Kecintaan Kita Kepada Nabi Muhammad s.a.w


Apabila mempersoalkan tentang cinta, maka perkara pertama yang biasanya hadir dalam fikiran kita ialah suatu keadaan yang berbeza telah berlaku dalam diri seseorang akibat daripada perkenalannya terhadap seseorang yang dipandangnya sebagai orang yang amat dia sukai. Contoh mudah kita boleh ungkapkan ialah cinta antara suami dan isteri. Bermula dengan pandangan mata, kemudian berkenal-kenalan, akhirnya jatuh cinta terhadap pasangannya. Menjadi kuat cinta terhadap pasangannya itu apabila dia mengetahui keperibadian pasangannya itu.

Akan tetapi, terdapat satu keadaan cinta terhadap makhluk yang teramat berbeza hal dan caranya daripada mencintai isteri. Boleh juga saya katakan, cinta ini pada awalnya cinta yang buta. Buta pada mata kepala kerana tidak dapat berjumpa, buta hati juga kerana tidak benar-benar mengenalinya. Namun demikian, cinta sebegini sudah dialami dan dirasai oleh pelbagai manusia di dunia ini sejak dahulu lagi. Benar, itulah cinta kita kepada makhluk yang mulia, yang afdal, yang cantik ciptaan jasad dan rupanya, yang dicintai, kekasih Allah, Muhammad bin Abdullah, Rasulullah s.a.w.

Pada awal kelahiran kita sehingga mencapai tempoh usia mumayyiz, kita tidak pernah bertemu dengan Nabi s.a.w, malah hati kita pada waktu itu belum kenal lagi siapakah gerangan manusia yang mulia tersebut. Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun berlalu, semakin lama, semakin kita kenal Nabi Muhammad s.a.w. Daripada cinta buta, kepada cinta yang bisa memandu kita ke arah celik agama dan akhirat. Luar biasa cinta ini. Sungguh luar biasa.

Tentang cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w, Ibn Battal dan al-Qadi 'Iyad berkata bahawa cinta itu ada tiga:
  1. Cinta kerana menghormati dan memuliakan seseorang, seperti cinta kepada ibu bapa.
  2. Cinta kerana kasih sayang dan belas kasihan, seperti cinta kepada anak-anak.
  3. Cinta yang mengharapkan kebaikan, seperti mencintai manusia secara umum kerana ingin memperoleh kebaikan.
Cinta terhadap Nabi Muhammad s.a.w merangkumi ketiga-tiga jenis cinta di atas. Nabi Muhammad s.a.w adalah insan yang agung, maka baginda layak dihormati. Nabi Muhammad s.a.w adalah insan yang banyak berkorban malah lebih daripada ibu bapa kita, maka baginda layak dikasihi. Nabi Muhammad  s.a.w adalah pesuruh Allah, maka daripada baginda diambil segala kebaikan hasil usaha-usahanya ketika baginda masih hidup iaitu akidah, syariat dan akhlak yang dibawa olehnya.

Maka, bagaimanakah diri kita ini ingin merasai kelazatan mencintai Nabi Muhammad s.a.w? Para ulama telah mengutarakan pelbagai pendapat dan cara bagi memupuk rasa cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w. Antaranya ialah:
  • Mengenali keperibadian Rasulullah s.a.w. dan menghayati sirah baginda.
Langkah yang masyhur dan sering digunakan oleh pelbagai manusia ialah mengenali keperibadian dan menghayati sirah Nabi s.a.w. Sumber-sumber yang boleh kita dapati ialah daripada lisan dan kalam para alim ulama. Para alim ulama mereka memperoleh pelbagai hadis-hadis dan khabar berita tentang baginda daripada guru-guru mereka secara bersanad. Selain itu, terdapat pelbagai kitab sirah dan peribadi Rasulullah s.a.w yang mudah didapati, seperti al-Syama'il al-Muhammadiyyah oleh Imam al-Tirmidhi yang mengandungi hadis-hadis tentang peribadi dan kehidupan Rasulullah s.a.w. Kitab-kitab sirah seperti Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti, al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam dan juga buku-buku sirah dalam bahasa Melayu yang sudah berada di pasaran dan diakui kesahihannya. Tetapkan satu masa untuk membaca kitab-kitab tersebut moga-moga semakin kenal diri Rasulullah s.a.w.
  • Memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w.
Selawat merupakan satu ibadah yang sangat dititikberatkan oleh ramai ulama untuk diamalkan sepanjang hayat kita. Selawat juga menjadi bukti cinta kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. Pepatah Arab pernah mengatakan, "Sesiapa yang cinta kepada sesuatu, akan selalu mengingatinya atau menyebutnya". Pelbagai nas daripada al-Quran dan hadis sering menyebutkan tentang keperluan dan kepentingan berselawat ke atas baginda. Juga dituntut untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. ketikamana nama baginda disebut.
  • Mengamalkan perintah Nabi s.a.w dan sunnahnya serta mencontohi akhlaknya.
Segala perintah Nabi s.a.w yang wajib seperti solat, puasa dan sebagainya, sudah menjadi kemestian dan kewajipan yang tidak perlu lagi dipersoalkan. Segala sunnahnya, zahir dan batin, juga amat dituntut untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Bermula dengan sunnah zahir seperti cara berpakaian, cara berjalan, cara makan, bersiwak hinggalah kepada perkara-perkara batin atau hati seperti tidak sombong, sering berbaik sangka, jujur, tidak riak dan bermacam-macam lagi.
  • Meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w.
Lebih mudah kita katakan: dakwah. Berdakwahlah kepada manusia untuk kembali kepada Allah sedaya mampu kita. Jika kita mampu memberi ceramah, maka teruskanlah. Jika kita mampu menulis, maka tulislah tentang kembali kepada Allah, dan seterusnya. Berdakwah juga mampu menimbulkan rasa menghayati keperitan dakwah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. Segala susah payah berdakwah, Nabi Muhammad s.a.w yang paling banyak menerima dugaan dan paling tabah dalam menempuhinya.

Terdapat pelbagai lagi cara dan kaedah untuk memupuk rasa cinta kita kepada Nabi Muhammad s.a.w yang disebut dan dianjurkan oleh para alim ulama. Kesimpulannya, Nabi Muhammad s.a.w ialah insan yang mulia, agung, dan berjasa kepada kita semua. Tanpa baginda tidaklah kita hari ini berada dalam agama yang diredhai oleh Allah s.w.t. Hayatilah dan kenalilah Nabi Muhammad s.a.w dan kehidupannya agar timbul rasa dalam diri kita rasa rindu dan cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w. Kata Imam al-Busiri,

أكرم بخلق نبي زانه خلق
بالحسن مشتمل بالبشر متسم
كالزهر في طرف والبدر في شرف
والبحر في كرم والدهر في همم

Maksudnya:
"Alangkah mulianya diri Nabi yang dihiasi akhlak terpuji.
Indah pekertinya dan indah ciptaan badannya.
Lembutnya bagaikan bunga, kemuliaannya bagaikan bulan purnama.
Kemurahannya bagai lautan, dan cita-citanya sepanjang masa."
Wallahu a'lam.

Rujukan:
  1. Muhadir Hj Joll, Ingin Ku Balas Cintamu Ya Rasulallah.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Gua Pertama Surah al-Kahf II: Apabila Masa Terhenti oleh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi