Imam al-Nawawi Juga Beraliran al-Asha'irah
Saya siap menulis artikel ini pada 2 Ogos 2021 dalam blog saya yang lain. Saya bawa ke sini untuk menyimpannya kerana saya ingin menutup blog tersebut. Semoga manfaatnya dapat diteruskan di tempat yang baru.
Reviu Buku: Aqidah Ahli Sunnah Di Sisi Imam Al-Nawawi
Imam al-Nawawi, satu nama yang tidak asing dalam dunia Islam. Namanya masyhur sehebat orangnya. Seorang ilmuwan Islam yang polymath atau mutafannin, yakni menguasai lebih daripada 3 cabang ilmu, seperti kata penulis buku ini. Dalam bidang hadis, beliau terkenal dengan Riyad al-Salihin dan Sharah Sahih Muslim. Dalam bidang fiqh, beliau terkenal dengan Minhaj al-Talibin dan al-Majmu’ Sharah al-Muhadhab.
Adapun buku ini merupakan satu usaha untuk menyerlahkan dan menonjolkan sudut pemikiran akidah Imam al-Nawawi. Setakat pembacaan saya, saya berpendapat buku ini sebenarnya mempunyai dua fokus:
- Mengetengahkan matan Maqasid al-Nawawiyyah sebagai karya akidah Imam al-Nawawi.
- Menerangkan pemikiran umum Imam al-Nawawi dalam bidang akidah.
Pertamanya, matan Maqasid al-Nawawiyyah adalah sebuah matan berkenaan perkara-perkara asas dalam Islam iaitu akidah, ibadah dan akhlak. Maka, matan ini bukanlah kitab Imam al-Nawawi yang khusus tentang akidah, hanya bahagian awal sahaja yang berkaitan tentang akidah. Meskipun demikian, ia membuktikan bahawa beliau pernah menghimpunkan dan menyusun tentang akidah secara lengkap. Bahagian tersebut ada dimuatkan dan diterjemahkan oleh penulis dalam bukunya ini berserta syarahan oleh guru kepada guru beliau.
Lebih menarik lagi, pada bahagian tersebut, Imam al-Nawawi membentangkan sifat-sifat Allah dengan cara yang hampir serupa dengan pendekatan sifat 20 di dalam Umm al-Barahin oleh Imam al-Sanusi. Nama dan susunan bagi 20 sifat Allah dalam kedua-dua teks tersebut hampir sama. Ini menunjukkan kaedah sifat 20 telah pun diperkenalkan lebih awal lagi iaitu sejak kurun ke-7.
Keduanya, buku ini juga menyediakan satu bahagian khusus berkenaan pandangan akidah Imam al-Nawawi yang dikutip daripada matan Maqasid al-Nawawiyyah dan Sharah Sahih Muslim. Menurut hemat saya, bahagian ini adalah bahagian yang paling penting dalam buku ini. Hal ini kerana daripada bahagian ini, kita dapat mengetahui bahawa pendirian Imam al-Nawawi dalam beberapa isu akidah adalah selaras dengan pemikiran akidah al-Asha’irah.
Imam al-Nawawi bukannya terkesan dengan orang sekeliling lalu terikut-ikut berpegang dengan al-Asha’irah seperti yang didakwa oleh sebahagian pihak. Bahkan, beliau memahami dan mengkaji perbahasan-perbahasan akidah secara tahkik. Syeikh Sa’id Fudah mengatakan, Imam al-Nawawi sendiri pernah mengkritik pendapat Imam al-Shafi’i dalam persoalan fiqh, menunjukkan kritis dan analitisnya pemikiran beliau. Jika sedemikian sikapnya dalam bidang fiqh, maka dalam bidang akidah, yang merupakan tunjang agama, lebih patut lagi beliau bersikap demikian.
Namun demikian, sebagai penuntut ilmu, saya mengharapkan agar kandungan buku ini dikembangkan dan dipanjangkan lagi. Bagi saya, buku ini agak ringkas, akan tetapi mengandungi banyak maklumat yang berharga. Maklumat ini boleh diteliti dan dianalisis dengan lebih terperinci agar manfaatnya lebih menyeluruh dan mendalam. Walau bagaimanapun, buku ini sendiri menjadi sumbangan yang penting dalam kajian bidang akidah.
Terima kasih kepada insan yang menghadiahkan buku ini kepada saya. Sungguh saya sangat menghargainya kerana saya menikmati pembacaan buku ini. Semoga sentiasa sihat sejahtera dan dimurahkan rezeki sepanjang hidup di dunia dan akhirat.
Comments
Post a Comment