Tentang Ketokohan Akidah Imam Abu Hanifah oleh Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari


Imam Abu Hanifah al-Nu’man bin Thabit (w. 150 H) merupakan salah seorang daripada empat orang imam mazhab yang utama dalam bidang fiqah. Beliau merupakan pengasas atau pendiri bagi mazhabnya yang dikenali sebagai mazhab Hanafi. Ketinggian darjat dan martabat beliau dalam bidang fiqah adalah suatu yang sememangnya tidak boleh diragui lagi. Sehingga kini mazhabnya masih lagi dijadikan ikutan dan panduan oleh sebahagian besar umat Islam.

Selain terkenal dalam bidang fiqah, Imam Abu Hanifah juga sangat terkenal sebagai seorang tokoh mutakallim yang terawal dalam sejarah Islam. Beliau berkecimpung dalam bidang akidah dan ilmu kalam sebelum beliau mula beralih ke bidang fiqah. Beliau sempat mengarang beberapa kitab dalam bidang akidah, antara yang terkenal dan masih disyarahkan sehingga kini ialah al-Fiqh al-Akbar. Pengaruh beliau dalam bidang akidah juga tidak kurang hebatnya, mazhab beliau dalam bidang akidah dikembangkan lagi oleh seorang tokoh besar Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Imam Abu Mansur al-Maturidi (w. 333 H), sehinggakan aliran al-Maturidiyyah amat sinonim dengan mazhab Hanafi. Tash Kubri Zadah (w. 968 H) menyebutkan,

“Kemudian ketahuilah bahawa ketua Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dalam ilmu kalam itu dua orang, salah seorang daripadanya bermazhab Hanafi dan seorang yang lain bermazhab Syafii. Adapun Hanafi, maka beliau ialah Abu Mansur Muhammad bin Mahmud al-Maturidi, imam pembawa petunjuk ...”
Sebagai pengenalan ringkas berkenaan ketokohan Imam Abu Hanifah dalam bidang akidah, disertakan di bawah ini sedikit terjemahan daripada mukadimah kitab Isharat al-Maram min ‘Ibarat al-Imam karya Imam Kamal al-Din Ahmad al-Bayyadi. Mukadimah tersebut ditulis oleh Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari (w. 1371 H/1952 M), seorang ulama bermazhab Hanafi, beraliran al-Ash’ari dan merupakan timbalan Shaykh al-Islam yang terakhir bagi Khilafah Uthmaniyyah. Beliau telah mengarang pelbagai kitab dan penulisan meliputi hampir semua bidang ilmu agama. Berikut adalah terjemahan sebahagian daripada petikan mukadimah tersebut:
Kata-kata Pendahuluan Tentang Kitab al-Isharat al-Maram min al-'Ibarat al-Imam
... Sesungguhnya akidah yang sahih, yang menjadi penyelamat di akhirat, yang menjadi sebab bagi segala kebahagiaan dan kebaikan di dunia dan akhirat, ialah akidah yang diyakini oleh Nabi s.a.w dan para sahabatnya yang putih di wajah serta diberkati (al-ghurr al-mayamin), semoga Allah meredhai mereka kesemuanya. Oleh kerana itu, para imam pemberi petunjuk r.a, mereka berusaha dengan sedaya upaya mereka untuk memelihara intipati-intipatinya (akidah) dan kesuciannya dalam bentuk yang asli, sebagai suatu langkah waspada daripada dikeruhkan kesuciannya oleh ahli bidaah yang mendatang. 

Antara tokoh terawal yang melaksanakan khidmat-khidmat yang mulia dalam bidang ini ialah Imam Abu Hanifah al-Nu’man r.a (w. 150 H). Sesungguhnya Allah telah mempermudahkan usaha ini baginya, menerusi kesibukannya dalam perdebatan, dan penentangan terhadap golongan yang tersesat dan aliran-aliran yang menyeleweng, dalam tempoh yang panjang sebelum penumpuannya terhadap bidang fiqah, dan semuanya dipermudahkan bagi apa yang telah diciptakan untuknya.

Al-Khatib meriwayatkan di dalam Tarikhnya dengan sanad kepada Abu Hanifah, bahawa beliau berkata, "Aku telah berbahas dalam ilmu kalam sehingga padanya aku mencapai tahap ia boleh diisyaratkan kepadaku dengan jari jemari." Kemudian disebutkan bagaimana beliau melazimi Hammad bin Abi Sulayman (w. 120 H) dalam bidang fiqah ketika peralihan daripada ilmu kalam. Al-Muwaffaq di dalam al-Manaqib menyebutkan daripada Abu Hafs al-Saghir bahawa beliau berkata, "Abu Hanifah berterusan mendalami ilmu kalam dan berdebat dengan orang ramai hingga beliau mahir dalam ilmu kalam."

Al-Zaranjari juga berkata, "Bahawa Abu Hanifah mempunyai halakah dalam ilmu kalam," – yakni sebelum beliau bertemu dengan Hammad. Beliau menyebutkan juga di jilid 1 halaman 59 melalui jalan al-Harithi daripada Abu Hanifah bahawa beliau berkata, "Aku pernah diberikan peluang perdebatan dalam ilmu kalam, lalu berjalannya masa, padanya aku berulang-alik, dengannya aku berdebat, dan aku mempertahankannya. Golongan ahli perbalahan dan perdebatan kebanyakannya berada di Basrah, maka aku telah memasuki Basrah lebih daripada 20 kali, ada di antaranya aku pernah menetap setahun dan kurang dan juga lebih, dan aku pernah berdebat dengan dengan kumpulan-kumpulan Khawarij: terdiri daripada kumpulan al-Sifriyyah dan selain mereka, dan juga kumpulan-kumpulan al-Hashawiyyah." Kemudian beliau menyebutkan bagaimana beliau melazimi bidang fiqah.

Hafiz al-Din Muhammad bin Muhammad al-Kardari pemilik kitab al-Fatawa al-Bazzaziyyah yang masyhur telah berkata dalam al-Manaqib, "Jamal al-Din Abu Ya’la Ahmad bin Mas’ud al-Asfahani menyebutkan dengan sanadnya daripada Khalid bin Zaid al-‘Umari bahawa beliau berkata, 'Abu Hanifah, Abu Yusuf (w. 182 H), Muhammad (w. 189 H), Zufar (w. 158 H) dan Hammad bin Abi Hanifah (w. 176 H) adalah suatu kumpulan yang pernah berdebat dengan ilmu kalam terhadap orang ramai, dan merupakan para imam dalam ilmu (kalam)'."

Demikian inilah teks-teks yang menunjukkan kepada tahap keprihatinan Abu Hanifah dan para pengikutnya terhadap ilmu kalam, hingga sesungguhnya Imam Abu Ja’far al-Tahawi (w. 321 H), menamakan tajuk bagi akidahnya yang masyhur dengan kata-katanya, "Penjelasan akidah para fuqaha agama: Abu Hanifah, Abu Yusuf, Muhammad bin al-Hasan – rahimahullah," dan beliau menyebutkan akidah Salaf yang tiada perselisihan padanya di antara Ahl al-Sunnah seumpama ia akidah bagi mereka semua.

Imam Abd al-Qahir al-Baghdadi al-Shafi’i berkata dalam Usul al-Din, "Mutakalim mereka (Ahl al-Sunnah) yang terawal daripada kalangan fuqaha dan para tokoh mazhab-mazhab ialah Abu Hanifah dan al-Shafi’i. Maka sesungguhnya Abu Hanifah memiliki kitab tentang penolakan terhadap al-Qadariyyah, yang dinamakannya sebagai al-Fiqh al-Akbar, dan beliau juga memiliki risalah yang ditulis untuk mendokong pendapat Ahl al-Sunnah, ‘Sesungguhnya kemampuan itu seiring dengan perbuatan.’ Akan tetapi beliau berpendapat, 'Sesungguhnya ia boleh bagi kedua-dua lawan (ketaatan dan kemaksiatan).' Sekumpulan daripada kami berpegang dengan pendapat ini. Al-Shafi’i memiliki dua kitab dalam ilmu kalam: salah satu daripadanya tentang pensahihan kenabian dan penolakan terhadap al-Barahimah, keduanya adalah tentang penolakan terhadap golongan sesat ..."

Abu al-Muzaffar al-Isfarayini al-Shafi’i di dalam al-Tabsir berkata, "Kitab al-‘Alim oleh Abu Hanifah terdapat padanya hujah-hujah yang kukuh terhadap golongan ateis dan pelaku bidaah .. dan kitab al-Fiqh al-Akbar yang telah diberitahu kepada kami oleh individu yang dipercayai melalui jalan yang muktamad dan sanad yang sahih daripada Nusayr bin Yahya (w. 268 H) daripada Abu Hanifah, dan apa yang dihimpunkan oleh Abu Hanifah di dalam al-Wasiyyah yang ditulis untuk Abu Amr Uthman al-Batti (w. 143 H), padanya terdapat penolakan terhadap golongan ahli bidaah. Sesiapa yang mengamati padanya dan pada apa yang ditulis oleh al-Shafi’i tidak akan mendapati di antara kedua-dua mazhab itu sebarang pertentangan walau satu keadaan sekalipun. Setiap apa yang dikatakan terhadap mereka yang berselisihan dengan apa yang telah kami sebutkannya berkenaan mazhab-mazhab mereka, maka bahawasanya ia merupakan dusta yang dilakukan oleh pelaku bidaah yang menjadi penyebaran bagi bidaahnya."

Ini merupakan antara bukti yang menunjukkan kesatuan iktikad antara para imam, dan seiring dengan itu mereka juga tidak mengeluarkan pendapat berkenaan seseorang yang mendalami apa yang melebihi kekuatan akalnya. Malik (w. 179 H) membenci ilmu yang tidak mempunyai amal di bawahnya. Ahmad bin Hanbal (w. 241 H) juga sepertinya dalam hal ini, sebagai larangan terhadap kebanyakan orang daripada mendalami apa yang tiada upaya di sisi mereka dengannya, kerana takut terjadinya kegelinciran, serta berpada dengan intipati-intipati akidah yang telah diwarisi berserta tanzih (menyucikan Allah daripada sifat-sifat makhluk), dan menjauhi tashbih (menyamakan Allah dengan makhluk). Abu Hanifah adalah seorang yang berfikiran tajam, beliau telah sibuk dengan perdebatan dalam tempoh yang panjang, sebelum beliau beralih ke bidang fiqah, ...

... maka dengan cahaya risalah-risalah inilah (karya akidah Imam Abu Hanifah) para pengikut Abu Hanifah dan pengikut kepada para pengikutnya berusaha menzahirkan kebenaran pada iktikad, tanpa keraguan dan kekaburan, berdasarkan apa yang diyakini oleh Nabi s.a.w dan para sahabatnya r.a, maka mereka menyebarkan akidah yang sahih berserta fiqah ke pelusuk alam. Sebagai penghargaan terhadap khidmat yang penting ini, negeri-negeri ma wara’ al-nahr (Transoxiana / Asia Tengah) terselamat daripada golongan sesat dan ahli bidaah, (khidmat) oleh Sultan al-Sunnah terhadap orang-orang di sana tanpa berlakunya perbalahan, dengan saling menyampaikan penulisan-penulisan tersebut di antara mereka dari generasi ke generasi.
Kesimpulan
Berdasarkan petikan ringkas di atas, dapatlah kita ketahui bahawa al-Imam Abu Hanifah merupakan seorang yang sangat mengambil berat dalam bidang akidah. Kepakaran beliau dalam bidang akidah dan ilmu kalam terserlah apabila beliau telah terlibat dalam banyak perdebatan dengan fahaman-fahaman batil. Salah satu karya beliau dinamakan sebagai al-Fiqh al-Akbar, bermaksud fiqah yang besar yakni merujuk kepada akidah. Beliau berkecimpung dalam bidang ini dalam tempoh yang agak panjang sebelum akhirnya beliau beralih pula kepada bidang fiqah. Walau bagaimanapun, pengaruh Imam Abu Hanifah dalam kedua-dua bidang tersebut, yakni akidah dan fiqah, sangat besar sehingga mazhab beliau dalam akidah dan fiqah masih lagi diteruskan dan diikuti oleh ramai umat Islam hingga masa kini.
Rujukan:
  1. al-Baghdadi, ‘Abd al-Qahir bin Tahir. 1928. Usul al-Din. Istanbul: Matba’ah al-Dawlah.
  2. al-Bayyadi, Kamal al-Din Ahmad. 2004. al-Isharat al-Maram min ‘Ibarat al-Imam. Karachi: Zam Zam Publishers.
  3. al-Shirazi, Abi al-Ishaq. t.th. Tabaqat al-Fuqaha. Bayrut: Dar al-Ra’id al-‘Arabi.
  4. Zadah, Tash Kubri. 1985. Miftah al-Sa'adah wa Misbah al-Siyadah fi Mawdu'at al-'Ulum. Jil. 2. Bayrut. Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah.
  5. Haddad, Gibril Fouad, Miscellaneous and Other Interesting Articles: Biography of Imam Zahid al-Kawtharihttp://www.masud.co.uk/ISLAM/misc/al_kawthari.htm 

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah