Ubat Hafazan dan Karakter Seorang Pendidik
Kisah Imam al-Syafi'i mengadukan hal hafazannya kepada gurunya Waki' merupakan sebuah kisah yang masyhur di kalangan penuntut ilmu. Nasihat yang diterima oleh Imam al-Syafi'i adalah menjauhkan diri daripada maksiat sebagai ubat kepada hafazan beliau.
Waki' merupakan salah seorang ulama besar dalam sejarah Islam. Beliau lahir pada tahun 129 H dan berasal daripada Kufah. Kehebatan Waki' jelas dinyatakan oleh Imam Ahmad (w. 241 H), "Tidak pernah aku lihat sesiapa yang lebih mendalam kefahamannya dan lebih kuat ingatannya selain daripada Waki'."
Terdapat sebuah lagi kisah yang lebih kurang sama pengajarannya antara Waki' dengan Ali bin Khasyram (w. 257 H). Ali bin Khasyram berkata, "Aku tak pernah melihat di tangan Waki' adanya kitab. Sungguh beliau menghafaznya. Maka aku bertanya kepada Waki' tentang ubat kepada hafazan. Maka Waki' berkata, 'Sekiranya aku mengajarkan kepada kamu suatu ubat, adakah kau mahu lakukannya?' Jawabku, 'Ya, demi Allah.' Waki' berkata, 'Tinggalkanlah maksiat, tidak aku cuba selain daripadanya untuk hafazanku.'"
Melihat kepada kedua-dua kisah ini, yakni kisah Imam al-Syafi'i bersama gurunya Waki' , dan kisah Ali bin Khasyram bersama Waki', terdapat beberapa pengajaran yang boleh kita ambil:
- Keperluan meninggalkan maksiat
Kedua-dua kisah di atas menunjukkan bahawa ubat kepada pelupa ialah meninggalkan maksiat. Ubat ini merupakan ubat yang paling mujarab. Kerelevenannya sudah disebutkan oleh Imam al-Syafi'i dalam syairnya bahawa ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan masuk ke hati orang yang bermaksiat kepada Allah.
Tidak dapat dinafikan bahawa meninggalkan maksiat itu susah sekali dan usaha ini menuntut kita untuk meletakkan seluruh tekad, kesungguhan dan keazaman ke martabat yang lebih tinggi. Bermakna, usaha ini memerlukan kesungguhan yang kuat.
Tidak dapat juga dinafikan wujudnya anjuran-anjuran yang lain untuk menguatkan ingatan kita seperti memakan kismis dan madu yang sudah diketahui khasiatnya dalam membantu ingatan kita. Namun, terlebih utama lagi kita mengutamakan nasihat Waki' kerana selain memperoleh ingatan yang kuat, kita juga mendapat pahala kerana meninggalkan perkara yang dibenci oleh Allah s.w.t.
- Hubungan guru dengan murid
Kedua-dua kisah ini menunjukkan adab seorang murid kepada gurunya. Kita dapat lihat melalui kisah yang pertama ketikamana Imam al-Syafi'i sedang memiliki masalah dalam pelajarannya. Maka, beliau meluahkan masalah tersebut kepada gurunya. Ini merupakan satu contoh kepada kita sebagai penuntut ilmu untuk sentiasa akrab dengan guru kita melalui pergaulan.
Keakraban yang ditunjukkan melalui kisah di atas menjadi contoh keakraban murid dengan guru yang rapat. Bukan semua murid mahu meluahkan masalah kepada gurunya, melainkan dengan dua sebab yang relevan:
- Gurunya itu guru yang diketahui amanahnya dan akhlaknya.
- Murid itu rapat dan sudah biasa dengan gurunya melalui pergaulan dan khidmat atau dinamakan sebagai suhbah.
Melalui kisah pertama itu, kedua-dua sebab di atas sudah wujud dalam situasi tersebut. Waki' seorang yang hebat dalam ilmunya, manakala Imam al-Syafi'i rapat dengan gurunya itu.
- Guru sebagai pendidik
Apabila menyebut sebagai pendidik, kadang kala boleh merujuk kepada akhlak, dan kadang kala merujuk kepada ilmu. Ulama-ulama terdahulu mereka merangkumi kedua-dua takrifan pendidik itu. Merekalah pendidik adab dan akhlak, disebut sebagai mu'addib, merekalah pendidik kehidupan, disebutkan sebagai murabbi, membimbing hal ehwal kehidupan muridnya, dan mereka jugalah mu'allim, pendidik ilmu kepada muridnya.
Ciri-ciri pendidik sebeginilah yang ditunjukkan oleh Waki' yang bertindak sebagai mu'allim dan juga murabbi kepada Imam al-Syafi'i. Ciri-ciri sebegini harus dipupuk di kalangan manusia zaman kini kerana ia menuntut kita untuk menjadi orang yang berilmu dan beradab pada waktu yang sama.
- Cakap serupa bikin
Posisi Waki' dalam memberi nasihat berkenaan ubat hafazan ini telah dipraktikkan oleh dirinya sendiri dan ini jelas disebutkan oleh Ali bin Khasyram tadi. Maka, Waki' telah melakukannya terlebih dahulu sebelum menasihati orang lain. Satu karakter pendakwah yang sukar dicapai oleh mana-mana manusia hari ini, iaitu melakukan dahulu sebelum menasihati orang lain.
Kesimpulan
Allah s.w.t menjadikan kisah-kisah para alim ulama sebagai contoh dan panduan kepada kehidupan kita. Adab dan akhlak mereka harus diikuti kerana tidaklah adab mereka itu melainkan sejajar dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Secara keseluruhannya, Waki' menepati ciri-ciri dan karakter seorang alim berdasarkan kisah-kisah di atas.
Wallahu a'lam.
Rujukan:
- Al-Dhahabi, Siyar A'lam al-Nubala'.
- Al-Syafi'i. Diwan al-Imam al-Syafi'i.

Subhanallah..terbaiklah sahabat. Moga Allah berkati usaha dakwah ini
ReplyDeleteSalam syg dr sy,
aqmusleem ^^