akbar. Beliau juga kerap terlibat dalam perdebatan dengan fahaman-fahaman batil.
  10. Imam al-Shafi’i (w. 204 H). Beliau juga pernah mengarang kitab dalam bidang akidah, antaranya ialah kitab untuk membetulkan konsep kenabian dan menolak kumpulan al-Barahimah.
  11. Abdullah bin Sa’id al-Kullabi (w. 241 H), Abu al-Abbas al-Qalanisi (w. 355 H) dan al-Harith al-Muhasibi (w. 243 H). Imam al-Shahrastani berkata: “Mereka merupakan daripada kalangan salaf, melainkan mereka mendalami ilmu kalam dan membantu dalam mengukuhkan akidah salaf dengan hujah-hujah kalam dan burhan-burhan usul.” Al-Harith al-Muhasibi khususnya, walaupun lebih dikenali dalam bidang tasawuf, beliau juga pernah mengarang penulisan yang bertujuan menolak Muktazilah.
Berdasarkan senarai di atas, dapat kita ketahui bahawa para ulama Salaf al-Salih telah memberikan sumbangan yang besar dalam memastikan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah terus terpelihara sehingga ke hari ini. Di samping itu, menerusi senarai di atas juga kita dapat ketahui bahawa suasana keilmuan di zaman mereka begitu aktif sehinggakan ingin menolak fahaman batil sekalipun pasti dilaksanakan menerusi pendekatan ilmiah seperti perbahasan, perbincangan, perdebatan dan penulisan. Usaha dan kegiatan ilmiah seperti ini haruslah digiatkan lagi pada masa kini agar kesucian akidah umat Islam terus terpelihara dan suasana keilmuan dalam kalangan umat Islam terus aktif.
Rujukan:
  1. Al-Baghdadi, Abd al-Qahir bin Tahir. 2010. Al-Farq bayn al-Firaq. al-Qahirah: Dar al-Salam.
  2. Al-Baghdadi, Abd al-Qahir bin Tahir. 1982. Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Suatu Pengenalan. Terj. Ibrahim Abu Bakar. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
  3. Al-Bayyadi, Kamal al-Din Ahmad bin al-Qadi Husam al-Din. t.th. Isharat al-Maram min ‘Ibarat al-Imam. al-Qahirah: al-Maktabah al-Azhariyyah li al-Turath.
  4. Al-Shahrastani, Muhammad bin Abd al-Karim. 2005. Al-Milal wa al-Nihal. Bayrut: Dar Ibn Hazm.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah