Khawf, Raja' dan Menyayangi Makhluk-Nya


Tawus bin Kaysan merupakan seorang tabiin yang masyhur dalam ilmu tafsir. Beliau merupakan salah seorang daripada murid Ibn 'Abbas r.a di Mekah dan mempelajari tafsir al-Quran daripadanya. Suatu hari, Abu Abdullah al-Syami menceritakan, 

"Aku meminta izin Tawus untuk bertanyakan kepadanya tentang suatu masalah. Lalu, keluar dari rumah itu seorang lelaki yang tua. Aku menyangka lelaki tua itu ialah Tawus bin Kaysan. Kemudian, lelaki tua itu pun berkata, 'Tidak, aku ialah anaknya.' Aku berkata, 'Jika kamu ialah anaknya, maka ayah kamu tentu sudah nyanyuk.' Jawab lelaki tua, 'Kamu berkata sebegini!? Sesungguhnya orang alim itu tidak akan nyanyuk.' 

Kemudian aku masuk ke rumahnya, dan setelah itu, Tawus bin Kaysan berkata kepada aku, 'Tanyalah, dan ringkaskan, dan jikalau kau mahu, akan aku ajarkan kepada kamu dalam majlis kami ini tentang al-Quran, Taurat dan Injil.' Lalu aku berkata, 'Sekiranya kamu ajarkan aku tentang perkara itu, aku takkan bertanya lagi tentang perkara yang lain kepada kamu.' Maka Tawus bin Kaysan berkata, 
'Takutilah Allah dengan ketakutan yang tiada lagi yang lain lebih kamu takuti selain-Nya, dan berharaplah kepada-Nya dengan pengharapan yang tinggi daripada ketakutan kamu kepada-Nya, dan sayangilah sekalian manusia sebagaimana kamu menyayangi diri kamu.'"
Kemanisan Khawf dan Raja'

Imam al-Ghazali menyatakan dalam kitabnya, Ihya' Ulum al-Din, bahawa khawf yakni ketakutan ialah rasa kesakitan dalam hati terhadap perkara yang dibenci yang akan berlaku pada masa akan datang. Kenyataan ini juga diungkapkan dalam kitab Penawar Bagi Hati karangan Syeikh Abd al-Qadir al-Mandili dengan ayat yang hampir sama, iaitu pedih hati dan sakit ia dengan sebab yang dibenci pada masa akan datang. Contohnya, ketika seseorang masuk ke dalam hutan, dia berasa takut akan serangan daripada singa. Maka, ketakutannya pada perkara yang dibenci yakni serangan singa, pada masa akan datang yakni serangan itu belum berlaku, tetapi dia sudah berasa takut kepadanya.

Seperti itu juga kita, ekoran daripada dosa-dosa kita, kita berasa takut kepada Allah kerana dosa-dosa kita itu akan ditanya di akhirat dan dihukum dengan azab neraka yang pedih. Maka, perkara yang dibenci itu ialah azab neraka, dan perkara itu belum berlaku lagi, namun ketakutan terhadap azab neraka itu sudah hadir dalam diri kita. Maka demikianlah yang dimaksudkan sebagai takut kepada Allah.

Hakikatnya, tiada siapa lagi yang perlu kita takuti selain daripada Allah, sebagaimana yang diucapkan oleh Tawus bin Kaysan dalam kisah tadi. Hal ini kerana, Allah sahajalah yang mengatur segala-galanya, menjadikan sesuatu perkara itu berlaku, menjadikan kertas itu terbakar, menjadikan bumi ini berputar dan sebagainya. Maka, hanya Allah sahaja yang perlu kita takuti kerana hanya Dia yang berkuasa memasukkan hamba-Nya sama ada ke dalam syurga mahupun neraka. Sudah tentu lebih lagi kita takut kepada Allah apabila kita merasakan dengan dosa-dosa sebelum ini seolah-olah kita layak ke neraka.

Maka dengan rasa khawf inilah lahirnya tindakan untuk kita sentiasa bertaubat, meminta ampun kepada Allah dan sentiasa beristighfar. Timbulnya rasa khawf ini juga menjadikan diri kita lebih berwaspada terhadap tingkah laku zahir dan batin kita agar tidak melanggar larangan Allah dan tidak mengundang murka-Nya.

Adapun raja' iaitu rasa berharap itu ditakrifkan oleh Imam al-Ghazali sebagai suatu rasa kelegaan atau kepuasan dalam hati kerana menunggu datangnya sesuatu yang dicintai. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Tawus bin Kaysan, rasa berharap itu seharusnya berada lebih tinggi daripada rasa takut kepada Allah. 

Hanya Allah sahaja yang layak ditautkan segala pengharapan kita, kerana hanya Dia sahaja yang mampu memberikan apa sahaja. Hanya Dia sahaja yang mengurniakan makanan, minuman, isteri, tempat tinggal dan lain-lain lagi. Hanya Dia sahaja yang menganugerahkan kesihatan, keamanan, kesejahteraan kepada hamba-hamba-Nya. Hanya Dia sahajalah yang berkuasa mencurahkan keampunan, rahmat, berkat dan pertolongan kepada hamba-hamba-Nya yang dikasihi.

Imam al-Ghazali menyamakan seorang hamba yang mengharapkan keampunan daripada Allah seperti seorang pemilik ladang. Setelah bercucuk tanam, dia harus menunggu tanamannya untuk tumbuh dengan sihat dan baik, dan siapa lagi yang mampu menghidupkan melainkan Allah sahaja. Seperti itu juga hamba yang berdosa, pengharapannya agar Allah mengampunkan segala dosa-dosanya itu amatlah tinggi, penantiannya terhadap pengampunan daripada Allah itu amatlah dahsyat, kerana hamba tersebut benar-benar mengetahui bahawa tiada siapa yang mampu mengampunkan segala dosanya melainkan Allah s.w.t, dan Dia-lah satu-satunya Tuhan, tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah.

Ikatan Tali Kecintaan Makhluk Dengan Tali Kecintaan Yang Hakiki

Berhubung dengan pesanan terakhir daripada kisah Tawus bin Kaysan di atas, kita sememangnya dituntut untuk bergaul dengan pergaulan yang baik terhadap sekalian makhluk. Pesanan Tawus bin Kaysan itu meminta kita untuk mencintai makhluk lain sebagaimana kita mencintai diri kita. Sebagaimana kita mahukan kita dilayan dengan layanan yang baik, seperti itu juga makhluk yang lain mahukan. 

Oleh yang demikian, Habib Muhammad as-Saqqaf menyatakan bahawa akhlak manusia terhadap makhluk lain ialah sebagaimana kita mahukan orang lain berlaku baik terhadap kita, seperti itulah kita berlaku baik terhadap makhluk lain. Jika kita berasa tidak suka dicaci, seperti itu jugalah orang lain berasa bahawa mereka tidak suka dicaci. Jika kita berasa tidak suka dibukakan aib terhadap orang lain, seperti itu juga manusia yang lain, juga tidak suka aibnya dibuka. Jika kita berasa kita sendiri suka dibantu oleh orang lain, seperti itu jugalah orang lain sukakan dirinya dibantu. Maka, janganlah kita mencaci orang lain, janganlah kita mula membuka aib orang lain, bantulah saudara-saudara kita yang lain dan lakukanlah kebaikan kepada sekalian makhluk Allah s.w.t.

Sebagaimana kita mahu masuk ke syurga, seperti itu juga saudara seislam kita yang lain, juga ingin masuk ke syurga. Maka, ajaklah mereka melakukan perkara-perkara yang mampu melayakkan kita sebagai ahli syurga. Manifestasi cinta terhadap saudara kita ialah dengan berusaha untuk membawa mereka ke arah cinta kepada Allah dengan membawa mereka bersama-sama ke arah melakukan amal soleh dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka, takrifan cinta yang sebenar daripada diri kita terhadap saudara-saudara kita ialah mengajak mereka mencintai yang lebih berhak dicintai iaitu Allah s.w.t. Tariklah tali-tali cinta kita terhadap makhluk dan ikatkan tali-tali tersebut dengan tali kecintaan kepada Allah.

Kesimpulan

Tiga pesanan daripada Tawus bin Kaysan merupakan asas terpenting dalam membina jiwa Muslim yang sejati. Muslim yang menepati pesanan-pesanan tersebut haruslah dijadikan contoh yang terbaik untuk mencerminkan diri kita. Sudah tentu ketiga-tiga pesanan tadi menepati dengan keperibadian junjugan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Menerusi pembinaan jiwa Muslim yang sebenar ini juga mampu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan aman kerana kebergantungan yang mutlak terhadap Allah dan kesedaran untuk saling membantu sesama manusia. Bermula dengan pemupukan rasa kehambaan dalam diri, diikuti dengan pembinaan akhlak terhadap sekalian makhluk, akhirnya mewujudkan sebuah saluran cinta yang indah kepada Allah s.w.t.

Ayuh sama-sama kita menimbulkan rasa takut kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar ketakutan, meletakkan pengharapan kepada Allah s.w.t dengan setinggi-tinggi pengharapan, dan berlaku baik kepada makhluk semuanya.

Wallahu a'lam.

Rujukan:
  1. Al-Dhahabi, Muhammad Husayn, al-Tafsir wal Mufassirun.
  2. Al-Dhahabi, Siyar A'lam al-Nubala'.
  3. Al-Ghazali, Ihya Ulum al-Din.
  4. Al-Mandili, Abd al-Qadir, Penawar Bagi Hati.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah