Pemilik Mazhab Lebih Mengenali Manhajnya
Baru-baru ini, timbul isu tentang satu buku tempatan yang dikatakan mengandungi akidah sebenar al-Shafi‘i. Ramai juga ustaz yang telah memberikan kritikan terhadap kandungan buku tersebut. Kebanyakan kritikan bertumpu pada sudut ilmu hadis kerana buku tersebut mengetengahkan akidah yang didakwa bersanad sahih daripada al-Shafi‘i.
Apapun, bukan sudut hadis yang hendak dibicarakan pada kali ini kerana ia bukan bidang kepakaran saya. Bukan juga saya mahu menambah lagi kritikan terhadap buku tersebut kerana bagi saya kritikan yang sedia ada sudah mencukupi.
Saya cuma terfikir, rasanya memang sudah menjadi resam dan kebiasaan ulama besar, apa sahaja yang penting daripadanya, ia pasti akan dimasyhurkan oleh murid-muridnya. Sebaliknya, jika ada perkara yang kurang masyhur dalam kalangan muridnya, pasti ada sesuatu yang tidak kena padanya.
Apa yang mereka dakwa terhadap al-Syafi‘i ini lebih kurang dengan apa yang berlaku pada al-Ash’ari. Seperti yang kita tahu, rakan-rakan Salafi dan Wahhabi pernah mendakwa al-Ash‘ari melalui fasa ketiga dalam perjalanan akidahnya. Dakwaan ini batil kerana ia tidak masyhur dalam kalangan murid utama al-Ash‘ari. Cuba kita fikir, hal ini berkisar tentang akidah, yakni suatu yang sangat mustahak. Kalau benar al-Ash‘ari melalui fasa ketiga tersebut, sudah tentu muridnya akan memasyhurkannya sebagaimana kisah beliau menanggalkan jubah Muktazilah itu.
Macam kita jugalah. Kalau sudah berkahwin, pasangan kitalah yang lebih tahu tentang diri kita berbanding orang lain. Bahkan ada kalanya pasangan kita lebih tahu hal ehwal diri kita berbanding ibu bapa atau anak-anak kita sendiri. Maksud saya, orang yang rapat dengan kita lebih mengenali diri kita berbanding orang lain.
Maka begitulah juga halnya dalam isu al-Shafi‘i ini. Murid-murid utama beliau seperti al-Muzani tidak memasyhurkan akidah nadir seperti yang didakwa dalam buku tersebut. Mereka tahu ia bukan pendapat guru mereka, maka mereka tidak memasyhurkannya. Kalau ia benar-benar pendapat al-Shafi‘i, sudah tentu muridnya akan berusaha keras menyebarkan akidah tersebut kerana ia suatu yang sangat mustahak supaya orang ramai tidak tersalah mengikut akidah yang ditinggalkan oleh imam mereka.
Benarlah pepatah Arab mengatakan,
Maka saya katakan, pemilik mazhab lebih mengenali manhajnya. Murid-murid utama al-Shafi‘i dan al-Ash‘ari lebih mengenali manhaj guru mereka masing-masing. Para pengikut mereka lebih mengetahui manhaj tokoh mereka. Bukanlah maksud saya sebarang pendapat orang luar langsung tidak boleh diambil. Cumanya ia perlu disaring terlebih dahulu di samping menjadikan huraian para murid dan pengikut sebagai rujukan utama.
Perkara yang sama juga mesti diikuti kalau pengikut Ash‘ari hendak mengkaji manhaj Salafi Wahhabi, mereka perlu merujuk kitab dan huraiannya daripada murid dan pengikut aliran tersebut. Ia adalah amanah dalam ilmu. Tidak amanah jika kita mengambil dakwaan batil daripada orang luar lalu kita mengenakannya pada tokoh kajian kita. Sebaliknya, dengan merujuk huraian murid dan pengikutnya, kita akan mendapat gambaran yang betul tentang tokoh kajian kita, kemudian barulah kita boleh mengkritik secara adil dan tepat.
Adapun tentang buku tersebut, saya memang tidak bersetuju dengan kandungannya kerana seolah-olah memaparkan itulah akidah sebenar al-Shafi’i, sedangkan hakikatnya jauh panggang dari api. Jika mahu terbit juga buku itu sekalipun atas tujuan penyelidikan atau perbincangan intelektual misalnya, maka bagi saya tajuknya perlu diubah agar tidak membawa gambaran dan konotasi yang salah.
Comments
Post a Comment