Maulid Nabi dan Dakwah Nabawi oleh Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari
Maulid Nabi dan Dakwah Nabawi
Sesiapa yang mengetahui kemerosotan yang dilalui oleh umat manusia dari sudut akidah, amalan dan akhlak sebelum kelahiran al-Mustafa s.a.w, kemudian merenungi islahnya yang menyeluruh melalui tangannya yang mulia dalam tempoh yang tidak lama setelah dakwahnya kepada Allah s.w.t, pasti akan bertambah lagi keyakinan bahawa Allah azza wa jalla tidak sesekali mengutus Baginda s.a.w melainkan sebagai rahmat buat sekalian alam yang sebenar-benarnya.
Inilah dia suasana yang golongan jahil telah terjerumus ke dalam jahiliah sedalam-dalamnya dan para penyembah berhala yang dungu menyembah apa yang diukir. Mereka beriktikad bahawa malaikat ialah anak perempuan tuhan, Maha Suci Allah daripada demikian itu. Mereka juga tidak menghindar daripada menggunakan serangan sebagai sumber rezeki; tidak sekali-kali ingkar akan perbuatan menanam anak perempuan kerana takut akan penahanan atau kepapaan; tidak sekali-kali enggan daripada mengharuskan pergaulan lelaki dengan perempuan lalu menganggap anaknya sebagai anak yang sah bagi sesiapa yang menyerupainya. Seorang daripada Bani Hanifah menyebutkan bahawa di waktu jahiliah mereka mengambil hays (sejenis makanan) sebagai tuhan, lalu menyembahnya dalam tempoh yang lama, kemudian memakannya ketika musim kemarau. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka ada-adakan.
Sekitar suasana ini terdapat umat yang berpegang dengan agama-agama yang bermacam ragam penyimpangan. Terdapat mereka yang berpegang dengan triniti, bahawa tiga itu satu, anak tuhan dibunuh lalu dinaikkan ke langit dan duduk di sisi bapanya. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka ciptakan, dan daripada ‘bidang tanah syurga’ yang dijaja oleh tukang-tukang tilik kepada mereka, dan kepada tuan-tuan mereka itu dipergunakan.
Terdapat mereka yang beriktikad bahawa tuhan ialah orang tua yang rambutnya bercampur uban. Dia duduk di atas kerusinya di langit, sekitarnya terdapat kerajaan-kerajaan yang turun ke sebuah batu besar dan sebahagiannya naik ke langit. Dia berehat pada hari Sabtu, dalam keadaan meniarap di atas badannya serta merehatkan satu kakinya ke atas kakinya yang lain, dek kerana penat mencipta alam. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka dustakan.
Antara kalangan mereka itu ialah al-Sabi’ah para penyembah bintang dan planet, seperti Ashab al-Hayakil yang beriktikad bahawa matahari adalah tuhan sekalian tuhan, dan seperti al-Harraniyyah yang berpandangan bahawa pencipta itu satu yang banyak, satu pada asal, banyak dengan bergandanya manusia secara langsung, lalu menzahirkan diri dengan menyerupai orang-orangnya namun tidak terbatal keesannya melalui hulul zat atau sebahagian zat ke dalam diri orang-orang itu. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.
Terdapat juga Majusi para penyembah api yang berpegang dengan konsep dua pencipta: cahaya sebagai pencipta kebaikan dan kegelapan sebagai pencipta kejahatan, mengikut perbezaan kumpulan mereka menerusi pergabungan. Gabungan daripada al-Manawiyyah, al-Daysaniyyah, al-Mazdakiyyah dan selainnya berpandangan bahawa cahaya itu tidak terbatas melainkan dari arah bawah yang ia bertemu dengan kegelapan. Ketua al-Manawiyyah ialah Mani, merupakan rahib di Harran yang mencampurkan Nasrani dan Majusi.
Ketua al-Mazdakiyyah pula ialah Mazdak yang menyeru kepada perkongsian harta dan perempuan demi mengasaskan konsep persaudaraan menyeluruh dengan menyingkirkan punca permusuhan, menurut tanggapannya. Biadabnya sehingga ke tahap pernah menuntut Raja Qubad al-Sasani menyerahkan permaisurinya kepada Mazdak. Raja Qubad yang berpegang dengan agama Mazdak patuh kepadanya. Namun sukar bagi anaknya, Anushirwan, maka beliau menyasarkan kedua-dua kaki Mazdak dan menciumnya agar Mazdak mengabaikan ibunya daripada perkara itu, lalu Mazdak pun membiarkan ibunya. Selepas si anak dilantik memimpin kerajaan, beliau menjatuhkan hukuman mati ke atas pengikut al-Mazdakiyyah dan membunuh ketua mereka dengan seburuk-buruknya. Mazdak inilah punca utama runtuhnya kemuliaan keluarga Sasan. Runtuhnya kemuliaan itu merupakan akibat yang pasti terjadi daripada konsep kebebasan mutlak, dihalalkan di mana sahaja walaupun seketika. Antara pegangan al-Mazdakiyyah juga suatu yang disembah itu duduk di atas kerusi di alam tinggi umpama duduknya raja di alam bawah.
Antara kalangan umat itu ialah al-Dahriyyun al-Tab’iyyun para pengingkar Pencipta yang terhalang daripada memikirkan bukti dengan melihat pada kesan yang membawa kepada punca, ini merupakan setinggi-tinggi kebodohan akal. Mereka ini penyakit bagi kemuliaan di setiap zaman. Mereka merendahkan bangsa manusia ke taraf kedudukan lembu dari sudut ketiadaan taklif. Terdapat juga daripada kalangan mereka al-Samaniyyah dan al-Barahimah yang menafikan apa yang berada di luar pancaindera, serta pengingkar kenabian. Falsafah mereka adalah ibu segala kehinaan dan keaiban dalam setiap tingkatan.
Beginilah keadaannya di Hijaz dan sekitarnya sehingga ke Palestin, Syam, Iraq, Rom, Parsi, India, Afrika dan yang mengikutinya sewaktu kebangkitan penutup utusan Allah, Nabi Muhammad s.a.w. Maka pemandangan manakah yang lebih kelam dan gelap berbanding pemandangan sebegini dalam sejarah manusia.
Tidak tersembunyi kepada Yang Maha Melihat akan sumber-sumber berkaitan tuduhan yang mengaibkan daripada iktikad-iktikad batil terhadap sebahagian mazhab hari ini. Maka Nabi al-Hashimi al-Abtahi s.a.w melaksanakan dakwah kepada Islam dalam suasana yang diliputi dengan umat-umat tersebut; mendirikan hujah dalam dakwah agar tidak meninggalkan sebarang alasan kepada orang yang menentang; menggerakkan akal-akal ke arah ketinggian dengan cara yang tidak melebihi kemampuan akal awam dan tidak dikecam oleh golongan atasan; berdakwah ke jalan Tuhannya dengan hikmah dan peringatan yang baik; serta berdebat dengan manusia dengan terbaik sehingga mereka berturutan patuh kepadanya.
Kemudian Baginda s.a.w mengajarkan mereka apa yang harus pada iktikad tentang Allah dan apa yang tidak harus; memahamkan mereka tentang kewajipan menyucikan Allah s.w.t daripada keserupaan dengan makhluk-Nya dan ciptaan-Nya; memahamkan mereka tentang amalan dan melatih mereka akhlak yang mulia. Baginda s.a.w membangkitkan mereka semua menuju ke arah kemajuan yang berterusan dalam ilmu, amal, akhlak dan sebagainya, suatu kemajuan yang berperingkat-peringkat tanpa adanya langkauan dan kejutan secara tiba-tiba, menggunakan kelembutan pada tempatnya dan ketegasan pada tempatnya, sehingga dakwahnya mencarik dalam lapangan tersebut lalu tersebar agama Islam keseluruh pelusuk, hasilnya umat manusia berpegang dengan cahaya hidayahnya dari timur dan barat dunia.
Dakwah dan kebangkitan yang diberkati ini melimpah ruah ke seluruh alam, suatu yang tidak pernah diketahui akan kebaikan yang serupa dengannya dalam tempoh yang paling singkat pun. Sesiapa yang meneliti perkara ini akan bertambah keyakinannya, serta mendapati di tengah-tengah pensyariatan (perutusan) nabi yang agung ini terdapat mukjizat yang terus baharu di sepanjang zaman, biarpun adanya penyelewengan golongan yang menyimpang daripada panduan Nabi s.a.w, biarpun adanya usaha golongan pemfitnah dalam merobohkan struktur syariatnya dari dalam dan luar.
Perkara pokok yang diterima oleh umat daripada Nabi s.a.w ialah ilmu tentang Allah, sifat-Nya dan lain-lain berkaitan pegangan yang dituntut; ilmu mengenai hukum-hakam amali merangkumi ibadat dan muamalat yang mendidik diri serta menegakkan keadilan sesama makhluk; ilmu mengenai kaedah memperoleh sifat-sifat mulia dan membersihkan diri daripada keaiban jiwa yang membawa kepada cara penyucian jiwa dan pembersihan hati hingga terzahir akhlak yang membawa kebahagiaan dalam dua kehidupan (dunia dan akhirat), suatu akhlak yang tidak dibuat-buat, maka telah lengkap pada mereka kesempurnaan dari sudut ilmu dan amal. Sepertimana apa yang telah aku isyaratkan perkara ini semuanya dalam perbahasanku tentang suasana umum ketika kebangkitan Nabi dalam mukadimah Tabyin Kadhb al-Muftari oleh Ibn ‘Asakir.
Golongan salaf daripada umat Muhammadiyyah berada pada tahap tertinggi dalam berpegang teguh dengan agama yang benar ini, dan bermuafakat sehabisnya dalam melaburkan kebaikannya dalam lapangan ilmu, amal dan kebanggaan, seperti yang diketahui oleh sesiapa yang dipamerkan sumbangan-sumbangan mereka dalam pembukaan negara dan bimbingan terhadap para hamba. Rekod mereka yang kekal dalam bidang keilmuan telah memenuhi khazanah dunia dan disaksikan dengan penuh kebanggaan. Berlainan golongan yang membelakangi mereka, yang mengabaikan turath, dan mula bergabung dengan umat selain mereka, akibatnya mereka menjadi hina dan rendah lalu berpaling daripada agama yang lurus dan syarak yang bijaksana ini.
Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan (izin) Allah, kita berdoa bersama-sama kepada-Nya s.w.t agar Allah menyedarkan kita daripada kelenaan dan mengilhamkan petunjuk kepada kita. Dia-lah Yang Maha Mengabulkan bagi sesiapa yang berdoa kepada-Nya.
Rujukan:
- Al-Kawthari, Muhammad Zahid. t.th. Maqalat al-Kawthari. al-Qahirah: Al-Maktabah al-Taufiqiyyah.

Mantapπππ
ReplyDeleteMantapπππ
ReplyDeleteThanks b bird π
Delete