Muhammad Said Ramadhan al-Buti Mendiagnosis Masalah Golongan Belia


Antara bacaan terbaik saya tahun 2023 ialah Solusi Islam Buat Para Pemuda, terjemahan bagi al-Islam wa Mushkilah al-Shabab tulisan Muhammad Said Ramadhan al-Buti. Dari segi luarannya, buku ini nipis sahaja, tidak melebihi 100 halaman. Meski nipis, kualiti kandungan yang boleh dikeluarkan daripada buku ini lebih tebal daripada yang disangka.

Pada prakata pertama, saya sedikit tersentuh apabila al-Buti menyatakan beliau tidak sempat bertemu para belia bagi membincangkan isu ini. Maka, buku ini menjadi medium pertemuan maknawi antaranya dengan para belia. Dahulu, saya pernah berhasrat untuk menghadiri majlis ilmu beliau. Apakan daya, beliau telah syahid beberapa bulan sebelum saya terbang ke Jordan. Maka, jadilah buku ini sebagai medium pertemuan maknawi antara saya dan beliau.

Sebelum mula membaca buku ini, saya sangka ia seperti buku lain yang berbicara tentang salah laku golongan belia. Rupanya tidak. Al-Buti lebih menumpukan nasihatnya dalam buku ini kepada masyarakat. Menurut beliau, belia adalah gambaran masyarakat sekitarnya. Asas pemikiran beliau adalah, bukan belia, tetapi masyarakat sekelilingnya menjadi punca utama kerosakan golongan belia. Kata beliau,

"Jelaslah bahawa para pemuda adalah lukisan yang paling tepat untuk menggambarkan keadaan masyarakat di sekitarnya. Sekiranya baik masyarakat itu, maka cantiklah lukisan itu. Sekiranya buruk masyarakat itu, maka buruklah lukisan itu."

Al-Buti mengumpamakan belia seperti lukisan yang amat sensitif dengan persekitaran. Apa-apa yang berlaku di sekitarnya akan mudah dicerap oleh mereka. Maka, masyarakat sekitar yang menjadi pempengaruh pada diri belia. Baik yang dibawa masyarakat, baiklah belia yang mengikutinya. Buruk yang dibawa masyarakat, buruklah belia yang mengikutinya. Begitulah rantaiannya menurut al-Buti. 

Sifat seorang pemikir memang terserlah pada diri al-Buti dalam buku ini. Sebelum ini beliau mengenal pasti masyarakat sebagai punca utama kepincangan belia. Kemudian, beliau mendiagnosis pula masalah golongan belia dari akarnya. Aspek yang disentuh oleh beliau ialah ilmu, budaya, jiwa dan sosial. Aspek ilmu yang sangat beliau tekankan. Ulasannya mendalam sehingga menyentuh dualisme falsafah Barat. Cuma, contoh masalah sosial tidak banyak dikupas. Mungkin itu sahaja masalah sosial yang berlaku pada zamannya. 

Apabila kita faham pendirian al-Buti, kita akan tahu bahawa masyarakatlah yang perlu diberi solusi penyelesaian masalah. Al-Buti mengulas bagaimana sepatutnya masyarakat memberi tunjuk ajar yang baik kepada golongan belia. Contohnya, masyarakat perlu mencari ilmu yang benar dan tidak bersifat dualistik seperti falsafah Barat, kemudian mengajarkannya kepada golongan belia. 

Bagaimana pula dengan belia? Bagi al-Buti, golongan belia perlu diberi pertahanan supaya sentiasa tercegah daripada pengaruh buruk. Di sinilah beliau tekankan pentingnya golongan belia membaca dan mengkaji mengikut tertib yang betul dari asas hingga ke cabang supaya tidak timbul kekeliruan. Dalam pada itu, al-Buti tidaklah terlalu menentang budaya luar. Bagi beliau, benteng pada belia perlu dipasang dengan jaringan ilmu agar dapat juga ambil yang jernih daripada budaya luar. Selain itu, beliau juga tekankan pentingnya belia dikelilingi orang-orang yang baik supaya hidupnya sentiasa terbimbing. 

Perkara menarik yang saya dapati ialah al-Buti konsisten mempertahankan Islam daripada serangan ilmuwan yang terpengaruh dengan falsafah Barat. Bukan dalam buku ini sahaja, malah saya turut mendapatinya dalam buku lain seperti Allah atau Manusia dan Agama dan Falsafah. Dalam buku ini pula, beliau menyelar orang yang ingin menggantikan tempat Islam dengan budaya asing untuk menjadi solusi bagi masalah belia. Beliau menganggap mereka hanya mengikut nafsu, seraya berkata,

"Seandainya nafsu menurut keinginan itu mampu untuk memperbaiki hal masyarakat yang rosak, nescaya kita sudah boleh melihat dunia haiwan yang teratur dan diurus dengan baik."

Kesimpulannya, Solusi Islam Buat Para Pemuda adalah suatu buku yang bagus untuk sesiapa yang mahu melakukan islah terhadap belia dan masyarakat. Saya lihat ada persamaan antara al-Buti dalam buku ini dengan al-Ghazali dalam Ihya' Ulum al-Din pada usaha mendiagnosis masalah yang melanda masyarakat Islam sedalam-dalamnya hingga ke akarnya.

Jika berminat dengan buku ini, boleh beli di pautan berikut: https://shope.ee/7zpb7MjGzY

Comments

Post a Comment

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah