Huraian Asma’ al-Husna 3: al-Malik oleh Hasanayn Muhammad Makhluf


Nama Allah al-Malik—dengan huruf lam disebut secara kasrah—bermaksud:
  • Yang menguasai seluruh perkara yang mumkin dengan suruhan dan larangan.
  • Pemilik yang mengatur segala sesuatu dengan kehendak, kuasa dan kebijaksanaan-Nya.
  • Yang mempunyai kerajaan, keagungan, pemerintahan dan kekayaan.
  • Yang tidak memerlukan kepada selain-Nya dari sudut zat, sifat dan perbuatan.
Firman Allah Taala,
  • Yang Menguasai sekalian manusia.” (al-Nas: 2)
  • Dia-lah Allah, yang tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Menguasai, Yang Maha Suci.” (al-Hashr: 23)
  • Maka Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Maha Benar.” (al-Mu’minun: 116)
Maka, Allah itu kaya yang sebenar-benarnya, kaya yang tidak perlu meminta kepada makhluk, sebaliknya makhluk yang perlu meminta kepada-Nya. 

Oleh itu, Allah itu Maha Menguasai, seperti firman-Nya, “Yang Menguasai hari pembalasan.” (al-Fatihah: 4)

Allah juga Yang memiliki kuasa pemerintahan, seperti firman-Nya,  “Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Wahai Tuhan yang memiliki kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.’” (Ali ‘Imran: 26)

Allah juga Yang menguasai segala sesuatu dalam kerajaan-Nya, seperti firman-Nya, “Oleh itu, Maha Suci Allah, Tuhan yang memiliki dan menguasai segala sesuatu.” (Yasin: 83) 

Maksud malakut lebih luas daripada perkataan mulk atau kerajaan, seperti rahabut bagi perkataan rahbah atau gerun [maka maksud malakut ialah kerajaan yang amat luas, seperti rahabut yang bermaksud ketakutan yang amat dahsyat].

Firman Allah s.w.t juga, “Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendak-Nya.” (al-Qamar: 55)

Menurut sebahagian pendapat, perkataan al-mālik lebih mendalam berbanding al-malik. Sebahagian lain pula mengatakan sebaliknya. Namun al-malīk lebih mendalam berbanding al-mālik, seperti al-qādir dan al-qadīr

Maka, Allah Taala ialah al-malik, al-mālik, al-malīk, mālik al-mulk, dalam kekuasaan-Nya malakūt yakni kerajaan langit dan bumi. Maha Suci-Nya, Dia-lah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Suci.


Rujukan:

Hasanayn Muhammad Makhluf, 1974, Asma’ Allah al-Husna wa al-Ayat al-Karimah al-Waridah Fiha, t.tp. Pautan PDF

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah