Huraian Asma’ al-Husna 1: Allah oleh Hasanayn Muhammad Makhluf
Nama ‘Allah’ ialah kata nama bagi Zat yang wajib wujud yang berhak menerima segala pujian. Ia nama yang paling agung dalam menunjukkan Zat Yang Maha Tinggi—Zat yang menghimpunkan segala sifat ketuhanan; unik dengan keesaan pada zat, sifat dan perbuatan; dan satu-satu-Nya yang layak disembah. Maka, tiada Tuhan yang mentadbir dan layak disembah melainkan Allah.
Nama ‘Allah’ juga suatu nama yang khusus bagi-Nya sahaja. Ia tidak dinamakan kepada sesiapa pun, baik zaman jahiliah mahupun setelah kedatangan Islam—menurut Abu Hanifah, al-Syafi‘i dan jumhur. Adapun nama-Nya yang lain adalah sifat bagi-Nya serta menunjukkan makna yang sabit pada diri-Nya secara sempurna dan suci, seperti sifat hidup, ilmu dan kuasa. Allah s.w.t berfirman,
- “Allah, tiada Tuhan melainkan Dia.” (al-Baqarah: 255)
- “Demikian itulah Allah, Tuhan kamu.” (Yunus: 3)
- “Yang demikian (sifat dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan melainkan Dia, yang menciptakan setiap sesuatu, maka beribadahlah kamu kepada-Nya.” (al-An’am: 102)
- “Sesungguhnya Aku-lah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Taha: 14)
- “Sembahlah Allah, tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya.” (al-Mu’minun: 32)
- “(Wahai Bani Israil!) Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka Allah pasti mengharamkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiada seorang penolong pun bagi orang yang zalim.” (al-Ma’idah: 72)
- “Dia-lah Allah tiada Tuhan melainkan Dia. Segala puji bagi-Nya di dunia dan di akhirat; hanyalah Dia yang berkuasa menghukum, serta kepada-Nya kamu semua dikembalikan.” (al-Qasas: 70)
- “Allah jualah yang menciptakan setiap sesuatu, dan Dia-lah Yang Maha Esa, lagi Maha Perkasa.” (al-Ra‘d: 16)
- “Tiada Tuhan melainkan Allah.” (Ali ‘Imran: 62)
- “Katakanlah, ‘Dia-lah Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Dia.’” (al-Ra’d: 30)
- “Allah! Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar.” (al-Naml: 26)
- “Janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia.” (al-Qasas: 88)
- “Oleh itu, ketahuilah (wahai Muhammad) bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah.” (Muhammad: 19)
- “Tiada Tuhan melainkan Allah; sesungguhnya Allah jua Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.” (Ali ‘Imran: 62)
Cumanya, kalimah tauhid tidak termasuk dalam 99 nama Allah.
Makna Kalimah Tauhid
Perkataan lailahaillallah ialah kalimah tauhid yang bermaksud tiada Tuhan yang wujud atau layak disembah melainkan Allah. Firman-Nya,
- “Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa.” (al-Nisa’: 171)
- “Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan selain Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.” (al-Baqarah: 163)
- “Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata, ‘Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan.’ Padahal tiada Tuhan melainkan Tuhan Yang Maha Esa.” (al-Ma’idah: 73)
- “Sesungguhnya Tuhan kamu benar-benar Esa; Tuhan (yang mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara kedua-duanya; Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari.” (al-Saffat: 4-5)
- “Sesungguhnya Tuhan kamu hanya Allah, yang tiada Tuhan melainkan Dia, yang meliputi pengetahuan-Nya akan setiap sesuatu.” (Taha: 98)
- “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan melainkan Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.” (al-Taubah: 31)
- “Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya, ‘Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, beribadahlah kepada-Ku.’” (al-Anbiya’: 25)
- “Sesungguhnya Aku-lah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Taha: 14)
- “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata.” (al-Isra’: 23)
- “Dan bertanyalah kepada umat mana-mana rasul yang Kami telah utuskan sebelummu; pernahkah Kami memberi hukum menetapkan sebarang tuhan untuk disembah, selain daripada Allah Yang Maha Pemurah.” (al-Zukhruf: 45)
- “Ah (celakalah) kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?” (al-Anbiya’: 67)
- “Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain daripada Allah, menjadi bahan bakaran yang dilemparkan ke dalam neraka jahannam; kamu (tetap) akan memasukinya. Kalaulah mereka (yang kamu sembah) itu tuhan, tentulah mereka tidak masuk ke dalam neraka; dan (ketahuilah), semuanya (yang menyembah dan yang disembah) akan kekal dalam neraka selama-lamanya.” (al-Anbiya’: 98-99)
- “Maha Suci Allah dan Maha Tinggi Dia daripada perbuatan syirik yang mereka lakukan.” (al-Nahl: 1)
Nama-nama Kalimah Tauhid dalam al-Quran
Kalimah tauhid yang mulia ini—yang membawa kebahagiaan, keselamatan dan kejayaan yang agung serta pengesaan yang tulus—mempunyai beberapa nama lain dalam al-Quran, antaranya:
- Kalimah ikhlas. Firman Allah s.w.t, “Oleh itu, hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan agama (ibadah) kepada-Nya. Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah agama (ibadah) yang suci bersih (daripada segala rupa syirik).” (al-Zumar: 2-3) Maksud agama dalam ayat ini ialah ibadah. Ikhlas dalam ibadah tidak akan sempurna melainkan dengan mengesakan Allah serta menafikan segala sekutu bagi-Nya. Firman Allah s.w.t, “Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (Zat, sifat dan pentadbiran-Nya) dan Dia-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (al-Shura: 11) Adapun surah al-Ikhlas pula dinamakan sedemikian kerana seluruh kandungannya berkisar tentang tauhid yang tulus.
- Kalimah ihsan. Seorang hamba berbuat baik kepada dirinya dengan mengesakan Allah melalui ucapan lisan, iktikad hati dan amal perbuatan. Maka Allah berbuat baik kepada hamba tersebut dengan menganugerahkan ganjaran pahala yang besar kepadanya. Firman Allah s.w.t, “Bukankah tiada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?” (al-Rahman: 60) Oleh itu, tiada kebaikan yang lebih besar berbanding ganjaran daripada Allah s.w.t. Firman Allah, “Untuk orang yang berusaha menjadikan amalnya baik, dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia.” (Yunus: 26) Kebaikan yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah ganjaran syurga yang kekal abadi, manakala tambahan yang mulia pula adalah melihat wajh Allah di akhirat.
- Kalimah adil. Firman Allah s.w.t, “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan.” (al-Nahl: 90) Menurut Ibn ‘Abbas, adil dalam ayat ini bermaksud kesaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah, manakala kebaikan pula bermaksud tulus dalam syahadah tanpa dicemari kekeliruan. Ada pendapat lain mengatakan adil adalah sesama manusia, manakala kebaikan pula terhadap diri sendiri melalui taat dan patuh kepada Allah s.w.t.
- Kata-kata yang baik. Firman Allah s.w.t, “Dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan Allah yang amat terpuji.” (al-Hajj: 24) Tiada kata yang lebih baik, suci dan mulia melainkan kalimah lailahaillallah yang ditunjukkan oleh Allah kepada mereka, lalu mereka pun ditunjukkan kepada Islam—jalan yang lurus menuju Allah s.w.t.
- Perkataan yang baik, yakni yang diterima oleh Allah s.w.t. Firman Allah, “Kepada Allah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid untuk dimasukkan ke dalam buku amalan), dan amal yang soleh pula diangkat naik (sebagai amal yang makbul, yang memberi kemuliaan kepada pelakunya).” (Fatir: 10) “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akarnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.” (Ibrahim: 24) Yakni kalimah tauhid itu seperti pokok yang baik dan lebat buahnya, memberikan manfaat kepada pemiliknya setiap masa. Ada pendapat mengatakan ia adalah pohon kurma.
- Kalimah yang tetap. Kalimah tauhid juga disifatkan sebagai tetap kerana yang pertama menetapkannya ialah Allah. Firman-Nya, “Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (alam) dengan keadilan, dan para malaikat serta orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian).” (Ali ‘Imran: 18) Maksudnya, kalimah yang benar lagi jelas itu ditetapkan oleh Allah terhadap orang mukmin di dunia dan di akhirat, seperti firman-Nya, “Allah menetapkan (pendirian) orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang yang zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya.” (Ibrahim: 27) Adapun destinasi pertama bagi kehidupan akhirat ialah kubur setelah meninggal dunia.
- Kalimah takwa, yakni kalimah yang dijadikan sebagai pendinding oleh ahlinya daripada menyifatkan Allah dengan tuduhan orang musyrik. Dengan itu, orang mukmin melindungi diri mereka daripada azab yang pedih, firman-Nya, “Lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan orang yang beriman (sehingga tercapai perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada ‘kalimah takwa’, sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang yang sangat berhak dengan ‘kalimah takwa’ itu serta menjadi ahlinya.” (al-Fath: 26) Maka merekalah makhluk yang paling layak dengan kalimah ini, yang menjadi kunci syurga dan rahmat Allah, merekalah orang yang bertakwa dan mendapat keampunan.
- Kalimah yang kekal, yang tidak binasa dan tidak berubah. Firman-Nya s.w.t, “Dan Nabi Ibrahim menjadikan kalimah tauhid itu tetap kekal pada keturunannya.” (al-Zukhruf: 28) Yakni pada keturunan Nabi Ibrahim al-Khalil a.s, sepertimana baginda menyebutkan kepada bapanya dan umatnya, “Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya, ‘Sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu sembah.’” (al-Zukhruf: 26) Oleh sebab itu, para mufassir berpendapat ia adalah kalimah tauhid.
- Kalimah Allah yang tertinggi, yang meninggi di atas setiap perkara kerana keagungan dan kemuliaannya. Firman-Nya, “Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya).” (al-Taubah: 40) Dengan kalimah itu, agama yang lurus ini meninggi sepanjang zaman. Firman-Nya, “Untuk dimenangkan dan ditinggikan atas segala agama yang lain.” (al-Taubah: 33) Ini kerana agama inilah agama yang benar walaupun dibenci oleh orang musyrik.
- Sifat yang tertinggi. Firman-Nya, “Dan bagi Allah jualah sifat yang tertinggi.” (al-Nahl: 60) Qatadah berpendapat ia merujuk kepada kalimah lailahaillallah, manakala al-mathal bermaksud sifat, seperti firman-Nya, “Sifat syurga yang dijanjikan kepada orang yang bertakwa.” (al-Ra'd: 35) Yakni mathal ialah sifatnya.
- Kalimah yang sama, firman-Nya, “Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun; dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan tuhan selain daripada Allah.’ Kemudian jika mereka (ahli kitab) barpaling, maka katakanlah kepada mereka, ‘Saksikanlah sesungguhnya kami adalah orang Islam.’” (Ali ‘Imran: 64) Abu al-‘Aliyah berpendapat kalimah yang sama tersebut ialah kalimah tauhid, dinamakan sedemikian kerana ia jalan lurus yang seimbang antara dua bentuk pelampauan: al-ifrat (melampau dalam berlebihan) dan al-tafrit (melampau dalam kelonggaran).
- Kalimah keselamatan, kerana tiada keselamatan daripada azab Allah melainkan dengan kalimah ini. Firman-Nya, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.” (al-Nisa’: 48) “Sesungguhnya perbuatan syirik itu satu kezaliman yang besar.” (Luqman: 13) Jabir r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang dua perkara yang mewajibkan, baginda menjawab, “Sesiapa yang bertemu Allah tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu, akan masuk syurga. Manakala sesiapa yang bertemu Allah dalam keadaan menyekutukan-Nya dengan sesuatu, akan masuk neraka.” (Muslim: 93)
- Doa yang benar. Firman-Nya, “Doa yang benar (kuasa menerima ibadat yang benar) hanya bagi Allah.” (al-Ra‘d: 14) Yakni doa yang sabit dan benar itu bagi Allah s.w.t, iaitu kalimah tauhid, seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir. Ibn Abbas, Qatadah dan Malik daripada Muhammad bin al-Munkadir juga mengatakan ia adalah lailahaillallah. Maksud doa yang benar bagi Allah ialah Allah yang mensyariatkannya, memerintahkannya dan menjadikan permulaan Islam seseorang dengannya yang tidak akan diterima tanpanya. Adapun seruan orang kafir adalah batil dan sesat yang nyata. Firman-Nya, “Dan tiadalah ibadat dan doa permohonan orang kafir itu melainkan dalam kesesatan.” (al-Ra‘d: 14)
- Kalimah perjanjian. Firman-Nya, “Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya!” (Maryam: 87) Menurut Ibn Abbas, perjanjian itu ialah kalimah lailahaillallah berdasarkan dalil firman-Nya, “Dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) dengan-Ku, supaya Aku sempurnakan perjanjian-Ku dengan kamu.” (al-Baqarah: 40) Perjanjian dengan Allah s.w.t itu adalah mengimani apa yang diperintahkan-Nya berdasarkan firman-Nya, “Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (al-Quran).” (al-Baqarah: 41) Yakni perjanjian terawal, seperti dalam firman-Nya, “(Allah berfirman,) ‘Bukankah Aku Tuhan kamu?’ Mereka semua menjawab, ‘Benar.’” (al-A‘raf: 172)
- Kalimah istiqamah. Firman-Nya, “Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, ‘Tuhan kami ialah Allah,’ kemudian mereka istiqamah (tetap teguh)di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham), ‘Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita.’” (Fussilat: 30) Menurut Ibn Mas‘ud, ‘kemudian mereka istiqamah’ bermaksud mereka mengucapkan lailahaillallah, maka mereka menafikan segala syirik dan sekutu bagi-Nya.”
- Kunci perbendaharaan langit dan bumi. Firman-Nya, “Dia-lah yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi.” (al-Zumar: 63) Yakni kuncinya. Ibn Abbas berpendapat ia adalah kalimah lailahaillallah kerana keesaan kalah sebab kemakmuran alam, manakala kesyirikan ialah sebab kerosakannya. Firman-Nya, “Kalau ada di langit dan di bumi tuhan yang lain daripada Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya.” (al-Anbiya’: 22)
- Perkataan yang tepat dan benar, yang mengunci pintu neraka jahannam daripada pengucapnya di hari kiamat. Kalimah al-sadid ini atas atas wazan fa'il yang berperanan sebagai pelaku.
- Kalimah kebaikan. Firman-Nya, “Tetapi kebajikan itu adalah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat.” (al-Baqarah: 177) Maka kebaikan menjadi isyarat kepada keimanan dan tauhid.
- Agama yang tulus. Firman-nya, “Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ketaatan yang suci bersih (daripada segala rupa syirik).” (al-Zumar: 3) Maksudnya, segala ibadah yang tulus, tunduk dan patuh adalah hanya kepada Allah sahaja, dan ia hanya akan menjadi demikian sekiranya Dia Maha Esa dalam uluhiyyah dan tiada sekutu bagi-Nya.
- Jalan yang lurus. Firman-Nya, “Tunjukkanah kami jalan yang lurus.” (al-Fatihah: 6) “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan (selain Islam), kerana jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu.” (al-An‘am: 153) “Dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang yang beriman ke jalan yang lurus.” (al-Hajj: 54) Iaitu ucapan lailahaillallah. Firman-Nya juga, “Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.” (al-Shura: 53)
- Kalimah yang benar. Firman-Nya, “Kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah.” (al-Zukhruf: 86) Yakni kalimah lailahaillallah.
- Simpulan tali yang teguh. Firman-Nya, “Oleh itu, sesiapa yang tidak mempercayai taghut, dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus.” (al-Baqarah: 256) Yakni kalimah tauhid.
- Kalimah yang benar. Firman-Nya, “Dan (nyatalah bahawa) yang membawa kebenaran (tauhid dan hukum agama) serta dia (dan para pengikutnya) mengakui kebenarannya (dengan mematuhi hukum itu), mereka itulah orang yang bertakwa.” (al-Zumar: 33) Yakni kalimah lailahaillallah.
Ketahuilah bahawa kalimah tauhid dan ikhlas—yang dinamakan oleh Allah s.w.t dalam kitab-Nya dan disifatkan-Nya dengan nama dan sifat yang kita telah terangkan—adalah zikir yang paling afdal dan bermanfaat. Nabi Yunus a.s mengucapkannya dengan sepenuh keikhlasan hati dan keyakinan kepada Allah ketika berada di bawah laut yang gelap, “Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah daripada kalangan orang yang menganiaya diri sendiri.” (al-Anbiya’: 87) Maka Allah mengkabulkan dan baginda pun terselamat.
Malah Firaun yang terlaknat pun mahu berlindung dengan kalimah tauhid ini ketika tenggelam dalam laut, namun diucapnya tanpa keikhlasan hati kepada Allah, dia berkata, “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil.” (Yunus: 90) Akan tetapi, Allah mengembalikan permohonannya itu dalam keadaan hampa dan rugi, maka dia menjadilah orang yang tenggelam dan binasa.
Ibn Umar r.a pernah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Tiada kesedihan bagi ahli lailahaillallah ketika meninggal dunia dan dibangkitkan semula.”¹ Allah berfirman, “Allah menetapkan (pendirian) orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang yang zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya.” (Ibrahim: 27) Seperti yang disebutkan, destinasi pertama hari akhirat bermula dari kubur. Oleh itu, marilah kita memohon kepada Allah agar ditetapkan dalam ucapan yang tetap di dunia dan akhirat.
Akhir sekali, ketahuilah bahawa lafaz huwa bukanlah nama-nama Allah di sisi jumhur. Al-Khatib al-Razi pula menukilkan pendapat bahawa ia adalah nama yang mulia dan agung bagi Allah s.w.t, meskipun ia tidak termasuk dalam 99 nama-Nya.
Rujukan:
- Hasanayn Muhammad Makhluf, 1974, Asma’ Allah al-Husna wa al-Ayat al-Karimah al-Waridah Fiha, t.tp. Pautan PDF
Nota kaki:
- Hadis tidak sahih menurut kebanyakan ulama hadis (al-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah; al-‘Ajluni, Kashf al-Khafa’)
Comments
Post a Comment