Kesedaran Ketika Memiliki Harta


Harta merupakan suatu perkara yang sering dibincangkan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Daripada rakyat marhaen sehinggalah kepada para pemimpin, mulut mereka segera basah dengan perbualan tentang harta. Bahkan, ulama juga sering membincangkan tentang harta. Hal ini berlaku kerana harta juga sebahagian daripada kehidupan seorang muslim, maka para ulama berasa bertanggungjawab untuk mengkaji dan menjelaskan perincian tentang harta menurut perspektif Islam.

Di sisi ulama, terdapat pelbagai takrifan harta. Sebahagian ulama menyatakan bahawa harta itu ialah sesuatu perkara yang dicenderungi atau dikehendaki oleh manusia dan boleh disimpan pada waktu yang dikehendaki. Selain itu, sebahagian ulama menjelaskan bahawa harta ialah setiap perkara yang boleh dimiliki dan diperoleh manfaat daripadanya. 

Namun demikian, apabila kita menelusuri takrifan-takrifan sama ada yang disebut di atas mahupun yang tidak dinyatakan, kita dapat lihat bahawa harta itu sering berkait rapat dengan pemilikan dan kemahuan. Harta sememangnya untuk dimiliki, dan pemilikannya berdiri atas rasa mahu dan berhajat kepadanya, sama ada dalam keadaan terdesak, atau atas dasar suka-suka.

Tidak dapat dinafikan, harta mendapat tempat yang agak tinggi di sisi manusia, termasuk dalam senarai kemahuan manusia secara umum. Sepertimana manusia itu mahu bersosial, berhibur, seperti itu juga status harta. Untuk menilai betapa bernilainya sesuatu perkara, cuba rasakan akan kehilangannya, dan lihatlah betapa kita amat berhajat kepadanya. Cuba lihat mangsa peperangan, kawasan rumah mereka hilang dihancurkan penjajah, maka kita dapat lihat bahawa mereka amat berhajat kepada rumah sebagai tempat perlindungan. 

Seperti itu juga harta, pandanglah terhadap orang miskin, kemahuan mereka terhadap harta amat tinggi untuk menjana kembali pendapatan hidup mereka, maka dapat kita lihat bahawa harta itu amat bernilai di sisi manusia. Kepentingan harta itu tidak sama dengan kepentingan oksigen. Oksigen jika kita bernafas, sama ada banyak atau sedikit, kondisinya tetap sama. Namun, harta jika kita menggunakannya secara berlebihan, keadaannya akan jadi berbeza dengan penggunaan yang sedikit.

Harta yang Banyak, Harta yang Sedikit

Ketikamana memiliki harta yang melimpah ruah, dan terus mengejar harta yang lain, mendambakan harta yang semakin bertambah, maka bercambahlah cintanya kepada dunia. Hidupnya cinta kepada dunia akan mematikan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Tiada lagi di matanya segala amal kebajikan dan ketaatan, hanya tinggal pujian dan sanjungan serta kekayaan yang melimpah ruah sering berjalan di hadapan matanya. Maka ini merupakan suatu bencana yang amat bahaya buat manusia.

Apabila kita kekeringan harta, yang tinggal sama ada sekadar mencukupi diri atau terpaksa diminta-minta setiap hari. Maka, kekurangan harta itu menjadikannya senang kerana tiada apa yang perlu dibazirkan, semuanya berguna, semuanya bernilai. Apabila diperoleh, dijaga baik-baik, apabila hilang, dinanti dan diusaha dengan penuh kerendahan. 

Antara Syukur dan Kufur

Namun, sama ada berlebihan atau kekurangan, bukan ini yang kita bicarakan, akan tetapi yang kita sedang bicara ialah sikap kita berinteraksi dengan Allah melalui harta yang kita miliki.

Syukurnya manusia kepada Allah atas pemberian-Nya terhadap manusia itu membuahkan rasa senang dan aman dalam kehidupannya. Sama ada hartanya melimpah ruah mahupun sekadar kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang. Jika kaya, murah hatinya, jika miskin, semakin hebat sabarnya. Asal ada syukur dan redha dengan apa yang ada, rasa damai akan mekar di hatinya. Maka tidak lagi yang keluar daripada perbuatannya melainkan perbuatan yang baik seperti suka bersedekah dan suka membantu orang lain.

Kufur atau ingkar akan perintah Tuhan, berikutan daripada meliarnya pokok-pokok cinta terhadap dunia dan harta dalam hatinya tidak lain hanyalah membuatkan dirinya berasa gelisah dan tidak senang. Yang kaya, risau hartanya berkurangan, takut menjadi fakir. Yang miskin, gelisah akan hartanya kehilangan, takut tidak berjaya menjadi kaya. Maka, timbullah tingkah laku yang tidak menyenangkan hasil dari hati yang bercelaru seperti kedekut dan suka mencuri.

Manfaat Harta Untuk Dikongsi

Jika kita melihat dari sudut harta sebagai perkara yang boleh diambil manfaat, maka kita lihat manfaat itu bukan sekadar untuk diri sendiri, seperti mampu memudahkan perjalanan dengan kereta, mengenyangkan perut dengan makanan, menyumbang kekuatan untuk beribadah dengan minuman, akan tetapi lihatlah bahawa manfaat itu juga harus dikongsi bersama manusia yang lain.

Manfaat daripada harta buat keluarga paling mudah untuk dijelaskan. Si bapa mencari pendapatan hidup, dan perolehannya bukan untuk dinikmati secara peribadi, tetapi untuk dikongsi dan diberikan sebagai nafkah terhadap si isteri dan anak-anak, serta diberikan juga kepada ibu bapa dan ahli keluarganya yang lain.

Melalui harta, manfaatnya disumbang untuk ummah. Bantu orang miskin dan fakir, membayar zakat, merancang ekonomi ummah dan sebagainya. Mudah cerita, manfaat itu bukan untuk dinikmati seorang sahaja, namun manfaat itu harus dikongsi bersama manusia yang lain. Hal ini bukan sahaja mencerminkan akhlak yang baik semata-mata, atau sekadar membantu produktiviti ummah, tetapi juga sebagai satu cara mempelbagaikan konsep syukur kepada Allah melalui bantuannya terhadap hamba-hamba-Nya yang lain.

Kesimpulan

Kaya atau miskin, hanyalah ujian terhadap kita untuk meraih kehidupan yang sebenar. Harta hanyalah satu bentuk gangguan dalam meniti jalan menuju Allah. Namun, gangguan ini jika menggunakannya dengan hati yang bersinar dengan mengingati Allah, akan menjadi sahabat kepada kita, jika kita menggunakannya dengan dirasuki hawa nafsu, menjadi ancaman besar buat kita.

Kehidupan yang sebenar ialah kehidupan yang dilimpahi dengan keredhaan Allah. Bagi mengundang redha Allah ke dalam kehidupan kita, memerlukan amal kebajikan dan hati yang bersih dengan mengingati-Nya. Seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud,

"Jangan melupakan akan kamu oleh segala harta kamu dan segala anak kamu daripada zikrullah Taala (mengingati Allah)." (al-Munafiqun: 9)

Kata Imam al-Ghazali,
"Harta itu ada kalanya dipuji syarak dan ada kalanya dicela oleh syarak. Dan yang dipuji syarak itu iaitu harta yang dibuat sedekah dan harta yang dibuat bekal naik haji dan sekalian yang dibelanjakan pada jalan akhirat (ketaatan kepada Allah). Dan harta yang dicela oleh syarak itu harta yang dibelanjakan kepada berbuat maksiat dan harta yang dibelanjakan kepada yang disukai oleh nafsunya yang tiada membawa kepada faedah akhirat (pahala)."
Semoga Allah mengampuni dosa kita dan meredhai kita.

Rujukan:
  1. Abd al-Samad al-Falimbani, Hidayatus Salikin.
  2. Adil Akhyar, Benarkah Miskin itu Redha Kaya itu Bersyukur?
  3. Zaidan, Abdul Karim, al-Madkhal li Dirasah al-Shari'ah al-Islamiyyah.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah