Tentang Nama Fehrest

Sudah lama saya terfikir nak meletakkan nama baru untuk blog saya ini. Sebelum ini saya menggunakan nama sendiri. Namun, saya fikir, mungkin dengan nama yang baru, blog ini boleh menjadi lebih daripada sekadar laman peribadi. Tetapi itulah, idea nama itu susah nak datang. Setelah kerap menulis ulasan buku, saya terfikir, rupanya blog saya ini secara tidak langsung sudah menjadi tempat koleksi maklumat tentang buku pemikiran Islam. Ini yang menjadi pencetus kepada idea menamakan blog saya sebagai 'Fehrest'.


Idea nama Fehrest adalah inspirasi daripada karya agung Ibn al-Nadim yang berjudul al-Fihrist. Karya tersebut mengandungi maklumat tentang buku dan penulisan para ilmuwan Islam terdahulu yang disusun mengikut bidang. Dari segi bahasa pula, kalimah fehrest berasal bahasa Parsi. Ia kemudian diserap dalam bahasa Arab menjadi al-fihris. Ia bermaksud kitab yang mengandungi senarai nama kitab yang disusun mengikut aturan tertentu. Maka dengan berpandukan idea ini, saya memperbaharui blog ini dengan nama yang baru, konsep yang baru - Fehrest - sebuah blog buku yang ilmiah tetapi kasual. 

Fehrest secara utamanya akan mengandungi ulasan-ulasan buku daripada saya. Buku-buku yang akan dikongsi lebih bertumpu kepada tema pemikiran Islam, kerana tema ini yang hampir memenuhi rak buku saya. 

Tujuan asalnya untuk mendorong saya menghabiskan buku-buku yang sudah dibeli. Biasalah dilema peminat buku, banyak membeli tetapi sikit yang sudah dibaca. Jadi, untuk mengatasi isu ini, saya gunakan hobi kedua saya iaitu menulis di blog. Secara sampingan pula, Fehrest akan diisi dengan pelbagai perkara. Kadang kala saya akan terjemah petikan teks Arab, sekadar melatih kemampuan diri. Ada masa saya akan menulis ulasan topik atau hal peribadi, cuma mungkin agak jarang.

Saya ada banyak idea yang hendak dilaksanakan menerusi Fehrest ini. Tetapi saya simpankan dahulu, cukup sekadar ini sebagai permulaan bagi banyak perkara baru yang akan mendatang. Semoga bermanfaat!

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah