Adakah Semua Perselisihan Akidah Menyebabkan Terkeluar Daripada Islam?
Hari ini, perselisihan akidah bukan lagi suatu perkara yang asing. Kalau zaman dahulu, perselisihan akidah berlaku hanya dalam kalangan tokoh dan ilmuwan, tetapi hari ini mereka yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama juga terlibat dalam perselisihan akidah. Lebih membimbangkan lagi, perselisihan tersebut biasanya berakhir dengan pelbagai tuduhan dan label, seperti tuduhan kafir, sesat, bidaah dan sebagainya, sedangkan bukan semua perselisihan berakhir sebegitu rupa.
Sebagai asas, artikel kali ini ingin membicarakan secara ringkas berkenaan pembahagian akidah dan perselisihan pada bahagian-bahagian akidah tersebut. Artikel ini merupakan ringkasan daripada artikel al-Khilaf fi al-‘Aqidah dalam buku Ahl al-Sunnah al-Asha’irah Shahadah ‘Ulama al-Ummah wa Adillatuhum karya Hamd al-Sinan dan Fawzi al-‘Anjari. Untuk permulaan, saya memetik soalan yang diutarakan dalam buku tersebut,
Adakah semua perselisihan dalam akidah sama ada pada usul atau furuk menyebabkan kekufuran atau kesesatan, bidaah dan kefasikan?
Perkara pertama yang perlu diketahui ialah akidah itu terbahagi kepada dua bahagian: usul dan furuk. Seterusnya, usul akidah terbahagi kepada dua bahagian lagi iaitu:
- Usul agama
- Usul mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.
Huraian ringkas tentang pembahagian akidah serta hukum berselisih padanya adalah seperti berikut:
- Usul agama atau usuluddin secara umumnya berkait dengan perkara-perkara asas dalam akidah kita. Contohnya seperti kewujudan Allah, keesaan Allah, sifat qadim dan kekal bagi Allah, alam itu baharu, kebenaran para Rasul dan Nabi, dan seumpamanya. Perselisihan dalam bahagian ini misalnya boleh dilihat pada agama-agama selain Islam, seperti ateis tentang isu kewujudan Allah dan Kristian tentang isu keesaan Allah. Hukum bagi sesiapa yang berselisih dalam usul agama ialah terkeluar daripada Islam, yakni jatuh kafir. Hal ini kerana ia merupakan asas dan tunjang utama agama Islam.
- Usul Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah pula ialah perkara-perkara yang disepakati oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah daripada kalangan sahabat, tabiin dan tabi tabiin. Misalnya seperti nikmat dan azab dalam kubur, qadar, hukum orang Islam melakukan dosa besar, berdiam dan redha terhadap para sahabat dan seumpamanya. Hukum bagi sesiapa yang berselisih dalam usul Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah ialah fasik, sesat dan terkeluar daripada lingkungan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang mengikuti jalan Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Akan tetapi, tidak terkeluar daripada Islam.
- Furuk akidah pula ialah perkara-perkara cabang dalam akidah. Contohnya ialah perselisihan antara Ibn Abbas r.a dengan Aishah r.a tentang adakah Nabi s.a.w melihat Allah ketika malam Mikraj. Selain itu, contoh lain dalam furuk akidah ialah seksaan ke atas jenazah kerana ratapan ahli keluarga, perselisihan pada isu tafwid nas-nas mutashabihat dalam kalangan salaf. Turut termasuk dalam perselisihan furuk ialah perselisihan isu-isu kecil dalam kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah seperti yang berlaku antara al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah. Tiada hukum tertentu bagi sesiapa yang berselisih dalam furuk agama, yakni tidak terkeluar daripada Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, dan tidak juga terkeluar daripada Islam. Hal ini kerana tiada riwayat menceritakan para sahabat saling menuduh sesat sesama mereka disebabkan perselisihan tentang furuk akidah ini, apatah lagi melemparkan tuduhan kafir.
Rumusannya, tidak semua perselisihan dalam akidah itu berakhir dengan kafir dan sesat. Terdapat perselisihan yang tidak mengakibatkan apa-apa pun seperti pada furuk akidah. Maka, jangan bermudah-mudah dalam mengkafirkan dan menyesatkan seseorang sekiranya kita tidak memiliki ilmu dan kefahaman agama yang mantap. Paling penting, peliharalah akidah kita daripada berselisih dan bertentangan dalam akidah baik pada usul agama mahupun pada usul Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Semoga Allah Taala memelihara kita daripada sebarang perkara yang boleh merosakkan dan menjejaskan akidah dan keimanan kita.
Rujukan:
- Al-Sinan, Hamad & al-'Anjari, Fawzi. 2005. Ahl al-Sunnah al-Asha’irah Shahadah ‘Ulama al-Ummah wa Adillatuhum. Kuwait: Dar al-Dhiya'.

Comments
Post a Comment