Apakah Makna Qadak? oleh Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti
Sebagai manusia biasa yang sering diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran, setiap daripada kita lazimnya pernah terlintas untuk mempersoalkan takdir Tuhan di atas apa yang terjadi pada diri kita. “Mengapakah ini terjadi kepadaku,” “Apalah nasibku ini.” Sampai ke suatu tahap seseorang itu terlalu mengalah dan berputus asa sehabisnya sehingga menganggap dirinya tidak mampu berbuat apa lagi. Lebih teruk lagi terdapat sebahagian orang lebih suka menyalahkan takdir untuk membenarkan kejahatannya. “Apa boleh buat, sudah takdir aku mencuri,” dan esok apabila dia melakukannya lagi, dia mengulangi lagi alasan yang sama, tanpa sebarang kekesalan langsung terhadap perbuatan kejinya itu. Persoalan-persoalan seperti ini timbul daripada sangkaan bahawa qadar itu adalah pemaksaan terhadap diri seseorang. Walhal sebenarnya bukan itu maksudnya.
Bagi menjawab persoalan ini, di sini saya telah cuba membuat terjemahan bebas terhadap satu huraian ringkas mengenai qadak dan qadar dalam sebuah risalah bertajuk Mulakhkhas Mujaz fi al-‘Aqidah al-Islamiyyah karangan Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti (w.1434H/2013M), seorang ulama Syam yang tidak asing lagi dalam dunia kontemporari. Bidang kepakaran beliau sangat luas, meliputi akidah, fiqah, tasawwuf, pemikiran dan sebagainya. Beliau sangat prolifik dalam bidang penulisan dan telah menghasilkan banyak kitab dan makalah. Salah satu daripadanya ialah Mulakhkhas Mujaz ini yang membahaskan beberapa topik dalam akidah secara ringkas dan padat. Antara perbahasan yang dimuatkan dalam risalah tersebut adalah teks yang telah saya terjemahkan di bawah ini.
Dalam menterjemahkan teks tersebut, saya cuba untuk menyesuaikannya dengan laras bahasa Melayu pada masa yang sama menjaga ketulenan bahasa Arab, agar mudah difahami tanpa mengubah makna asalnya. Jika terdapat sebarang kesilapan pada terjemahan saya, segala bantuan dan pendapat daripada para pembaca amatlah saya alu-alukan. Akhir kata, selamat membaca dan semoga bermanfaat. Berikut adalah teksnya:
Apakah Makna Qadak?
Qadak ialah ilmu Allah azza wa jalla tentang semua perkara yang terjadi bersama manusia dan tentang semua perkara yang dilakukannya sama ada daripada perkara-perkara yang dia diberikan kebebasan memilih padanya, atau perkara-perkara yang dia tidak diberikan kebebasan memilih padanya. Ilmu Allah azza wa jalla tentang apa yang akan aku lakukan dan tentang kejadian-kejadian yang berlaku ke atasku pada masa lalu dan akan datang, ilmu ini telah tercatat dalam kitab (takdir) yang tidak diketahui melainkan Allah, maka ini yang dinamakan qadak.
Adapun qadar: Ia adalah terjadinya perkara-perkara yang diketahui oleh Allah azza wa jalla dengan sempurna berdasarkan seperti yang diketahui-Nya. Maka jika Allah mengetahui bahawa aku akan meninggal dunia pada tarikh sekian, hari sekian dan saat sekian, maka ini adalah qadak. Jika aku benar-benar meninggal dunia pada tarikh itu maka demikian itu adalah qadar. Ini adalah daripada perkara-perkara yang tiada pilihan bagiku padanya.
Contoh lain daripada perkara-perkara yang aku diberi pilihan padanya: Allah azza wa jalla mengetahui bahawa aku akan menyampaikan syarahan-syarahan pada hari-hari sekian dengan jumlah tertentu dan dalam bentuk tertentu. Dia mengetahui perkara itu dan ia tercatat dalam ghaib, maka ini adalah qadak. Kemudian apabila syarahan-syarahan tersebut benar-benar terjadi dan aku melaksanakannya seperti yang diketahui oleh Allah maka ini adalah qadar.
Aku ulangi lagi maka aku katakan: Qadak ialah ilmu Allah azza wa jalla tentang setiap apa yang terjadi dalam alam semesta, dan tentang kejadian-kejadian yang berlaku ke atas manusia sama ada kejadian yang dia tiada pilihan padanya atau kejadian yang dia diberi kebebasan memilih padanya.
Sekarang, apabila kita telah mengetahui bahawa ini adalah qadak, maka adakah di sana terdapat perkaitan antara qadak dan jabr (pemaksaan)? Adakah berhak bagi manusia untuk mengatakan, “Allah telah memaksa terhadapku untuk melakukan sekian perbuatan, maka aku bukan empunya pandangan, dan aku tidak mampu memilih suatu perkara pun untuk diriku?”
Tidak ... tidak mungkin bagi manusia untuk mengemukakan alasan dengan qadak – dan kita telah pun mengetahui maknanya – tidak mungkin bagi manusia untuk mengemukakan alasan lalu mengatakan sesuatu seperti ini.
Kita tambah lagi huraian untuk penjelasan: Qadak ialah ilmu Allah. Ulama berkata, “Ilmu adalah sifat yang menyingkap, bukan sifat yang memberi kesan,” yakni bahawa ilmu itu menyerupai lampu elektrik di hadapan kereta. Bilamana kamu menyalakan lampu elektrik di hadapan kereta kamu, lampu ini menampakkan jalan sepertimana keadaannya, menampakkan jalan yang lurus sepertimana lurusnya ia, jalan yang bengkok sepertimana bengkoknya ia, jalan yang diturap sepertimana rupa turapnya ia, jalan yang dipenuhi lubang dan permukaan yang tidak rata sepertimana keadaannya ia, dan lampu atau sinaran menampakkan kamu sesuatu perkara itu ada di tempatnya.
Ilmu itu sifatnya seperti sifat ini, sifat yang menyingkap sesuatu perkara, bukannya sifat yang memberikan kesan atau mewajibkan. Allah azza wa jalla mencipta manusia, dan menganugerahkan kepadanya akal, mengurniakan kepadanya kebebasan pilihan, dan memberikannya kemampuan untuk membuat keputusan. Kemudian bahawasanya Allah sebagai Tuhan, tidak boleh tidak pasti mengetahui apa yang akan aku pilih daripada mutlak kemahuanku, dan mengetahui apa yang akan aku lakukan, bila aku melakukan perkara yang haram, dan bila aku mentaati Allah s.w.t, Allah azza wa jalla mengetahui perkara ini daripadaku sepertimana keadaannya. Maka apabila Allah s.w.t mengetahui bahawa aku dengan pilihanku dan kemahuanku akan aku lakukan sekian sekian perkara, maka adakah berhak untukku katakan, “Dengan ini aku telah pun dipaksa?” “Apabila Allah mengetahui apa yang akan aku lakukan maka dengan itu aku telah pun dipaksa!” Ini adalah tanggapan yang salah, atau percanggahan, ataupun pengetahuan yang salah daripada diri manusia bilamana menggambarkan suatu perkara seperti ini.
Marilah kita datangkan contoh-contoh yang bersangkutan dengan kehidupan manusia sesama mereka, untuk kita jelaskan makna ini, yang aku katakan: Seorang guru di universiti atau sekolah, dia mempunyai murid, dengan sifat guru itu seorang yang bijak, teliti dan pandai, merenung pada muridnya dan menjangkakan daripadanya kegagalan, kelalaian dan kemalasan, dan guru ini merekodkan dalam buku catatannya bahawa, “Murid ini padaku adalah seorang yang malas, dia akan gagal dan tidak akan berjaya,” dan benar-benar terjadi murid ini gagal akhirnya; kerana benar-benar terjadi seperti yang dinyatakan oleh gurunya dan seperti yang direnungi oleh gurunya pada muridnya, iaitu murid itu pemalas. Adakah berhak bagi murid ini untuk berkata kepada gurunya, “Selama mana kamu mengetahui bahawa aku ini pemalas, dan bahawa aku ini tidak akan berjaya, maka dengan itu kamu yang menyebabkan aku malas, gagal, dan tidak layak kamu hitung terhadap diriku pada perkara yang aku tidak mempunyai kebebasan memilih padanya.” Adakah berhak bagi murid itu untuk menyebutkan kata-kata ini? Tidak sekali-kali, kalau murid ini menyebutkan kata-kata ini kepada gurunya pasti gurunya akan menghukumnya dengan hukuman lain. Guru itu berkata kepadanya, “Aku dengan semata-mata pengetahuanku, pengalamanku dan firasatku aku telah mengetahui bahawa kamu akan memilih kemalasan, kamu akan memilih kelalaian, dan di sana lambat laun kamu akan gagal dengan sebab kecuaian kamu, bukan dengan sebab doronganku terhadap kamu ke arah kecuaian.”
Jika perkara ini telah diketahui dalam kalangan manusia sesama manusia, maka isu ini sebenarnya perkara yang sama bersangkutan dengan ilmu Allah. Allah telah menciptakan aku dan menempatkan aku di alam ini, memberikan aku kekuatan, memberikan aku kebebasan memilih, dan memberikan aku kekuatan untuk membuat keputusan, kemudian Dia melihat kepadaku dan Dia mengetahui apa yang akan aku pilih, dan ia tercatat dalam ilmu-Nya, maka ini adalah qadak. Adapun qadar maka terjadinya perkara itu bertepatan dengan ilmu Allah s.w.t.
Ya, tentu sahaja di sana terdapat perkara-perkara yang termasuk dalam qadak Allah azza wa jalla yang tiada bagiku kebebasan memilih padanya, seperti ilmu Allah azza wa jalla tentang bahawasanya aku akan sakit pada hari sekian, bahawa sesuatu akan terjadi padaku dan sesuatu akan menimpa diriku, bahawa aku akan meninggal dunia pada hari sekian, dan aku akan tidur pada waktu sekian, dan bangkit dari tidur pada waktu sekian. Perkara-perkara ini semuanya termasuk juga dalam ilmu Allah azza wa jalla, tetapi ia bukan daripada perkara yang termasuk dalam skop kebebasan pemilihan kita. Maka sesungguhnya Allah tidak menghisab kita pada perkara itu; kerana Dia tidak menghisab manusia melainkan pada perkara yang berada di dalam lingkungan kemampuannya, dan perkara-perkara yang dia diberikan kebebasan memilih padanya, ini adalah makna qadak dan qadar.
Akan tetapi, di sana masih ada lagi, atau terdapat lagi rangkaian-rangkaian persoalan, maka kita pergi ke persoalan-persoalan ini semuanya satu demi satu.
Seseorang barangkali berkata, “Perkara ini baik, tetapi perbuatan yang terbit daripadaku ketika aku solat, atau perbuatan meminum arak oleh sesiapa yang meminumnya, perbuatan ini siapakah yang menciptanya, bukankah Allah itu Pencipta setiap perkara?”
Kita katakan: Bahkan ya ... benar: Apabila Allah itu Pencipta setiap perkara, maka solatku itu Dia yang menciptanya, dan perbuatanku meminum arak – aku berlindung kepada Allah daripadanya – Dia yang menciptanya, dan perjalananku ke masjid atau ke arah kemaksiatan maka Dia yang menciptanya. Lalu datang pula permasalahan lain, bagaimana Allah azza wa jalla menghisab kita berdasarkan perkara yang Dia adalah Penciptanya?
Jawapannya – dan untuk kita renungi sedalam-dalamnya – :
Allah ialah Pencipta setiap perkara yang sebenar-benarnya, dan perbuatan-perbuatan kita Dia Penciptanya; tetapi apa makna bahawa perbuatan-perbuatan kita itu Dia yang Penciptanya? Ketikamana aku menulis sekarang ini, yang menjadikan aku mampu memegang pen adalah Allah, yang menjadikan aku mampu mengerakkan tanganku adalah Allah, yang mengalirkan darah dalam urat-uratku lalu menghidupkan tanganku dengan kekuatan ini adalah Allah, maka aku katakan: terciptanya penulisan – yakni perbuatan menulis – dengan kuasa penciptaan oleh Allah s.w.t. Begitu juga yang menjadikan aku mampu berdiri tegak ketika solatku adalah Allah, yang menjadikan aku mampu melakukan pergerakan-pergerakan dalam solat adalah Allah azza wa jalla, maka Allah adalah Pencipta perbuatanku. Namun, walau apapun yang kita katakan bahawa Allah adalah Pencipta perbuatan manusia, maka sesungguhnya ini tidak menyamai kelahiran perbuatan, tidak menyamai munculnya perbuatan daripada tiada kepada ada, maka tidak boleh tidak terdapat dorongan bagi perbuatan ini yang diciptakan oleh Allah, apakah dorongan itu?
Dorongan itu ialah keinginan. Keinginanku untuk menunaikan solat, keinginanku untuk menulis, keputusanku yang aku ambil bahawa aku sekarang ini akan bangkit untuk pergi ke masjid lalu aku menunaikan solat, ini adalah keputusan dalaman dan keazaman ini daripada diriku sendiri, dengan kurnia daripada Allah azza wa jalla, Dia menempatkan dalam diriku suatu rahsia yang namanya rahsia semangat, kehendak, dan keazaman, dan perkara ini yang aku sedang menikmatinya. Maka Allah azza wa jalla ketikamana Dia melihatku – dan Allah melihat pada hati-hati, melihat pada rahsia-rahsia – melihat aku telah berazam untuk berdiri dan menunaikan solat, dan telah sempurna keazaman dalam diriku, maka Allah s.w.t melemparkan kekuatan kepada diriku, menjadikan aku mampu untuk bangkit, menggerakkan saraf-sarafku, dan mengalirkan darah dalam urat-uratku, agar Dia menciptakan perbuatan yang bersesuaian dengan keazaman yang telah aku azamkan.
Ganjaran pahala di hari kiamat bukan berdasarkan perbuatan dari sudut fizikal yang terjadi menerusi penciptaan daripada Allah, tetapi ganjaran pahala adalah berdasarkan keazaman yang terbit daripadaku – keazaman, keinginan untuk solat ... – keinginan ini adalah sebab bagi ganjaran pahala pada ketaatan, dan ia juga sebab bagi balasan dosa pada kejahatan.
Rujukan:
- Al-Buti, Muhammad Said Ramadhan, Mulakhkhas Mujaz fi al-'Aqidah al-Islamiyyah. Pautan: https://www.naseemalsham.com/uploads/Component/word%20new/Arabic/Replies%20Visitors/2015/Molkhas_Al_3aqedaa_Al_Islameaa_Li_Dr_AlBouti.pdf.

Comments
Post a Comment