Imam al-Shafi’i Sebenarnya Menolak Ilmu Kalam Versi Muktazilah


Sejak dahulu lagi, ilmu kalam telah melaksanakan peranannya dalam mengukuhkan akidah Islam dengan mendirikan hujah-hujah dan menolak keraguan-keraguan. Para ulama al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah telah sekian lamanya mendalami dan menggunakan ilmu kalam untuk mempertahankan akidah Islam daripada serangan golongan kafir dan ahli bidaah. Namun, sehingga kini masih terdapat golongan manusia yang menuduh ilmu kalam sebagai ilmu yang dicela. Lebih dari itu, mereka turut menukilkan kalam-kalam ulama Salaf al-Salih bagi membenarkan lagi tuduhan mereka itu. Antara kalam ulama yang sering dipergunakan oleh golongan ini ialah kalam Imam al-Shafi’i (w. 204 H). Antara kalam tersebut ialah,
  • “Jikalau seorang lelaki itu mewasiatkan kitab-kitabnya daripada ilmu kepada seseorang, dan terdapat padanya kitab-kitab ilmu kalam, maka tidak termasuk kitab-kitab itu dalam wasiat kerana ia bukanlah daripada kitab-kitab ilmu. Jikalau dia mewasiatkan kepada ahli ilmu, tidak termasuk ahli kalam dalam wasiat itu.” 
  • “Hukuman aku terhadap para pengikut ilmu kalam, ialah pukul mereka itu dengan pelepah tamar, dan usung mereka di atas unta secara terbalik, ditawafkan mereka mengelilingi kabilah dan keluarga dan dikatakan, 'Inilah balasan bagi sesiapa yang meninggalkan al-Quran dan Sunnah dan mengambil ilmu kalam'.” 
  • “Jauhilah kamu daripada berdebat dalam ilmu kalam, maka sesungguhnya seseorang lelaki jika ditanya tentang suatu masalah dalam fiqah, lalu dia melakukan kesilapan padanya, seperti jika dia ditanya tentang seorang lelaki membunuh lelaki yang lain, lalu dia berkata, 'Dendanya ialah sebiji telur.' Maka, paling besar pun dia akan ditertawakan. Adapun jika dia ditanya tentang masalah dalam ilmu kalam, lalu dia membuat kesilapan padanya, dia akan dinisbahkan kepada bidaah.”

Berdasarkan petikan kalam-kalam di atas, dapat disimpulkan bahawa Imam al-Shafi’i sememangnya mengkritik dan mencela ilmu kalam. Persoalannya, apakah maksud sebenar kalam-kalam Imam al-Shafi’i tersebut? Ilmu kalam apakah sebenarnya yang dibenci dan dicela oleh Imam al-Shafi’i? Fakhr al-Din Muhammad bin Umar al-Razi (w. 606 H) di dalam karyanya Manaqib al-Imam al-Shafi’i menegaskan bahawa kritikan dan celaan Imam al-Shafi’i terhadap ilmu kalam perlu ditakwil. Hal ini kerana kita mengiktiraf kepentingan ilmu kalam dan kemuliaan Imam al-Shafi’i. Takwilan-takwilan al-Razi tersebut ialah:

  • Imam al-Shafi’i menentang dan mencela ilmu kalam dan mereka yang mendalaminya kerana pada zaman itu, penyelidikan ilmu kalam bukan lagi bertujuan kerana Allah, akan tetapi kerana dunia sahaja. Ia berpunca apabila ramai umat Islam mendalami dan bertelagah tentang isu al-Quran yang mengakibatkan terjadinya banyak fitnah yang besar. Golongan ahli bidaah meminta bantuan pihak pemerintahan dan memaksakannya terhadap ahli kebenaran, tanpa memandang kepada dalil-dalil yang telah tetap kebenarannya.
    Golongan ini sebenarnya ialah Muktazilah. Muktazilah berpegang bahawa al-Quran ialah makhluk dan bukan qadim. Lalu, mereka meminta pertolongan pihak kerajaan untuk menjadikan pegangan mereka sebagai pegangan rasmi dan memaksakannya terhadap semua orang termasuklah para ulama. Maka, pengkajian ilmu kalam pada masa itu bukanlah kerana Allah, tetapi kerana keduniaan dan kekuasaan semata-mata.
  • Berdasarkan takwilan pertama, kita dapat ketahui bahawa ilmu kalam yang dicela oleh Imam al-Shafi’i ialah ilmu kalam versi Muktazilah. Maka, menurut al-Razi, wajib dipalingkan ilmu kalam yang dicela oleh Imam al-Shafi’i kepada ilmu kalam yang dipegang oleh ahli bidaah. Ini mengikut kesepakatan para fuqaha dalam isu qiyas. Para fuqaha bersepakat bahawa qiyas ialah hujah dalam syarak. Apabila datangnya riwayat-riwayat para sahabat dan tabiin yang mencela qiyas, para fuqaha berpendapat bahawa qiyas yang dicela tersebut ialah qiyas yang fasid, yang bertentang dengan nas-nas syarak.

    Maka, seperti itu jugalah al-Razi lakukan terhadap riwayat-riwayat celaan Imam al-Shafi’i terhadap ilmu kalam, bermaksud ilmu kalam yang dicela tersebut ialah ilmu kalam yang salah dan bertentangan dengan al-Quran dan hadis.
  • Al-Razi mengandaikan bahawa celaan Imam al-Shafi’i terhadap ilmu kalam adalah kerana wajib bagi mazhabnya memadai dengan berpegang pada dalil-dalil al-Quran. Tidak harus membuat penambahan ke atas dalil-dalil itu dan mendalami perkara-perkara yang sulit dan tidak boleh difikirkan dan diteliti oleh akal. Oleh kerana itu, beliau telah berlebihan dalam mengkritik dan mencela sesiapa yang cuba mendalami hal-hal yang terperinci itu.

Lebih menarik lagi, Fakhr al-Din al-Razi menyatakan antara perkara yang menunjukkan perlunya kepada takwilan-takwilan yang lalu adalah kerana Imam al-Shafi’i juga sebenarnya mengiktiraf ilmu kalam. Pendapat beliau ini adalah berdasarkan beberapa riwayat yang dinukilkan oleh Imam al-Bayhaqi (w. 458 H) di dalam Manaqib al-Shafi’i. Antara riwayat tersebut ialah:

  • Diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Bayhaqi dalam Manaqib al-Shafi’i dengan sanadnya daripada al-Muzani bahawa beliau berkata, "Telah berlaku satu perdebatan antara aku dengan seorang lelaki maka aku bertanya tentang kalam (sesuatu isu untuk golongan ateis) jika benar ia hampir meragukanku tentang agamaku. Lalu aku datang kepada al-Shafi’i maka aku berkata kepadanya, 'Bahawa daripada perkara itu begitu dan begini.' Al-Shafi’i menjawab, 'Ini masalah untuk golongan ateis dan jawab tentangnya begitu dan begini'." 

    Al-Bayhaqi berkata, "Ini menunjukkan pengetahuan al-Shafi’i yang baik tentang ilmu kalam. Maka sesungguhnya jika tidak, ia tidak akan menjadi seperti itu, dan jika tidak pasti dia tidak mampu menjawab keraguan itu."
  • Al-Bayhaqi juga meriwayatkan daripada al-Hakim Abi Abdillah al-Hafiz dengan sanadnya kepada al-Muzani, berkata, "Kami pernah berada di pintu rumah al-Shafi’i, kami saling berdebat dalam ilmu kalam, lalu al-Shafi’i keluar menuju kami dan beliau mendengar sebahagian apa yang kami telah debatkan tentangnya. Setelah itu, beliau pulang dan beliau tidak keluar bertemu kami melainkan selepas tujuh hari. Kemudian Imam al-Shafi'i keluar dan berkata, 

    'Tiada yang menghalang aku daripada keluar bertemu kamu melainkan aku telah mendengar kamu berdebat dalam ilmu kalam, adakah kamu semua menyangka bahawa aku tidak mahir padanya. Sesungguhnya aku telah mendalaminya sehingga aku telah mencapai peringkat yang tinggi. Melainkan bahawa ilmu kalam itu tiada tujuan baginya. Berdebatlah kamu pada suatu yang jika kamu melakukan kesalahan padanya, dikatakan kamu telah salah, dan jangan kamu berdebat pada perkara yang jika kamu melakukan kesalahan padanya, dikatakan kamu telah kafir'."
    Al-Bayhaqi berkata, "Kisah ini menunjukkan bahawa al-Shafi’i seorang yang alim tentang ilmu ini melainkan dia tidak pernah membuka pintu perdebatan padanya, kerana takut akan mafsadah-mafsadah yang lahir daripadanya."

Menurut Muhammad Abu Zuhrah, Imam al-Shafi’i membenci ilmu kalam disebabkan oleh perjalanan ilmu tersebut. Ia tidak menyampaikan seorang mukmin kepada faedah dan manfaat. Intipatinya pula mengelirukan sehingga orang yang melakukan kesalahan dikafirkan, bukan dikatakan dia itu salah. Namun, juga tidak masuk akal jika Imam al-Shafi’i melarang sesuatu tanpa memahaminya terlebih dahulu. Maka, Imam al-Shafi’i sebenarnya memahami ilmu kalam. Beliau seorang yang bersungguh-sungguh dalam mencari kebenaran dari mana jua sekalipun. Beliau terkenal dengan kesungguhannya bermusafir mencari ilmu dan berbincang dengan pengikut pelbagai aliran dan mazhab, maka semestinya beliau pernah mendalami ilmu ini. Tambahan pula, Imam al-Shafi’i juga mempunyai pendapat-pendapat beliau dalam akidah. Pendapat-pendapat tersebut pula tidak bercanggah dengan pendapat majoriti umat Islam.

Akan tetapi, ketika itu ilmu kalam didominasi oleh Muktazilah yang sangat mengutamakan akal berbanding nas. Prinsip Muktazilah yang batil ini mengakibatkan lahirnya pandangan-pandangan mereka yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah. Lebih dari itu, Muktazilah mempromosikan ilmu kalam versi mereka itu bukan lagi untuk mencari kebenaran, tetapi untuk mengejar kekuasaan sehinggalah mereka berjaya menawan tampuk khilafah, tanpa memandang pun dalil-dalil yang telah tetap kebenarannya. Akibatnya, ilmu kalam diingati sebagai ilmu yang batil kerana dipenuhi dengan pemikiran-pemikiran batil Muktazilah yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah.

Fenomena ini berlarutan hampir menjangkau ratusan tahun, sehinggalah hadirnya Imam al-Ash’ari menganjurkan suatu ilmu kalam yang sahih versi al-Asha’irah yakni ilmu kalam yang selari lagi selaras dengan al-Quran dan Sunnah. Imam al-Ash'ari bukan sahaja dapat mengalahkan Muktazilah, malah beliau juga berjaya menumpaskan dominasi ilmu kalam Muktazilah sehinggakan setelah itu umat Islam terus melupakan ilmu kalam versi mereka tersebut.

Maka, kritikan dan celaan Imam al-Shafi’i terhadap ilmu kalam sebenarnya merujuk kepada ilmu kalam yang dibangunkan oleh Muktazilah. Ilmu kalam yang dianjurkan oleh Muktazilah ialah ilmu kalam yang mengutamakan akal, menyalahi al-Quran dan Sunnah serta banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur falsafah. Oleh sebab itulah Imam al-Shafi'i menolak ilmu kalam tersebut demi mempertahankan al-Quran dan Sunnah. Jelas bahawa ilmu kalam versi Muktazilah yang ditegah oleh Imam al-Shafi'i berbeza dengan ilmu kalam sahih yang dibawa oleh al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah.

Rujukan:

  1. Abu Zahrah, Muhammad. 1978. Al-Shafi’i: Hayatuhu wa Asruhu – Arauhu wa Fiqhuhu. t.tp: Dar al-Fikr al-Arabi.
  2. Ibrahim Abu Bakar. 2015. Ilmu Kalam Paucis Verbis. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
  3. Al-Razi, Fakhr al-Din Muhammad bin Umar. 1986. Manaqib al-Imam al-Shafi'i. al-Qahirah: Maktabah al-Kulliyyat al-Azhariyyah.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah