Huraian Asma’ al-Husna 2: al-Rahman dan al-Rahim oleh Hasanayn Muhammad Makhluf
Al-Rahman dan al-Rahim ialah dua nama dalam bahasa Arab bagi Allah s.w.t. Kedua-duanya berasal daripada kata dasar ‘al-Rahmah’ yang bermaksud kelembutan dalam hati yang menuntut sikap berbuat baik dan berlaku ihsan. Oleh sebab mustahilnya maksud ini bagi Allah, maka makna asas al-Rahmah yang layak bagi-Nya ialah sama ada:
- Kehendak yang azali untuk memberikan kebaikan dan pahala kepada hamba yang dikehendaki-Nya serta melindungi mereka daripada sebarang kejahatan. Makna ini adalah al-Rahman dan al-Rahim dari sudut sifat zat.
- Memberikan kebaikan kepada hamba atau melindungi mereka daripada sebarang kejahatan secara berterusan. Makna ini pula ialah al-Rahman dan al-Rahim dari sudut sifat perbuatan.
Adapun dari segi istilah, makna al-Rahman dan al-Rahim mempunyai pelbagai pendapat, antaranya:
- Al-Rahman dengan memelihara di dunia dan melimpahkan kebaikan kepada hamba yang memerlukan. Al-Rahim pula dengan mengampuni di akhirat dan menganugerahkan nikmat dan kelebihan kepada hamba.
- Al-Rahman ialah jika hamba meminta kepada-Nya, Dia akan memberi. Al-Rahim pula jika hamba tidak meminta kepada-Nya, Dia akan murka.
- Al-Rahman adalah dengan menghapuskan kesusahan dan kekurangan. Al-Rahim pula dengan menerangkan hati akan hal-hal yang ghaib.
- Al-Rahman adalah dengan mengajarkan al-Quran. Al-Rahim pula dengan memuliakan penghormatan dan kesejahteraan kepada orang mukmin. Firman Allah s.w.t, “Tuhan Yang Maha Pemurah. Yang telah mengajarkan al-Quran.” (al-Rahman: 1-2) dan firman-Nya, “Ucapan salam sejahtera daripada Tuhan Yang Maha Penyayang.” (Yasin: 58)
- Al-Rahman dan al-Rahim adalah semua perkara di atas. Pendapat ini lebih sahih.
Menurut pendapat majoriti, al-Rahman lebih umum berbanding al-Rahim. Oleh sebab itulah terkenal frasa ‘Maha Pemurah di dunia’ dan ‘Maha Penyayang di akhirat’. Sudah maklum bahawa rahmat Allah di dunia meliputi orang mukmin dan orang kafir, orang baik dan orang jahat. Ia berlaku menerusi pemberian rezeki, pengurniaan kesihatan dan melindungi daripada keburukan dan musibah. Berbeza dengan rahmat Allah di akhirat yang khusus bagi orang mukmin. Terdapat riwayat bahawa Nabi Isa a.s memanggil al-Rahman sebagai ‘Maha Pemurah di dunia dan akhirat’, manakala al-Rahim pula ‘Maha Penyayang di akhirat’.
Seperti nama Allah, nama al-Rahman dan al-Rahim juga khusus bagi Allah sahaja. Maka tiada sesiapa yang dinamakan dengan dua nama ini baik di zaman jahiliah mahupun selepas kedatangan Islam.
Selain itu, martabat rahmat ialah martabat yang tertinggi. Oleh sebab itu, Allah s.w.t menyifatkan dua sifat ini kepada Rasulullah s.a.w, firman-Nya, “Tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (al-Anbiya’: 107) Firman-Nya lagi, “Maka dengan sebab rahmat daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (para sahabatmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.” (Ali ‘Imran: 159) Firman-Nya juga, “Dan baginda pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman.” (al-Taubah: 127)
Rasulullah s.a.w juga memuji Abu Bakr dengan sifat ini, sabdanya, “Orang yang paling mengasihi umatku ialah Abu Bakr.” (al-Tirmidhi: 3790) Dalam hadis lain, baginda bersaba, “Orang yang mengasihi itu dikasihi Maha Pemurah. Kasihilah penduduk bumi, kamu akan dikasihi penduduk langit.” (Abu Daud: 4941) Sabda baginda juga, “Sesiapa yang tidak menyayangi, dia tidak dikasihi.” (al-Bukhari: 6013)
Antara ayat al-Quran lain yang menyebutkan al-Rahman dan al-Rahim ialah:
- “Allah Dia-lah Yang Maha Pemurah, yang kami beriman kepada-Nya; yang kepada-Nya kami berserah diri.” (al-Mulk: 29)
- “Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.” (al-Nisa’: 100)
- “Turunnya Kitab ini daripada Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.” (Fussilat: 2)
- “Dia-lah Allah, yang tiada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia-lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.” (al-Hashr: 22)
- “Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan selain Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.” (al-Baqarah: 163)
- “Dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya; oleh itu, ikutlah daku dan taatilah perintahku.” (Taha: 90)
Rujukan:
- Hasanayn Muhammad Makhluf, 1974, Asma’ Allah al-Husna wa al-Ayat al-Karimah al-Waridah Fiha, t.tp. Pautan PDF
Comments
Post a Comment