Berkenaan Gelaran Imam, Syeikh dan Seumpamanya
Antara perubahan yang saya buat pada artikel saya tahun ini ialah saya menyingkirkan gelaran imam, syeikh dan seumpamanya setiap kali saya menyebutkan nama ulama. Bukanlah saya tidak beradab dengan mereka, akan tetapi perkara ini ada sebabnya yang tersendiri. Dahulu, semasa saya membaiki tesis sarjana, penilai tesis saya menyarankan agar tidak meletakkan gelaran kepada ulama dalam penulisan ilmiah. Beliau mencadangkan agar meletakkan nama masyhurnya sahaja seperti al-Shafi‘i, al-Bukhari dan al-Ghazali, tanpa gelaran imam, allamah dan seumpamanya. Sebelum anda berfikir apa-apa, saya harus mengatakan dahulu bahawa penilai tesis saya tersebut merupakan antara pensyarah yang sering mempertahankan akidah al-Asha‘irah. Maka, beliau bukanlah pengikut Wahhabi atau Salafi yang tidak beradab dengan ulama seperti yang biasa anda ketahui. Tidak seribu kali tidak. Sebaliknya, beliau menjelaskan justifikasi di sebalik perkara ini adalah untuk bersikap adil dan tidak berat sebelah dalam ka...