Lintasan Hati & Fikiran: 3 M


Artikel ini siap ditulis oleh isteri saya, Nur Suhaili, pada 12 September 2021 dalam blog saya yang lain. Saya bawa ke sini untuk menyimpannya kerana saya sudah menutup blog tersebut. Semoga manfaatnya dapat diteruskan di tempat yang baru.

12 Ogos 2021

Ketika saya ingin melangkah ke tahun akhir pengajian, ada seorang senior bertanya kepada saya, “Seronok tak dah nak final year?”.

Saya cuma gelak membiarkan soalan itu tanpa jawapan dan memintanya agar mendoakan saya. Tidak sangka masa begitu pantas berlalu sehingga saya kini bakal berada di tahun akhir. Begitu pantas masa berlalu, pejam celik sudah 3 tahun lebih saya di sini.

Pada masa itulah saya bermuhasabah diri, apa yang harus saya buat dengan diri ini, apa yang perlu saya ada sebagai bekalan, apa yang perlu saya mahirkan sebagai persediaan untuk berkhidmat. Mungkin di mata orang lain saya terlihat hebat, namun hanya diri sendiri yang tahu di sebalik diri ini. Cukuplah hanya Allah yang mengetahui perihal diriku. 

Begitulah al-Imam Ibn al-Jauzi menyatakan: 

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya manusia itu berasa kagum dengan engkau bukan kerana dirimu, tetapi kerana Allah telah menutup aibmu.” 

Lalu saya teringat akan satu perkataan yang selalu digunakan pada suatu masa dahulu. Modal.

Sebut sahaja modal, kebanyakan orang akan terbayang dunia perniagaan. Modal dianggap sebagai asas permulaan sesuatu urusan untuk mengembangkan harta. Dalam erti kata yang lebih mudah, modal ialah sesuatu yang ada pada kita dan dapat digunakan dalam kehidupan untuk melaksanakan sesuatu hasrat, cita-cita atau impian. 

Dalam aspek sebagai seorang pelajar pula, adab, ilmu, pendidikan dan kemahiran adalah modal yang paling penting. Tidak boleh tidak, modal-modal inilah yang harus ada dan kukuh dalam diri setiap penuntut ilmu.

Kemudian, saya cuba mengubah sedikit vokal perkataan tersebut. Medal.

Terus sahaja saya kaitkan medal ini dengan apa jua bentuk pencapaian yang dikecapi. Apa sahaja yang dicapai, apa sahaja yang diperolehi sama ada berbentuk fizikal atau tidak, itulah ‘medal’ kita, itulah hasil yang kita dapat. Ia hanya sebagai pengukur atas setiap yang kita usahakan. Bukan untuk dibangga-banggakan, jauh sekali untuk menunjukkan kehebatan. Cukuplah sekadar ada hasil yang bermanfaat daripada modal yang kita usahakan.

Selesai membaca sebuah buku merupakan satu pencapaian bagi seseorang pembaca buku. Selesai perlawanan dan mendapat pingat pula satu pencapaian buat seorang atlet. Selesai mengulang kaji mata pelajaran juga satu pencapaian untuk seorang pelajar.

Apa yang kita sasar dan usahakan lalu tercapai, itulah pencapaian kita. Sekecil-kecil pencapaian juga harus diraikan sebagai satu cara menggembirakan dan menghargai diri sendiri.

Seterusnya, saya ubah suai lagi perkataan tersebut kepada modul. 

Kebiasaannya kita akan dapat modul jika kita pergi ke mana-mana kursus dan seminar ataupun menyertai sebarang bentuk latihan. Modul ini secara umunya dijadikan sebagai rujukan atau panduan untuk membantu seseorang ke arah peningkatan yang lebih baik, dari segi kelayakan mahupun kemahiran.

Sebagai seorang pelajar, ‘modul’ yang dimaksudkan ialah ringkasan pelajaran dan nota. Amat baik sekali jika kita dapat membuat satu nota yang mudah dibaca dan difahami, lalu dapat dimanfaatkan bersama dengan sahabat-sahabat yang lain. Secara tidak langsung, ‘modul’ ini merupakan salah satu hasil tangan kita, dan bagi saya, ia pencapaian yang agak tinggi kerana manfaatnya disebar luas untuk kegunaan ramai. Malah ini juga dianggap sebagai satu wasilah penyampaian ilmu kepada yang lain.

Modal, medal dan modul ini hanya sekadar satu buah fikiran saya dan indikator buat diri sendiri. 

Apakah sudah tamat ijazah sudah cukup modal saya? Tidak. Penuntut ilmu itu sifatnya sentiasa dan tidak akan pernah berhenti. 

Apa sahajalah medal yang saya ada? Pencapaian kecil ada, selain itu, sekadar CGPA tinggi dan sijil-sijil aktiviti sahaja masih belum cukup. Harus menambah baik lagi pencapaian dan pengumpulan ‘medal’ dari semasa ke semasa. 

Modul? Masih lagi dalam perancangan, saya harap ia bukan hanya tinggal niat.

Allah. Tulisan ini hanyalah muhasabah dan motivasi diri sahaja. Moga dapat dilaksanakan seperti yang saya fikirkan ini, suatu masa nanti, insya-Allah. Wallahua’lam.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah