Dari Zaman Rasulullah s.a.w Hingga Kemunculan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah


Setiap fahaman batil masing-masing mendakwa pegangannya ialah pegangan Islam yang sebenar. Sedangkan hakikatnya fahaman-fahaman mereka bercanggah dengan ajaran Islam. Ajaran Islam yang sebenar bukannya seperti yang difahami oleh Khawarij, Syiah, dan fahaman-fahaman batil yang lain. Bagi membezakan antara kefahaman Islam yang sebenar dengan fahaman-fahaman batil, istilah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah mula terzahir. 

Secara ringkasnya, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah merujuk kepada golongan yang berpegang teguh atas manhaj Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya. Dari sudut sejarah pula, ia merupakan rentetan usaha para leluhur kita dalam menjaga dan mempertahankan akidah yang suci ini. Pada mulanya, Nabi Muhammad s.a.w sebagai penerima wahyu telah mengajarkan para sahabat segalanya tentang Islam. Melaluinya, para sahabat dapat mengetahui akidah, fiqah dan tasawuf yang sebenar. Di samping itu, Baginda s.a.w juga mendidik dan menggalakkan para sahabat untuk berijtihad sehingga muncul daripada kalangan mereka yang menjadi mujtahid.

Apabila memasuki zaman sahabat, fahaman-fahaman batil mula muncul. Dengan ketiadaan Rasulullah s.a.w, para sahabat berusaha mempertahankan akidah dengan kebijaksanaan berserta dalil dan hujah, seperti Ali bin Abi Talib yang pernah berdebat dengan Khawarij, Syiah dan al-Qadariyyah. Dalam masa yang sama, para sahabat juga tidak lupa akan tugas mendidik dan menyebarkan ajaran Islam. Melalui didikan mereka, lahir para ulama daripada kalangan tabiin dalam pelbagai bidang, seperti Abu Hanifah dan al-Shafi’i dalam bidang fiqah, al-Bukhari dan Muslim dalam bidang hadis dan al-Harith al-Muhasibi dan al-Junayd al-Baghdadi dalam bidang tasawuf.

Akan tetapi, ancaman akidah semakin meruncing di zaman tabiin dan tabi tabiin. Fahaman-fahaman terawal seperti Khawarij dan Syiah masih lagi wujud dan terus berkembang. Dalam masa yang sama, muncul pula fahaman-fahaman baru seperti al-Jahmiyyah dan Muktazilah. Begitu juga golongan ateis, zindik, ahli falsafah, dan orang bukan Islam seperti Yahudi dan Nasrani, turut juga menjadi ancaman yang serius terhadap akidah Islam.

Berikutan daripada itu, ramai ulama telah tampil bagi menangani ancaman-ancaman tersebut. Imam-imam empat mazhab tidak ketinggalan turut serta dalam usaha ini, seperti Abu Hanifah yang telah mengarang beberapa karya akidah seperti al-Fiqh al-Akbar, dan juga Ahmad bin Hanbal yang teguh menolak khalq al-Qur’an meskipun diancam keras oleh Muktazilah.

Antara yang turut aktif dalam usaha murni ini ialah ulama-ulama hadis. Hal ini kerana kebiasaannya, fahaman-fahaman batil pasti akan menolak hadis walau sebahagiannya sekalipun. Maka, para ulama hadis mula mengarang kitab yang menghimpunkan hadis-hadis berkaitan akidah. Natijahnya, lahir kitab-kitab hadis yang bertemakan akidah, antaranya:

  • Al-I’tiqad oleh Abu Hatim al-Razi
  • Al-Tawhid wa Ithbat Sifat al-Rabb oleh Ibn Khuzaymah
  • Al-Sifat oleh al-Daruqutni

Begitu juga pengarang-pengarang kutub al-sittah juga menyediakan bab khusus berkaitan akidah dalam kitab-kitab mereka. Ia merupakan ringkasan daripada huraian dan penerangan dalam kitab-kitab khusus tentang akidah, antaranya:

  • Kitab al-Iman dan Kitab al-Tawhid dalam Sahih al-Bukhari
  • Kitab al-Iman dalam Sahih Muslim
  • Kitab al-Sunnah dalam Sunan Abu Dawud

Akan tetapi, dominasi Muktazilah dalam arena perbahasan akidah sukar dikalahkan. Oleh kerana mereka bersenjatakan akal, maka muncul beberapa ulama yang menggunakan senjata yang sama untuk menentang Muktazilah, antaranya ialah Abdullah bin Kullab. Kaedah yang sama digunakan dan dikembangkan oleh dua imam besar dalam akidah iaitu Abu al-Hasan al-Ash’ari dan Abu Mansur al-Maturidi sehingga penguasaan Muktazilah dapat ditamatkan.

Daripada kedua-dua imam tersebut, terbentuknya dua madrasah utama iaitu al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah. Ramai ulama dapat dilahirkan daripada madrasah ini. Mereka tidak terhad kepada mutakalim sahaja, malah turut meliputi fuqaha, sufi, mufasir dan ahli hadis. Mereka bersama-sama memelihara dan mempertahankan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, dan sehingga kini istilah tersebut sangat sinonim dengan madrasah al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah.

Maka, di sebalik nama Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ini, terdapat suatu rentetan panjang usaha para ulama dalam mempertahankan akidah Islam daripada ancaman fahaman-fahaman batil. Dengan berkat usaha mereka, majoriti umat Islam hari ini dapat menikmati keharmonian dalam perpaduan sesama mereka di bawah naungan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

Rujukan:

  1. Hammadah, Faruq. 2014. Al-Ash’ariyyah Darurah wa Manhaj wa Istimrar. Damsyik: Dar al-Qalam.
  2. Fudah, Sa’id. 2016. Al-Sharh al-Kabir ‘ala al-Aqidah al-Tahawiyyah. t.tp: Dar al-Aslain.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah