Keteguhan Akidah Imam Ahmad dan Para Ulama Dalam Peristiwa al-Mihnah


Peristiwa al-Mihnah adalah suatu peristiwa ketikamana para ulama telah dibicara dan dipaksa agar berpegang dengan doktrin khalq al-Quran, iaitu doktrin bahawa al-Quran adalah makhluk dan bukan qadim. Peristiwa ini berlaku di zaman khilafah Abbasiyyah semasa pemerintahan Khalifah al-Ma’mun (m. 218 H) bermula kira-kira pada tahun 218 H, yakni ketika masih di zaman Salaf al-Salih. Peristiwa ini menyaksikan para ulama telah dipaksa manakala sebahagiannya pula diseksa sehingga terkorban kerana enggan berpegang dengan doktrin tersebut.

Pada asalnya, doktrin khalq al-Quran mula timbul lebih awal lagi menerusi al-Ja’d bin Dirham (m. 105 H) dan muridnya al-Jahm bin Safwan (m. 128 H). Doktrin ini kemudiannya dimasyhurkan oleh tokoh-tokoh Muktazilah yang mengukuhkannya dengan hujah-hujah akal serta mempertahankannya di pentas-pentas perdebatan. Perbahasan ini sangat rumit dan bukanlah ini tujuan perbincangannya. Namun secara ringkasnya, Muktazilah tidak menetapkan sifat kalam bagi Allah, maka mereka berpendapat al-Quran itu keseluruhannya adalah makhluk dan baharu. Manakala Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah pula menetapkan sifat kalam bagi Allah Taala, dan bahawa al-Quran adalah kalam Allah. Maka, al-Quran bersifat qadim, iaitu dari sudut makna-maknanya. Adapun al-Quran dari sudut berupa mushaf, yang terdiri daripada huruf dan suara, maka ia adalah baharu. Hal ini kerana huruf, suara dan seumpamanya adalah makhluk dan tidak layak bagi Allah SWT. 

Doktrin khalq al-Quran diterima baik oleh Khalifah al-Ma’mun yang cenderung terhadap pemikiran Muktazilah hasil didikan tokoh Muktazilah Abu Hudhayl al-‘Allaf (m. 253 H). Pada tahun 212 H, Khalifah al-Ma’mun mengumumkan bahawa doktrin khalq al-Quran adalah pegangan yang sahih. Akan tetapi, beliau tidak mengenakan paksaan terhadap sesiapa pun untuk berpegang dengan doktrin ini. Dalam medan perdebatan dan perbincangan, Khalifah al-Ma’mun berusaha mempertahankan kesahihan doktrin khalq al-Quran dengan hujah-hujahnya. Namun, beliau lebih cenderung membiarkan orang lain bebas memilih pendapat mereka masing-masing.

Keadaan mula berubah pada tahun 218 H apabila Khalifah al-Ma’mun mula memaksa orang ramai berpegang dengan doktrin khalq al-Quran. Ketika itu beliau berada di Raqqah. Perintah ini dikeluarkan menerusi surat yang ditulis oleh setiausahanya yang juga ulama Muktazilah, Ahmad bin Abi Du’ad. Dalam surat yang pertama, Khalifah al-Ma’mun memerintahkan agar para qadi dan staf kerajaan dipanggil untuk disoal dan dibicarakan pandangan mereka terhadap al-Quran. Beliau tidak mahu dibantu oleh mereka yang akidahnya tidak boleh dipercayai dan beliau bersedia memecat sesiapa yang tidak berpegang dengan doktrin khalq al-Quran. Selain itu, beliau juga memerintahkan agar dibicarakan juga ke atas mereka yang mempunyai urusan dengan mahkamah. Jika seseorang saksi enggan mengakui bahawa al-Quran adalah makhluk, maka kesaksiannya akan dilucutkan. 

Surat Khalifah al-Ma’mun yang pertama ini diutus ke Baghdad untuk dilaksanakan oleh naibnya, Ishaq bin Ibrahim. Setibanya surat tersebut di Baghdad, Ishaq segera menghimpunkan para qadi serta golongan lain yang telah disebutkan dalam surat tersebut. Beliau membacakan surat ini kepada mereka sehingga mereka memahaminya, lalu menyoal setiap seorang tentang pendapat mereka berkenaan al-Quran. Perbicaraan ini tamat setelah tibanya surat yang kedua daripada Khalifah al-Ma’mun. 

Dalam surat kedua, Khalifah al-Ma’mun memerintahkan agar dibacakan suratnya kepada Ja’far bin 'Isa dan qadi ‘Abd al-Rahman bin Ishaq serta dibicarakan pendapat mereka berdua tentang al-Quran. Jika mereka berdua mengaku bahawa al-Quran adalah makhluk, maka dibicarakan pula seterusnya terhadap saksi-saksi dalam kes kendalian mereka berdua. Jika saksi-saksi tersebut enggan berpegang dengan doktrin khalq al-Quran, maka kesaksian mereka akan dibatalkan dan kes mereka tidak akan diputuskan. Di samping itu, Khalifah al-Ma’mun juga mengarahkan agar perbicaraan ini turut dilaksanakan terhadap para qadi lain yang berada di bawah pemerintahannya.

Perintah ini segera dilaksanakan tetapi Ishaq tidak memanggil para qadi dan saksi-saksi mereka sahaja, malah beliau juga memanggil para ulama merangkumi para fuqaha, ulama-ulama hadis dan para hakim. Salah seorang daripada mereka adalah Imam Ahmad bin Hanbal, pengasas mazhab Hanbali. Perbicaraan bermula dengan membacakan surat Khalifah al-Ma’mun terhadap mereka sebanyak dua kali sehingga mereka memahaminya. Kemudian, Ishaq menyoal seorang demi seorang tentang al-Quran. Majoriti ulama tersebut hanya menjawab, “Al-Quran adalah kalam Allah.” Apabila mereka didesak oleh Ishaq, mereka berusaha mengelak daripada menyatakan doktrin khalq al-Quran sama ada memberikan alasan, atau menghuraikan kalam Allah tanpa menyentuh soal makhluk atau tidak, ataupun langsung tidak menambah apa-apa seperti yang dilakukan oleh Imam Ahmad. Setiap butir kata dan pendapat yang diucapkan oleh para ulama tersebut dicatat dan diutus kepada Khalifah al-Ma’mun. Setelah kesemuanya selesai, mereka semua diarah untuk menetap sementara di tempat tersebut selama sembilan hari.

Setelah beberapa hari, surat balas daripada Khalifah al-Ma’mun tiba di tangan Ishaq. Dalam surat ketiga ini, Khalifah al-Ma’mun mengkritik dan membidas pendapat-pendapat yang telah diberikan oleh para ulama dalam perbicaraan sebelum ini. Beliau memerintahkan agar perbicaraan dilakukan sekali lagi. Pada kali ini, sesiapa yang masih enggan berpegang dengan doktrin khalq al-Quran, maka dia akan dibawa menghadap Khalifah al-Ma’mun dalam keadaan dibelenggu dan dirantai dengan besi. Di sana, mereka yang ingkar tersebut akan dibicarakan sekali lagi oleh Khalifah al-Ma’mun, dan jika didapati masih enggan menuruti perintahnya, maka mereka akan dijatuhkan hukuman mati.

Lalu, para ulama tersebut dihimpunkan semula serta dibacakan surat ketiga ini terhadap mereka. Setelah mereka memahaminya, Ishaq sekali lagi membicarakan dan menyoal semula setiap seorang daripada mereka tentang al-Quran. Kali ini, hampir kesemua ulama menyebut bahawa al-Quran adalah makhluk. Hanya 4 orang ulama yang tetap enggan menyebutnya iaitu Imam Ahmad, Muhammad bin Nuh, al-Qawariri dan Sajjadah. Akibatnya, mereka telah dirantai dengan besi untuk dibawa ke hadapan Khalifah al-Ma’mun sepertimana yang telah diperintahkan.

Keesokan harinya, keempat-empat ulama tersebut disoal sekali lagi tentang al-Quran. Pada hari itu, Sajjadah akur dan menyebut bahawa al-Quran adalah makhluk. Natijahnya, belenggu besinya dibukakan lalu beliau dibebaskan. Keesokannya mereka sekali lagi disoal dengan soalan yang sama dan kali ini, al-Qawariri pula akur dan menyatakan doktrin khalq al-Quran. Rantainya juga dibukakan dan seterusnya beliau dibebaskan. Akhirnya, hanya tinggal Imam Ahmad dan Muhammad bin Nuh sahaja yang masih teguh dengan pendirian mereka. Mereka kemudiannya dibawa ke Tarsus dalam keadaan dirantai untuk menghadap Khalifah al-Ma’mun di sana. Para ulama lain yang telah dibicarakan sebelum ini juga dikehendaki berbuat perkara yang sama tetapi dalam keadaan bebas. Malangnya, Muhammad bin Nuh meninggal dunia ketika di pertengahan jalan. Maka, tinggallah Imam Ahmad seorang menghadapi ujian ini dengan penuh kecekalan.

Pada tahun 218 H, ketika dalam perjalanan menuju Tarsus, telah sampai berita bahawa Khalifah al-Ma’mun baru sahaja mangkat. Pada waktu itu, mereka telah tiba di Raqqah, namun tidak lama kemudian mereka disuruh pulang semula ke Baghdad. Seterusnya, Khalifah al-Mu’tasim (m. 227 H) pula menjadi khalifah Abbasiyyah yang baru. Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna perbicaraan terhadap para ulama akan ditamatkan. Sebelum kemangkatannya, Khalifah al-Ma’mun sempat menulis beberapa wasiat kepada penggantinya, antaranya ialah meneruskan usaha mengajak orang ramai kepada doktrin khalq al-Quran dan mengekalkan kedudukan Ahmad bin Abi Du’ad dalam pemerintahan. Maka, al-Mihnah tetap diteruskan.

Setelah itu, Imam Ahmad dimasukkan semula ke dalam penjara untuk menjalani perbicaraan. Selama tiga hari, beliau telah dipaksa dan dipujuk agar menuruti perintah berpegang dengan doktrin khalq al-Quran. Akan tetapi, Imam Ahmad masih enggan mengakui doktrin itu. Akibatnya, beliau menerima sebatan berkali-kali. Khalifah al-Mu’taṣim terus mendesak Imam Ahmad agar ‘bertaubat’ dan mengakui bahawa al-Quran adalah makhluk, namun beliau tetap enggan menurutinya. Kejadian ini telah membangkitkan kemarahan rakyat sehingga merebak ke luar istana. Oleh sebab itu, Khalifah al-Mu’tasim dinasihatkan agar hukuman ke atas Imam Ahmad segera dihentikan. Setelah 28 bulan, yakni 2 tahun 4 bulan menerima hukuman, Imam Ahmad akhirnya dibebaskan. Keadaan tubuhnya yang parah membuatkan beliau terpaksa berehat terlebih dahulu daripada mengajar dan meriwayatkan hadis. Setelah beransur pulih, Imam Ahmad kembali ke masjid bagi menjalankan tugasnya sebagai ulama.

Khalifah al-Mu’tasim akhirnya mangkat pada tahun 227 H, namun ia juga belum menandakan tamatnya al-Mihnah. Khalifah yang seterusnya, Khalifah al-Wathiq (m. 232 H) masih meneruskan perbicaraan dan seksaan terhadap para ulama yang enggan mengakui doktrin khalq al-Quran. Antara ulama yang telah terkorban akibat al-Mihnah di zaman ini ialah Nu’aym bin Hammad (m. 228 H) guru kepada al-Imam al-Bukhari, dan al-Imam al-Buwayti (m. 231 H) tokoh besar mazhab Syafi'i. Adapun Imam Ahmad pula tidak dikenakan hukuman yang teruk seperti sebelum ini kerana ditakuti ia akan meninggikan martabatnya dan membangkitkan lagi kemarahan rakyat. Oleh sebab itu, Khalifah al-Wathiq mengenakan terhadap beliau larangan berkumpul bersama orang ramai. Ini menyebabkan Imam Ahmad tidak dapat menunaikan solat di masjid dan pengajian ilmunya pula terpaksa dihentikan. Larangan ini berlarutan selama lebih daripada 5 tahun sehingga akhirnya Khalifah al-Wathiq mangkat pada tahun 232 H. Di akhir hayatnya, dikatakan Khalifah al-Wathiq telah menghentikan perbicaraan ke atas para ulama yang tidak setuju dengan doktrin khalq al-Quran.

Setelah itu, Khalifah al-Mutawakkil (m. 247 H) menaiki takhta sebagai khalifah Abbasiyyah yang baru. Berbeza dengan khalifah-khalifah sebelumnya, beliau lebih cenderung terhadap Sunnah dan hadis. Pada tahun 234 H, Khalifah al-Mutawakkil menitahkan agar dihentikan semua perbicaraan tentang al-Quran terhadap para ulama. Beliau juga memberi ruang dan galakan kepada para ulama hadis untuk menggiatkan semula pengajian ilmu mereka. Dengan ini, maka berakhirlah al-Mihnah setelah hampir 16 tahun ia menjadi ujian besar terhadap para ulama dan umat Islam.

Kesimpulannya, peristiwa al-Mihnah mengajak kita mencontohi keteguhan akidah ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dalam menghadapi cabaran akidah. Para ulama seperti Imam Ahmad, Imam al-Buwayti dan Nu’aym bin Hammad telah mengharungi cabaran akidah di zaman mereka dengan penuh dugaan. Dari sudut jasmani, mereka telah menerima berbagai-bagai hukuman dan seksaan seperti dirotan, dipukul, dirantai besi, dipenjara dan dihalang daripada bergaul dengan masyarakat. Dari sudut akal pula, sudah pasti mereka telah berkali-kali mendengar hujah-hujah lawan mereka yang cuba membenarkan doktrin khalq al-Quran secara logik lalu menghasut akal fikiran mereka agar menerima kemunasabahan doktrin itu. Namun, para ulama ini tidak pernah mengalah, apatah lagi melonggarkan akidah mereka demi membebaskan diri daripada ujian ini.

Cabaran akidah tetap akan wujud di setiap zaman, sama ada ia muncul daripada kita sendiri sesama muslimin ataupun dari luar. Sedangkan al-Mihnah pun berlaku di zaman Salaf al-Salih, apatah lagi di zaman kita hari ini yang sudah sedia maklum akan kekurangannya jika dibandingkan dengan zaman yang mulia itu. Maka, seharusnya kita meneladani keteguhan akidah para ulama terdahulu dengan menimba ilmu akidah dan fardu ain serta memperkukuhkannya dalam akal dan hati agar kita mampu menghadapi cabaran akidah di zaman kita dengan selamat dan jayanya. 

Rujukan:

  1. Abu Zahrah, Muhammad. t.th. Tarikh al-Madhahib al-Islamiyyah fi al-Siyasah wa al-‘Aqa’id wa Tarikh al-Madhahib al-Fiqhiyyah. al-Qahirah: Dar al-Fikr al-‘Arabi.
  2. Abu Zahrah, Muhammad. t.th. Ibn Hanbal Hayatuh wa ‘Aṣruh – Ara’uh wa Fiqhuh. al-Qahirah: Dar al-Fikr al-‘Arabi.
  3. Al-Suyuti, Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman. 2003. Tarikh al-Khulafa'. Bayrut: Dar Ibn Hazm.
  4. Al-Tabari, Muhammad bin Jarir. 1987. The History of al-Tabari. Jil. 32. Terj. C.E Bosworth. Albany: State University of New York Press.
  5. Makdisi, George. 1998. Ahmad ibn Hanbal. https://www.britannica.com/biography/Ahmad-ibn-Hanbal#ref292688 [2 Julai 2020]

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah