Menghampiri Alam Keibubapaan
Gemuruh juga bila hendak menuju ke alam keibubapaan. Banyak yang bermain di fikiran, terutamanya sudut pendidikan awal anak nanti. Saya tak pasti, tapi saya rasa saya juga berfikir seperti orang lain. Rata-rata kita sedar bahawa kita bukanlah ulama yang boleh memiliki ilmu yang luas agar anak pun boleh mengikuti jejak langkah kita. Tapi kita juga mengharapkan anak kita menjadi seorang yang berilmu dan berjaya.
Tiap kali saya fikir begini, saya teringat pada bapa al-Ghazali. Dikatakan bapanya bukanlah ulama besar, sebaliknya hanya orang biasa yang mencintai ilmu dan ulama. Namun beliau selalu berdoa agar suatu hari nanti anak-anaknya akan menjadi ulama besar.
Doa beliau ini dipanjatkan ketika dalam pengajian ilmu. Apabila dia menghadiri pengajian fiqah, dia berdoa agar dikurniakan anak yang faqih. Apabila dia menghadiri pengajian tasawuf pula, dia berdoa agar dikurniakan anak yang menjadi pendakwah kerohanian.
Doa bapa al-Ghazali ini dikabulkan oleh Allah s.w.t. Anaknya Muhammad—yakni al-Ghazali—menjadi antara orang yang paling faqih di zamannya. Manakala anaknya Ahmad menjadi antara pendakwah kerohanian yang berpengaruh di zamannya.
Namun, bapa al-Ghazali meninggal dunia ketika anak-anaknya masih kecil. Tetapi usaha beliau memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang baik tidak terhenti begitu sahaja. Sebelum pemergiannya, beliau sempat meminta rakannya—yang juga seorang pendidik—untuk memberikan pendidikan kepada anak-anaknya. Beliau juga memberi duit upah kepada rakannya itu. Sehinggalah duit upah kehabisan, lalu rakan bapa itu menghantar anak-anak tersebut ke sekolah.
Saya rasa kita boleh meletakkan diri kita dalam kasut yang sama dengan bapa al-Ghazali. Kita semua sedar kita hanya orang biasa, tetapi itu tidak bermakna kita tidak mampu melorongkan anak kita ke jalan yang lebih baik. Yang penting ialah berdoa dan berusaha sepertimana bapa al-Ghazali. Ini untuk anak. Adapun untuk diri kita sendiri, kita tetap kena berusaha memperbaiki diri hari demi hari. Tidak sedikit orang terdahulu yang lewat menjadi ulama. Begitu jugalah kita, selagi ada masa, selagi itu boleh berubah menjadi lebih baik.
Comments
Post a Comment