Kembali


Begitu cepat masa berlalu, dan laman ini sunyi tanpa artikel sejak tahun 2015. Boleh dikatakan tahun 2016 adalah tahun permulaan saya meneroka dunia ilmiah, dan sehingga kini saya masih lagi meniti dalam dunia ini, sedikit demi sedikit cuba mengikuti jejak langkah orang-orang hebat yang lebih dahulu, dahulu dari segi waktu dan juga kematangan akal dan ilmunya. Oleh sebab itu, secara tidak sengaja saya telah pun meninggalkan laman ini tanpa sebarang perkembangan, tidak terusik walau sekelumit pun.

Walau bagaimanapun, menulis masih menjadi hobi kegemaran saya, dan saya sangat merindui keseronokan menulis di laman ini seperti dahulu. Laman ini adalah cebisan daripada sejarah hidup saya. Melihat kembali artikel-artikel lama membuatkan saya termenung panjang kerana tidak menyangka begitu banyak perubahan yang telah saya lalui. Belum kira lagi laman-laman lain yang pernah saya bina sebelum laman ini, misalnya laman Tumblr saya yang telah saya tamatkan beberapa tahun yang lalu. Saya pernah terfikir untuk menamatkan laman ini dan memulakan laman baru sebagai lambang permulaan diri saya yang baru. Namun, akhirnya saya memutuskan untuk mengekalkan laman ini, serta beberapa artikel lama pilihan saya, sebagai kenangan dan refleksi. Laman ini memang bermakna buat diri saya.

Demi mengembalikan semula keseronokan itu, saya akan cuba menghidupkan semula laman ini dengan menulis artikel-artikel yang baru. Namun, saya akan mengambil pendekatan yang sedikit berbeza berbanding sebelum ini. Jika sebelum ini saya lebih kerap menulis penulisan yang santai, kali ini saya akan cuba lebih kerap menulis penulisan yang lebih berilmiah dan akademik. Tema saya pula akan lebih banyak berkisar pada bidang akidah Islam, memandangkan saya pun sedang mendalami bidang ini, tema-tema lain juga tidak akan saya abaikan. Selain itu, saya juga akan memuatkan laman ini dengan terjemahan saya terhadap beberapa artikel berbahasa Arab ke bahasa Melayu serta ulasan-ulasan tentang beberapa buku pilihan. Akhir kata, mudah-mudahan sumbangan dan usaha kecil saya ini dipandang oleh Allah dan memberi manfaat terutamanya buat diri saya di dunia dan di akhirat nanti. Moga-moga dengan wajah yang lebih terkini ini memberi nafas baru buat laman ini, sebagai tanda permulaannya yang baharu.

Comments

Post a Comment

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah