Salafi Tidak Selalunya Wahabi Dari Sudut Istilah
Baru-baru ini ada satu program perdebatan diadakan berkaitan topik wahabi. Namun, bukan kehendak saya di sini untuk mengulas lebih lanjut. Cumanya saya teringat dahulu saya pernah menulis pengamatan saya tentang istilah Wahabi dan Salafi. Saya menulisnya dalam nota di dalam telefon saya pada tarikh 16 Julai 2020. Saya bawakannya semula ke dalam blog ini dengan sedikit pembetulan ayat, sekadar catatan marhalah fikir saya. Berikut adalah teksnya:
Salafi / Wahabi
Seseorang mungkin terkeliru antara Salafi dan Wahabi. Masalahnya, bila kita utarakan hujah kepada seseorang, hujah itu mungkin tidak sampai kepadanya kerana dia bukan sasaran yang kita maksudkan, disebabkan kita sendiri keliru antara Salafi dan Wahabi. Pada saya, saya lebih gemar asingkan kedua-duanya. Memang mereka nampak sama terutamanya pada cara mereka, namun tetap ada bezanya.
Saya mulakan dengan istilah Wahabi, kerana lebih ringkas. Wahabi, menurut saya, merujuk kepada mereka yang berpegang dengan pegangan atau manhaj Muhammad Abd al-Wahhab. Ini secara tidak langsung merangkumi mereka yang juga mengikuti jejak langkah anak-anak muridnya dan ulama-ulama kontemporari didikan mereka seperti Ibn Baz, Ibn Uthaymin dan lain-lain, ataupun mengikuti pegangan dan manhaj yang sama tanpa bertemu dengan sesiapa pun daripada sanad ilmu mereka.
Manakala istilah Salafi pula, saya lebih gemar berpendapat bahawa mereka ialah golongan yang cenderung ke arah dekonstruksi sumbangan-sumbangan ulama terdahulu demi menjalankan misi mereka iaitu tajdid agama. Tajdid, sekalipun kini tidak lagi dilaungkan, ia bermaksud satu matlamat membersihkan Islam daripada unsur-unsur yang asing daripada al-Quran & Sunnah, berdasarkan tanggapan mereka. Ini termasuklah membuang manhaj al-Asha'irah, tasawuf dan tarekat, amalan-amalan para ulama dan banyak lagi.
Bagi saya, seseorang pengikut Salafi tidak semestinya mengakui ketokohan Muhammad Abd al-Wahhab. Mereka lebih senang bebas daripada sebarang manhaj dan bergerak secara sendiri. Paling kurang pun, mereka hanya terikat dengan manhaj ulama hadis terdahulu lalu menggunakannya untuk mengkritik sumbangan para ulama yang lain. Kritik itu tidak salah, yang salah ialah bilamana dilakukan tanpa adab, dan membawa natijah yang salah.
Oleh yang demikian, mengutarakan hujah yang salah kepada individu yang salah tidak membawa makna. Menuduh seseorang Salafi sebagai pengikut manhaj Muhammad Abd al-Wahhab adalah tidak selalunya tepat. Apatah lagi jika kandungan hujahnya tidak tepat, ditakuti tidak bermanfaat pada sasaran yang ditujukan.

Comments
Post a Comment