Peringkat-Peringkat Tarbiah Fiqah di Zaman Rasulullah s.a.w
Judul penuh buku ini ialah Lamahat min al-Tarbiyyah al-Fiqhiyyah fi Khayr al-Qurun Zaman al-Risalah wa 'Asr al-Sahabah wa al-Tabi’in. Buku ini ditulis oleh Dr. Muhammad Abd al-Halim al-Nu’mani, seorang muhaddith merangkap ketua jabatan Ulum Hadis Nabawi Sharif di Universiti al-‘Ulum al-Islamiyyah di Karachi, Pakistan. Buku ini diterbitkan kali pertama pada tahun 2014 oleh syarikat Dar al-Fath yang bertempat di Amman, Jordan. Buku ini tidak tebal, hanya berjumlah 80 muka surat sahaja, namun ia mengandungi ilmu dan maklumat yang berharga.
Antara kandungannya yang menarik ialah mengenai peringkat-peringkat tarbiah fiqah yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w terhadap para sahabatnya. Setiap daripada kita pasti pernah terfikir bagaimanakah bidang fiqah mula berkembang di zaman Nabi s.a.w, zaman bermula turunnya wahyu, zaman sebelum lahirnya imam-imam empat mazhab yang masyhur. Maka, dalam bahagian Uslub al-Nabi Salla Allah ‘alayh wa Sallam fi Tafqih al-Sahabah, penulis buku ini menerangkan peringkat-peringkat Nabi s.a.w mengajar dan mendidik para sahabat sehinggalah mereka berjaya menjadi fuqaha. Oleh itu, di kesempatan ini, kita akan menceritakan dan mengulas setiap peringkat tersebut secara ringkas sahaja seperti yang dihuraikan oleh penulis dalam bukunya ini.
Pertama: Peringkat galakan (marhalah al-targhib)
Nabi Muhammad s.aw sangat mengambil berat usaha mengajar dan mendidik para sahabatnya agar mereka memahami agama dan kaedah mengistinbat hukum. Pada peringkat pertama, Rasulullah s.a.w memberi galakan kepada para sahabatnya untuk memahami Islam dan hukum-hakam fiqahnya. Antara galakan terawal tersebut ialah wahyu pertama daripada Surah al-‘Alaq yang menyuruh kita untuk membaca. Seterusnya, penulis menyenaraikan beberapa hadis Nabi Muhammad s.a.w mengenai galakan berupa janji dan ganjaran daripada Allah kepada para fuqaha dan mujtahid. Antaranya ialah:
- “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah untuk memperoleh kebaikan, diberinya kefahaman dalam agama.”
- Ganjaran dua pahala bagi ijtihad yang tepat dan satu pahala bagi ijtihad yang tidak tepat.
- Perumpamaan manfaat orang yang memahami agama dengan tanah yang subur.
Natijahnya, para sahabat mula berminat untuk memahami Islam dengan lebih mendalam dan juga membincangkan permasalahan fiqah. Penulis juga menyenaraikan beberapa hadis yang membuktikan perkara ini. Antaranya ialah:
- Nabi s.a.w memilih untuk duduk bersama halakah pengajaran dan pembelajaran.
- Para sahabat berbincang mengenai hukum orang berihram memakan binatang buruan sehingga membuatkan Nabi s.a.w terjaga namun tidak memarahi mereka, menunjukkan Baginda s.w. meredai perbincangan fiqah seperti itu.
- Kisah tawanan Badar yang disyaratkan mengajar 10 kanak-kanak Muslim menulis sehingga mahir.
Kedua: Peringkat pengajaran dan pemahaman (marhalah al-ta’lim wa al-tafqih)
Peringkat ini mula dilaksanakan di Dar al-Arqam, Mekah, yakni ketika Islam masih lagi di peringkat awal. Ketika itu, Rasulullah s.a.w mengajar dan memahamkan para sahabatnya tentang perkara yang terkandung dalam wahyu yang berkaitan hukum-hakam. Buktinya, ketika Sayyidina ‘Umar al-Khattab r.a memeluk Islam, beliau meminta mushaf al-Quran daripada saudara perempuannya, lalu dia berkata kepadanya, “Sesungguhnya kamu kotor, dan ia tidak boleh disentuh melainkan orang-orang yang suci.” Menurut penulis, sahabat perempuan tersebut telah pun memahami sebahagian permasalahan berkenaan taharah dan memegang mushaf, sedangkan pada waktu itu Islam masih di peringkat permulaan.
Selain itu, penulis berpendapat peringkat kedua ini juga dapat dilihat pada penubuhan al-Suffah di Masjid Nabawi selepas hijrah ke Madinah. Al-Suffah menjadi tempat tinggal bagi Muslimin yang fakir dan rombongan yang datang dari jauh. Di situ, Nabi Muhammad s.a.w berkumpul bersama para sahabat, membacakan al-Quran kepada mereka dan menjelaskan perkara-perkara halal dan haram. Mereka juga berpeluang menyaksikan sendiri perbuatan Baginda s.a.w, daripada berdiri dan duduknya sehinggalah kepada kaifiat solat dan puasanya. Tiada satu pun yang tertinggal melainkan mereka telah memahaminya, menghafaznya, memahirinya dan mempraktikkannya.
Penulis juga menukilkan beberapa riwayat berkenaan pendidikan dalam kalangan al-Suffah. Antaranya, Rasulullah s.a.w pernah membacakan al-Quran dalam keadaan lapar kepada golongan al-Suffah. Anas bin Malik r.a menyebutkan bahawa kerja al-Suffah ialah memahami al-Quran dan mengajarkannya. Abdullah bin Mas’ud r.a yang juga salah seorang graduan al-Suffah, menceritakan kaedah pembelajaran al-Suffah, “Jika kami sudah mempelajari 10 ayat al-Quran daripada Nabi s.a.w, kami tidak akan mempelajari 10 ayat yang diturunkan selepasnya melainkan kami mengetahui perkara yang terkandung dalamnya (ayat-ayat yang terdahulu).”
Manakala pembelajaran al-Suffah daripada kalangan rombongan dari jauh pula antaranya seperti ketua rombongan ‘Abd al-Qays, Abdullah bin al-Ashajj r.a yang pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang fiqah dan al-Quran, dan juga ketua rombongan Thaqif, ‘Uthman bin al-‘As r.a yang sering berjumpa Baginda s.a.w untuk bertanya tentang agama dan memintanya membacakan al-Quran sehingga beliau menjadi alim dan faqih dalam agama. Jika Rasulullah s.a.w sedang tidur, beliau akan berjumpa Sayyidina Abu Bakar r.a. Rombongannya juga sering berjumpa Rasulullah s.a.w setiap hari untuk mempelajari Islam.
Para graduan al-Suffah semuanya berhasil menjadi para fuqaha yang utama dalam kalangan sahabat. Mereka semua memperuntukkan seluruh waktu mereka untuk mempelajari dan memahami Islam serta hukum-hakamnya. Antara yang disenaraikan oleh penulis ialah keempat-empat Khulafa’ al-Rashidin r.a, Ibn Mas’ud r.a, Abu al-Darda’ r.a, Ibn ‘Umar r.a dan lain-lain lagi. Para sahabat daripada kalangan Muslimah r.a juga terlibat dalam peringkat ini, seperti kata Imam al-Bukhari, “Sebaik-baik perempuan-perempuan ialah perempuan-perempuan Ansar, perasaan malu tidak menghalang mereka daripada memahami agama.” Maka, penulis merumuskan bahawa al-Suffah ialah kuliah terawal yang diasaskan untuk pendidikan dan pemahaman ilmu-ilmu Islam.
Ketiga: Peringkat latihan dan pengukuhan (marhalah al-tamrin wa al-tahqiq)
Pada peringkat ini, Nabi Muhammad s.aw menunjukkan para sahabatnya kaifiat mengetahui perbandingan antara dua situasi untuk mereka mengaplikasikan qiyas. Mereka juga diajar tentang kaedah mengistinbat hukum-hakam daripada nas-nas yang ada, untuk mengetahui hukum-hakam bagi situasi-situasi yang tiada nas tentangnya.
Penulis juga menyenaraikan beberapa hadis berkaitan peringkat ini. Antaranya, seorang lelaki bertanya kepada Nabi s.a.w tentang nazar ibunya untuk menunaikan haji, namun dia wafat sebelum dapat melaksanakannya. Rasulullah s.a.w bersabda kepada lelaki itu, “Jika dia mempunyai hutang, adakah kamu menyelesaikannya?” Lelaki tersebut berkata ya, dan Baginda s.a.w bersabda, “Maka, selesaikanlah hutang dengan Allah, ia lebih patut untuk diselesaikan.” Terdapat juga hadis-hadis lain mempunyai situasi yang serupa dengan hadis ini.
Menurut penulis, hadis di atas dan hadis-hadis yang seumpamanya itu merupakan contoh uslub ilmiah Baginda s.a.w dalam mendidik para sahabat tentang kaedah istinbat hukum-hakam yang baru daripada situasi yang serupa dengannya. Melalui uslub ini juga Rasulullah s.a.w mengajarkan mereka cara menggunakan akal untuk mengetahui hukum sesuatu perkara. Hasil didikan Baginda s.a.w, terbentuklah sekumpulan sahabat yang memiliki kefahaman yang mendalam. Mereka juga mampu mengetahui makna-makna yang tersembunyi di sebalik zahir lafaznya dengan menggunakan kebijaksaan dan penggunaan akal mengikut kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
Kemudiannya, penulis menyenaraikan beberapa hadis berkaitan penggunaan akal untuk mengetahui hukum dalam kalangan sahabat. Antaranya ialah kisah pesanan Nabi s.a.w ketika peristiwa Ahzab kepada para sahabatnya, “Jangan salah seorang daripada kamu menunaikan solat Asar melainkan di Bani Qurayzah.” Lalu waktu asar masuk dan mereka masih lagi dalam perjalanan. Sebahagian daripada mereka tidak menunaikan solat Asar kerana berpegang dengan zahir pesanan Nabi s.a.w, manakala sebahagian yang lain menunaikannya kerana berpendapat bukanlah maksud Nabi s.a.w itu terus tidak menunaikan solat Asar. Apabila perkara ini diceritakan kepada Rasulullah s.a.w, tiada sesiapa pun yang dimarahi olehnya. Terdapat juga hadis-hadis lain yang dinukilkan oleh penulis, tetapi tidak dinukilkan di sini kerana panjang dan berkongsi situasi yang hampir sama.
Menurut penulis, hadis ini dan hadis yang sepertinya itu menunjukkan bahawa penggunaan akal dalam memahami hukum dan ijtihad akal untuk mengetahui maksud nas-nas telah pun dilakukan di zaman Nabi s.a.w. Para sahabat tersebut telah berijtihad dalam situasi yang tidak terdapat dalam nas, dan Rasulullah s.a.w pula tidak hadir bersama mereka. Lalu apabila diceritakan kepadanya, Baginda s.a.w mengakui dan menjelaskan kesilapan mereka, tanpa memarahi mereka kerana menggunakan akal, bahkan kadang kala tersenyum dan juga ketawa, seolah-olah menunjukkan baiknya perbuatan mereka itu.
Bahkan, penulis juga menyebutkan terdapat beberapa riwayat berkenaan kritikan Nabi Muhammad s.a.w terhadap situasi pengabaian peranan akal dalam mengetahui hukum. Antaranya, situasi seorang lelaki yang mengalami pendarahan di kepalanya dan dia bermimpi basah. Dia bertanya kepada sahabat-sahabatnya jika ada rukhsah baginya, tetapi mereka menafikannya kerana berpendapat dia masih mampu menggunakan air. Lelaki tersebut mandi dan akhirnya dia meninggal dunia. Apabila diceritakan kepada Rasulullah s.a.w, Baginda s.a.w bersabda, “Mereka telah membunuhnya, Allah membunuh mereka. Mengapa mereka tidak bertanya kalau mereka tidak tahu? Sesungguhnya ubat kejahilan itu ialah bertanya.” Menurut penulis, ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w membenci sesiapa yang mengabaikan akal dalam memandu dirinya agar sampai kepada maksud sesuatu makna.
Keempat: Peringkat aplikasi secara praktikal (marhalah al-tatbiq al-‘amali)
Pada peringkat ini, Nabi Muhammad s.a.w akan menghakimi para sahabat dalam beberapa permasalahan di bawah pengawasan Baginda s.a.w sendiri. Ini bertujuan supaya mereka menjadi bijaksana daripada latihan amali, dan untuk Rasulullah s.a.w mengetahui sejauh mana kemahiran mereka terhadap kelengkapan fiqah dan ijtihad.
Penulis juga menyenaraikan beberapa hadis berkaitan peringkat ini. Antaranya, ‘Amr bin al-As r.a pernah disuruh oleh Rasulullah s.a.w untuk menyelesaikan kes dua orang yang sedang berselisih faham. Beliau berkata, “Wahai Rasulullah! Aku menyelesaikan masalah mereka dan kamu hadir bersama?” Sabda Baginda s.a.w, “Ya, jika kamu berijtihad dan ia betul maka bagi kamu sepuluh kebaikan, dan jika kamu silap maka bagi kamu satu kebaikan.”
Begitu juga Sa’d bin Mu’adh r.a yang disuruh oleh Nabi s.a.w berijtihad terhadap Bani Qurayzah. Beliau berijtihad agar dibunuh orang-orang yang berperang antara mereka dan jadikan anak-anak mereka sebagai tawanan. Lalu Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya kamu telah berhukum terhadap mereka dengan hukum Allah.”
Selain itu, antara contoh peringkat amali ini juga ialah pemberian tugas mengajar, seperti ‘Ubadah bin al-Samit r.a yang ditugaskan untuk mengajar al-Quran kepada sekumpulan ahli al-Suffah. Sebahagian sahabat yang lain pula telah pun menguasai bidang fatwa ketika masih lagi berada di zaman Nabi s.a.w, antaranya ialah keempat-empat Khulafa’ al-Rashidin r.a, ‘Abd al-Rahman bin ‘Awf r.a dan Mu’adh bin Jabal r.a.
Rasulullah s.a.w juga menitikberatkan kepentingan mengajar kepada orang awam dan merujuk kepada para fuqaha dan alim. Menurut penulis, terdapat satu khutbah yang dibawakan oleh Ibn ‘Asakir, Baginda s.a.w mewajibkan setiap orang yang faqih untuk mendidik dan memberi kefahaman kepada orang lain dan jangan sesekali cuai, serta mewajibkan setiap orang yang tidak faqih untuk mempelajari dan memahami dengan merujuk kepada para fuqaha.
Kelima: Peringkat pelaksanaan dan pentauliahan (marhalah al-tanfidh wa al-tafwid)
Pada peringkat ini, Nabi Muhammad s.a.w menggalakkan lagi para sahabat yang telah faqih untuk terus giat berfikir semasa Baginda s.a.w masih hidup dengan mengutuskan mereka ke negeri-negeri lain untuk menyampaikan kefahaman kepada penduduknya. Antara para sahabat yang telah disenaraikan oleh penulis ialah:
- Mus’ab bin ‘Umayr r.a. Beliau pernah diutuskan oleh Rasulullah s.a.w ke Madinah ketika di awal Islam lagi iaitu ketika peristiwa Aqabah pertama sebelum Hijrah. Beliau diperintahkan untuk membacakan al-Quran, mengajar Islam dan memberi kefahaman agama kepada penduduk Madinah ketika itu, sehingga beliau digelar al-Muqri’.
- Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib r.a. Beliau pernah diutuskan ke Yaman.
- Mu’adh bin Jabal r.a. Beliau pernah diutuskan ke Mekah ketika perisitwa Hunayn untuk memberi kefahaman dan membacakan al-Quran kepada penduduk Mekah. Beliau juga pernah diutuskan ke Yaman seperti yang masyhur diketahui kerana ia menjadi sandaran dalam turutan berhukum, bermula dengan al-Quran, setelah itu hadis dan kemudiannya akal.
- ‘Uthman bin Abi al-As r.a. Beliau pernah diutuskan ke Thaqif setelah penduduk di kota tersebut memeluk Islam. Ketika itu beliau masih lagi muda, tetapi beliau dipilih kerana beliau antara yang sangat bersungguh-sungguh dalam usaha menyampaikan kefahaman Islam dan mengajar al-Quran.
- ‘Amr bin Hazm r.a. Beliau pernah diutuskan ke Najran untuk memberikan kefahaman agama dan mengajar Sunnah serta ajaran-ajaran Islam seperti fardu haji kepada kabilah Bani al-Harith.
- Abu Musa al-Ash’ari r.a. Beliau pernah diutuskan ke Yaman bersama-sama Mu’adh bin Jabal.
Mereka inilah daripada kalangan orang-orang yang berjaya dalam tarbiah fiqah hasil didikan Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w sangat gembira dan bersyukur dengan kejayaan mereka ini seperti yang jelas terlihat dalam perbualan Baginda s.a.w dengan Mu’adh bin Jabal. Apabila Mu’adh menceritakan bagaimana beliau berhukum, Rasulullah s.a.w bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulullah ini selaras dengan apa yang diredai oleh Rasulullah s.a.w.”
Menerusi peringkat-peringkat inilah Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan risalahnya dan melaksanakan amanahnya, dengan membimbing para sahabat dalam berijtihad berlandaskan jalan yang sebenar. Perginya Baginda s.a.w tanpa merisaukan akan terjadinya pengabaian agama atau kejadian baharu yang tidak diingini, kerana Baginda s.a.w meninggalkan ramai fuqaha yang bijaksana dan pakar dalam mengistinbat hukum dan meneliti pelbagai permasalahan.
Rujukan:
- Al-Nu'mani, Muhammad 'Abd al-Halim. 2014. Lamahat min al-Tarbiyyah al-Fiqhiyyah fi Khayr al-Qurun Zaman al-Risalah wa Asr al-Sahabah wa al-Tabi'in. Amman: Dar al-Fath.

Comments
Post a Comment