Tentang Iman dan Yakin
Iman merupakan satu kunci yang amat penting sebagai hamba-Nya. Hal ini kerana iman itu menjadi kunci status diri seseorang itu ketika di akhirat nanti sama ada layak ke syurga atau kekal selama-lamanya di dalam neraka, na'udzu billahi min dhalik. Pelbagai tafsiran dan takrifan oleh ulama 'amilin telah dibuat berkaitan tentang iman. Takrifan masyhur yang selalu kita dengar ialah,
"Membenarkan dengan hati, mengakui dengan lisan dan beramal dengan anggota badan."
Iman berputar dalam diri setiap manusia itu pada tiga perkara berdasarkan takrifan di atas: hati, lisan dan anggota badan. Sebagai hamba Allah yang mukallaf, kita sememangnya diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Menjadi larangan-Nya juga ke atas kita pada keadaan memusuhi segala perintah suruhan-Nya dan larangan-Nya, kerana perbuatan itu mendorong kepada memusuhi Allah dan sesiapa yang memusuhi Allah tergolong dalam musuh-musuh-Nya sepertimana syaitan ingkar akan perintah Allah untuk menghormati Nabi Adam a.s.
Maka iman, di sebalik perbuatan taat kepada Allah, tersirat dalam diri manusia pengakuan bahawasanya Allah Tuhan Yang Maha Esa dan Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh-Nya. Sekiranya hilang pengakuan ini daripada dirinya, ia akan membawa kepada perbuatan mengingkari segala perintah dan larangan-Nya.
Pengakuan dengan lisan juga termasuk dalam takrifan iman yang sudah kita sebutkan tadi. Pengakuan dengan lisan datang dengan lafaz syahadah. Lafaz syahadah menjadi satu lesen untuk kita memegang status sebagai seorang muslim. Syeikh Nabil as-Sharif al-Azhari dalam kitabnya Bahjah al-Nazar mengatakan bahawasanya tidak disyaratkan lafaz syahadah yang penuh untuk memeluk agama Islam, bahkan jika dengan mengucapkan lafaz seperti La ilaha illa Allah iaitu tiada Tuhan selain Allah memadai untuk memeluk Islam. Akan tetapi lafaz syahadah, yang mengandungi lafaz 'aku bersaksi' yang membawa kepada pengakuan, pengiktirafan dan penyaksian adalah lebih afdal, kerana lafaz tersebut menguatkan makna syahadah dalam diri.
Secara keseluruhannya, ulama berbeza-beza pada takrifan iman yang mereka telah buat, namun perkara yang menjadi kesepakatan pada takrifan iman ialah keadaan membenarkan dengan hati. Membenarkan dengan hati bermaksud membenarkan segala apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w dan nabi-nabi yang terdahulu dalam hati dan diri seseorang. Nabi Muhammad s.a.w datang dengan tauhid kepada Allah, syariat dan feqah serta akhlak yang mulia. Bermula dengan pengakuan dalam hati, seseorang itu akan rela melakukan segala perintah dan larangan daripada Allah s.w.t.
Dengan keadaan hati jugalah yang akan membezakan kita dengan orang munafik. Orang munafik ialah mereka yang menipu pada zahirnya iaitu pada lafaz dan perbuatannya, akan tetapi pada hatinya masih belum beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Maka amat penting ke atas setiap manusia untuk menjaga hatinya daripada beriktikad, berniat atau berazam kepada perkara-perkara yang boleh membatalkan akidah.
Dari konsep tasawuf atau akhlak, takrifan iman menjadi berubah sedikit pada zahirnya akan tetapi pada inti patinya tetap sama. Imam Arsalan al-Dimasyqi (470 H-550 H) dalam Risalahnya berkata,
الإيمانُ خروجُك عنهم، واليقينُ خروجُك عنك .إذا زاد إيمانُك نُقِلْتَ من حالٍ إلى حال، وإذا زاد يقينُك نُقِلْتَ من مقامٍ إلى مقام
Maksudnya: "Iman itu kamu keluar daripada makhluk dan yakin itu kamu keluar daripada diri kamu. Apabila bertambah iman kamu, dipindahkan kamu daripada suatu hal kepada keadaan yang lain. Apabila bertambah yakin kamu, dipindahkan kamu oleh Allah daripada maqam kepada maqam yang lain."
Secara ringkasnya, takrifan iman oleh Imam Arsalan al-Dimasyqi ini bermakna iman itu kita keluar daripada keadaan berhajat kepada makhluk semata-mata tanpa meletakkan pengharapan dan hajat kita kepada Allah s.w.t secara mutlak. Perlu juga berhajat kepada makhluk akan tetapi berhajat kepada Allah itu sesuatu perbuatan yang tidak boleh sama sekali ditinggalkan. Berbeza dengan makhluk, bukan pada setiap masa kita perlu berhajat kepada mereka, akan tetapi Allah, tiap masa dan keadaan menjadi kemestian berhajat kepada-Nya.
Yakin itu apabila kita keluar daripada bergantung kepada diri sendiri semata-mata tanpa ada rasa bergantung kepada Allah. Setiap perkara itu amat-amat diatur oleh Allah s.w.t. Sikap bergantung kepada diri sendiri semata-mata adalah perkara yang sia-sia, kerana semua perkara berlaku atas kehendak dan perintah Allah s.w.t. Apabila menjadi kuatnya rasa bergantung kepada diri sendiri tanpa ada rasa bergantung kepada Allah, ditakuti menjadi hampir kita kepada sifat bongkak dan takbur.
Apabila iman kita bertambah, Allah akan memindahkan kita kepada hal keadaan zahir yang buruk kepada yang baik, dan daripada hal keadaan zahir yang baik kepada lebih baik. Hal zahir ini boleh juga didefinisikan sebagai perbuatan yang zahir. Daripada tidak menunaikan solat kepada rajin menunaikan solat. Daripada bercakap yang sia-sia kepada bercakap yang baik-baik sahaja. Daripada memakai pakaian yang bergambar bukan-bukan kepada memakai jubah, dan sebagainya.
Apabila yakin kita bertambah, Allah akan memindahkan kita kepada hal keadaan hati yang buruk kepada baik, daripada hal keadaan hati yang baik kepada yang lebih baik, dan seterusnya. Hal keadaan hati penting untuk menguatkan lagi akidah kita dan kejernihan hati daripada sifat-sifat mazmumah dan dipenuhi dengan sifat-sifat mahmudah seperti baik sangka, sabar, zuhud dan sebagainya.
Kesimpulannya, penjagaan iman amat penting dalam kehidupan kita, kerana selagimana iman kita kuat, selagi itulah kita masih lagi memakai status sebagai mukmin, hinggalah ke akhir hayat kita, dan seterusnya moga-moga dengan usaha kita mengekalkan iman itu menjadi layak ke atas kita untuk memasuki syurga bersama-sama baginda yang dicintai, Nabi Muhammad s.a.w.
Wallahu ta'ala a'lam.
Rujukan:
- Al-Bani, Mulla Hasan bin Musa, Kashf al-Burhan fi Sharh Risalah Shaykh Arsalan fi al-Tawhid.
- Al-Sharif Nabil al-Azhari, Bahjah al-Nazar fi Ma Yazid 'ala Arba'umi'ah Su'al fi Matn al-Mukhtasar.

Comments
Post a Comment